ANAK. Setiap kali perkataan keramat itu terlintas di mindanya, pasti dia akan menjadi resah dan gelisah. Apatah lagi apabila melihat kandungan isterinya yang semakin membesar. Jauh dari sudut hatinya, dia teringin sungguh memegang perut itu kerana di dalam kandungan itu ada zuriatnya. Zuriat yang sememangnya halal dan sah atas perkahwinan sementara. Dia harus bertanggungjawab atas perbuatannya.
Tengku Fazrul Shah masih berteleku di atas tikar sejadah. Menyerahkan sepenuh jiwa dan raga pada yang Maha Esa. Dia berdoa supaya Allah mengembalikan semula cintanya buat Fazliatun seperti dulu. Simpatinya pada Fazliatun dan anak yang dikandung hanya sekadar simpati, bukan rasa cinta lagi. Ke manakah perginya cinta itu? Sudah hilangkah ia?
"Ya Allah, Kau kembalikanlah semula rasa kasih dan sayangku buat isteri aku! Aku simpati padanya. Dia sedang mengandungkan zuriatku, Ya Allah. Kau tunjukkanlah aku jalan yang lurus, iaitu jalan yang Kau redai. Berikanlah aku pilihan yang betul antara Nauri dan Tun. Aku keliru Ya Allah untuk membuat pilihan. Jika aku menikahi Nauri, itu bermakna aku akan melepaskan Tun pergi dari hidup aku.
Aku tak sanggup nak tengok dia menderita kerana perceraian ini. Kesian pada anak kami nanti. Aku buntu, Ya Allah. Pernikahan aku dan Nauri semakin hampir beberapa bulan sahaja lagi. Haruskah aku menikahi Nauri? Kau berikanlah aku pilihan yang tepat supaya aku tidak menyesal pada kemudian hari. Hanya Kau sebaik-sebaik pemberi petunjuk. Amin...amin Ya Rabbal Alamin."
Tengku Fazrul Shah meletakkan harapan setinggi gunung. Biarlah pilihannya kali ini benar dan tidak tersilap lagi. Memang dia sayangkan Nauri dan ingin mengahwini gadis itu. Jika bukan kerana insiden malang yang menimpa diri Fazliatun, mungkin perasaannya pada isterinya makin jauh dan hilang begitu sahaja. Barangkali ada hikmah atas apa yang terjadi. Dia menganggap ini semua petanda baik supaya dia menimbang semula keputusan untuk bernikah dengan Nauri.
Selepas usai solat dan berdoa, dia menuju ke tingkat bawah. Sejak Fazliatun meninggalkan rumah ini, hidupnya terasa sunyi dan sepi. Sudah lama dapurnya tidak berasap. Dia selalu beli makanan di luar. Seleranya pun kadang-kadang tidak ada. Tak sama macam masakan isterinya yang sedap itu. Biarpun masakan itu ringkas, namun keikhlasan dan kejujuran Fazliatun, membuatkan masakannya menjadi sedap.
Seperti terbayang-bayang pula di ruang matanya Fazliatun sedang masak di dapur. Ketika itu dia suka menyakat isterinya dan seperti biasa isterinya akan menarik muka masam. Lagak bersahaja dan selamba Fazliatun benar-benar dirindui. Dia seakan pelik melihat perangainya. Ada masa dia akan merindui Fazliatun, ada masa pula dia akan merindui Nauri pula.
Sedang asyik berkhayal, tiba-tiba ada bunyi alarm menandakan ada seseorang di luar. Siapa pula yang datang malam-malam buta begini ke rumahnya? Tengku Fazrul Shah pantas menyelak kain langsir. Dari jauh kelihatan Nauri sedang melambai-lambaikan tangan ke arahnya. 'Apa pula dia nak ni? Nak buka pintu ke tak? Kang merajuk pula kalau aku tak buka. Susah betul macam ni.'
Akhirnya dia membukakan pintu rumah lantas menuju ke pagar. Selepas membukanya, Nauri terus mendekatinya sambil tersenyum. Di tangan Nauri ada sebuah bungkusan pizza.
"Kenapa you datang malam-malam kat rumah I ni? Tunggulah esok aje," ucapnya tidak berapa senang. Khuatir jika ada jiran-jiran yang nampak. Nanti lain pula andaian mereka.
"I rindulah kat you."
"Tadi petangkan dah jumpa."
"Memanglah, tapi I tak puas. I nak habiskan masa dengan you malam ni. Kita berdua aje tanpa gangguan dari sesiapa." Nauri memimpin tangan tunangnya dan melangkah masuk ke dalam.
"Lama jugak I tak datang sini. Kali pertama I datang masa pompuan tak guna tu ada. Menyampah betul tengok muka dia. Macamlah rumah dia. Mesti masa tu dia cemburukan tengok you bawa I kat sini?" aju Nauri menceritakan semula detik-detik awal dia datang ke banglo mewah ini. Ketika itu, Fazliatun sedang masak di dapur. Dengan selamba, mereka berdua makan spageti di ruang tamu tanpa mempedulikan Fazliatun.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...