Bab 34

14.9K 339 3
                                    


"KENAPA you langsung tak bagitahu I pasal Firman? You ingat I ni tunggul kayu ke?" Marah betul Tengku Fazrul Shah pada isterinya. Selepas membeli barang-barang dapur, mereka terus balik ke rumah.

"Maafkan saya, encik! Saya bukan sengaja nak jumpa dia. Masa tu saya kena gastrik. Nasib baik dia nampak saya jatuh. Kalau tak, mesti encik dah tak jumpa saya lagi kat dunia ni."

"Pandailah you nak reka-reka cerita. Sejak bila pandai menipu ni?"

"Demi Allah, encik! Saya tak tipu." Bersungguh-sungguh sekali Fazliatun meyakinkan suaminya namun lelaki itu tetap tidak percaya.

"Tak kiralah apa pun yang berlaku. You nak pengsan ke, you nak sakit ke...kalau you nak mati sekalipun, I tak kisahlah. Tapi ingat, jangan berani lagi jumpa dengan dia. Kalau I dapat tahu, siaplah you I kerjakan." Perangai Tengku Fazrul Shah berubah secara tiba-tiba. Sebagai seorang lelaki, dia rasa tercabar apabila isterinya berani berlaku curang di belakangnya.

"Kenapa encik cakap macam tu? Encik dah tak kesiankan saya ke?" Ada getaran halus pada hujung suara Fazliatun.

"Sikap you tu yang buatkan I hilang pertimbangan dengan you tahu tak. You tak tahu malu ke keluar dengan lelaki lain selain suami you sendiri? Patutlah masa I call you, sikap you macam lain. Rupa-rupanya, tengah bermesra dengan kawan baik I sendiri. Nampak aje baik tapi perangai mengalahkan perempuan tak ada maruah."

"Astaghfirullahalazim! Jangan tuduh saya macam tu, encik. Saya masih ada akal untuk fikir yang mana baik, yang mana buruk. Kalau encik tak tinggalkan saya masa tu, tentu perkara macam ni takkan berlaku. Cubalah encik buangkan sikit rasa ego tu ke tepi. Selagi encik dikuasai oleh sikap pentingkan diri sendiri dan keras kepala, sampai bila-bila pun hidup encik tak akan berubah."

"You jangan nak pandai-pandai ajar I!" Jari telunjuknya tepat menghala ke muka Fazliatun. "You tu cuma isteri sementara aje. Bila-bila masa I boleh ceraikan you jika I nak."

"Kalau encik betul-betul anak lelaki, encik ceraikanlah saya sekarang. Saya tak takut." Berani sungguh Fazliatun. Pandangan tajam suaminya langsung tidak diendahkan. Dia tidak takut dengan kata-kata lelaki itu.

"Jangan berani nak cabar I Nurfazliatun!" Bergema suara Tengku Fazrul Shah. Isterinya itu benar-benar mencabar kewibawaannya sebagai seorang suami.

"Memang saya cabar encik!" Fazliatun juga keras kepala. Sakit hatinya apabila dituduh oleh suami sendiri. Dia nak tengok sejauh mana lelaki ego itu akan pergi. Apa nak jadi...jadilah. Dia tak peduli lagi.

Tengku Fazrul Shah menggenggam penumbuknya. Fazliatun yang berada beberapa meter di hadapannya direnung tajam.

"Kenapa diam?"

"I tak akan ceraikan you sampai bila-bila! You rasalah macam mana hidup you selepas ni. You isteri I, tetapi tak ada hak apa-apa. Jangan salahkan I pulak. You yang sengaja cabar I, kan."

"Encik memang kejam!" Fazliatun menjerit sekuat hati. Kesabarannya terasa sudah hilang saat ini.

"Saya tak akan dengar cakap encik. Saya nak balik."

Fazliatun merasakan tidak ada guna lagi dia tinggal bersama-sama Tengku Fazrul Shah jika lelaki itu sudah membencinya. Biarlah dia mengundurkan diri. Pandai-pandailah dia meminjam duit dari sesiapa untuk membayar ganti rugi bernilai Rm 20,000 itu. Dia tidak mahu dijadikan mangsa. Cukuplah selama ini dia bertahan dan berjuang untuk perkahwinannya.

Fazliatun tidak mempedulikan suaminya yang masih lagi merenungnya dengan wajah bengis. Dia mencapai beg tangannya lalu menuju ke muka pintu. Baru dia hendak menolak daun pintu, tiba-tiba tangan kasar milik Tengku Fazrul Shah memegang pergelangan tangannya.

"You nak pergi ke mana, hah?"

"Lepaskan tangan saya sebelum saya jerit lebih kuat lagi! Lepaskan saya." Berani sungguh Fazliatun. Dia tidak takut langsung dengan suaminya itu.

"Nak jerit, jeritlah. I tak heran. Selagi I tak ceraikan you, you jangan mimpi nak lari dari I. Lebih baik you masuk ke dalam sebelum I tampar muka you. Masuk!" Menyingga muka Tengku Fazrul Shah. Dia seperti sudah kerasukan syaitan. Perangainya berubah seratus-peratus.

"Saya tak nak," ucap Fazliatun masih berdegil.

Bengang Tengku Fazrul Shah jadinya. Dia pantas merentap tangan Fazliatun. Menjerit Fazliatun apabila diperlakukan begitu rupa.

"You jangan degil. Sekarang you naik ke bilik you! Now!" arah Tengku Fazrul Shah tegas.

Fazliatun masih kaku di situ. Masih tidak bergerak walaupun sedikit. Tingkahnya itu benar-benar menaikkan kemarahan Tengku Fazrul Shah.

"Oh, degil ya. You memang nak kena ni!" Tanpa sedar, Tengku Fazrul Shah menaikkan tangan ke pipi Fazliatun sehingga berbirat pipi gebu itu. Hatinya berasa puas kerana dapat melepaskan kemarahannya kepada isterinya.

Fazliatun jatuh terduduk di atas lantai. Dia tidak menangis. Pipinya dipegang beberapa kali. Inikah ganjaran yang dia dapat apabila berkahwin dengan anak orang kaya? Inikah belaian manja yang dia inginkan dari seorang suami?

Fazliatun benar-benar kecewa. Kecewa kerana sudah tersilap membuat pilihan. Gara-gara mengejar gaji Rm 10,000 sebulan, dia sanggup buat kerja gila dengan cara menjadi isteri Tengku Fazrul Shah. Akhirnya, dia terperangkap dalam jerat yang dibina sendiri.

Masuk kali ini, sudah dua kali pipinya ditampar oleh seorang insan bergelar suami. Terbayang-bayang wajah ceria emak serta wajah gembira ayahnya saat dia sah menjadi isteri lelaki itu. Nak menangis pun tidak berguna lagi. Dia terpaksa menempuhi dugaan itu seorang diri. Akhirnya, dia naik ke biliknya dengan hati yang penuh kecewa.


MATAHARI sudah berada tegak di atas kepala. Panasnya sungguh terasa sehingga menggigit kulit. Firman mempercepat langkah menuju ke keretanya. Hari ini dia bekerja seperti biasa. Sebagai seorang pengurus hotel, kerjanya tidak menentu. Adakala sibuk, adakala tidak. Seperti hari ini, masanya agak lapang sedikit. Sebab itulah dia ada banyak masa untuk makan tengah hari.

Firman memandu dengan tenang ke Restoran Selera Rasa yang terletak tidak jauh dari tempat dia bekerja. Sudah menjadi kebiasaannya makan di restoran itu kerana ada banyak pilihan.

Paling dia suka, masakan kampung. Masakan seperti itu menjadi kesukaannya berbanding masakan lain. Memang itulah makanan yang digemarinya sejak kecil. Dia merupakan anak orang kampung. Bapanya bekerja sebagai nelayan manakala ibunya pula berniaga kecil-kecilan di warung.

Dengan duit itulah dia berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Ijazah. Sampai ke saat ini, dia tidak akan pernah melupakan jasa kedua-dua orang tuanya. Jasa mereka terlalu besar baginya, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Rindu sungguh dia pada ayah dan ibunya. Jika ada masa terluang, dia akan menjenguk mereka di kampung halaman.

Sebaik tiba di restoran itu, Firman terus menuju ke set buffet. Selepas mencedokkan nasi ke dalam pinggan, dia melangkah ke hadapan. Terdapat pelbagai jenis masakan di situ. Ada ikan kembung masak kari, sayur pucuk paku masak lemak, ikan keli masak cili hijau, telur puyuh masak sambal serta bermacam-macam lagi. Sampai tak tahu nak pilih yang mana satu. Semuanya sedap.

Setelah memesan air minuman di kaunter, Firman duduk di sebuah kerusi yang berdekatan dengan televisyen. Sambil menyuap nasi, matanya ralit memandang Tv di hadapan. Berselera betul dia makan.

Beberapa minit kemudian, airnya sampai. Cepat saja dia menyedut air Milo Ais itu sampai tinggal separuh. Cuaca panas sebegini memang cepat dahaga.

Sedang asyik menonton Tv, tiba-tiba dia teringatkan peristiwa yang berlaku kira-kira dua hari lalu. Terbayang-bayang muka Fazliatun di ruang mata. Susah benar dia hendak menerima hakikat bahawa gadis itu sudah berkahwin. Mati-mati dia ingat Fazliatun masih bujang. Rupa-rupanya tekaannya silap. Patutlah susah benar gadis itu nak bagitahu nama semasa dia bertanya dulu.

Beruntunglah Tengku Fazrul Shah kerana memiliki Fazliatun. Bukan sahaja cantik, malah berbudi bahasa biarpun sikapnya sedikit kasar. Firman melepaskan sebuah keluhan panjang. Dia termenung sekejap, memikirkan arah tuju hidupnya selepas ini. Nampak gaya, lambat lagilah dia akan berkahwin kerana gadis yang dicintainya sudah menjadi milik orang.

Selepas Tengku Fazrul Shah mengetahui dia mengenali Fazliatun, tiba-tiba saja rakan baiknya itu meminta diri tanpa sempat dia bertanya lebih banyak lagi. Dia dapat merasakan Tengku Fazrul Shah cemburukan dia. Jika tidak, mana mungkin lelaki itu tergesa-gesa hendak pergi. Bukan sebulan dua dia kenal dengan rakan baiknya itu. Semasa mereka belajar di luar negara dulu, dia duduk sebilik dengan Tengku Fazrul Shah. Apa saja yang dia tidak tahu pasal lelaki itu, semuanya berada dalam pengetahuannya.

Hubungan mereka berdua sungguh akrab. Ke mana sahaja mereka pergi pasti bersama-sama. Namun setelah masing-masing menamatkan pengajian, hubungan mereka terputus begitu sahaja. Pernah juga dia mencari maklumat tentang Tengku Fazrul Shah, namun tidak berjaya. Selepas habis belajar, dia duduk sekejap di kampung. Beberapa bulan kemudian dia dapat kerja sebagai pengurus hotel di Kuantan, Pahang.

Hampir dua tahun juga dia bekerja di situ. Kini, dia baru sahaja ditukarkan ke Kuala Lumpur. Dan tidak sampai sebulan di sini, dia sudah dikejutkan dengan macam-macam berita. Pada mulanya dia bertemu dengan Fazliatun di Tesco. Tidak berapa lama selepas itu, dia berjumpa pula dengan Tengku Fazrul Shah. Pertemuan itu seolah-olah satu kebetulan. Kebetulan yang menyakitkan hati.

Firman malas mengusutkan fikiran dengan perkara remeh seperti itu. Dia cuba berfikiran positif. Mungkin semua yang berlaku itu ada hikmahnya sendiri. Tak perlu dia nak bersedih hanya kerana seorang perempuan. Dia bukanlah seorang pencundang yang tidak memiliki apa-apa. Dia serba serbi sempurna dari segi paras rupa dan harta. Mana-mana perempuan yang melihatnya, pasti akan jatuh hati.

Barangkali, jodohnya bukan dengan gadis itu. Apa lagi yang dia perlu kesalkan? Kalau dia menangis air mata darah sekalipun, Fazliatun tetap isteri orang. Hakikat itu akan tetap sama dan tidak akan berubah. Tidak ada guna dia meratap perkara yang bukan haknya. Lebih baik dia tumpukan pada kariernya. Perjalanan masih jauh di hadapan. Dan hidup perlu diteruskan selagi bernafas.


Isteri SementaraWhere stories live. Discover now