"RASANYA aku kenal lelaki tadi tu. Macam muka kawan Fazrul. Siapa ya nama dia?" Fazliatun menggaru kepalanya yang tidak gatal. Susah benar dia nak mengingat nama rakan baik Tengku Fazrul Shah itu.
Fazliatun duduk sekejap di ruang tamu. Fikirannya melayang jauh kepada lelaki itu.
"Siapa ya nama dia? Riz...man. Eh, bukanlah. Ri apa ya? Ri...zal. Ha...Rizal. Memang dialah tadi. Tapi?"
Muka perempuan yang dipimpin oleh Rizal itu seakan-akan muka Nauri. Tak mungkin pula Nauri dan Rizal ada hubungan sebab Nauri kan dah bertunang dengan Tengku Fazrul Shah.
"Mungkin Nauri dan Rizal saling kenal antara satu sama lain kot. Sebab tu hubungan dia mesra aje." Fazliatun membuat andaian lagi. Perkara itu membuatkan dia berfikir banyak kali.
Akhirnya dia bangun dan mengambil baju kotor lalu dimasukkan ke dalam mesin basuh. Setelah itu dia memutarkan butang ke nombor lima.
Sementara menunggu mesin basuh berputar, dia duduk di ruang tamu. Dalam fikirannya saat itu, asyik memikirkan pertemuannya dengan Nauri dan Rizal beberapa jam tadi. Benarkah Nauri mencintai Tengku Fazrul Shah? Hatinya tertanya-tanya. Kalau benar gadis itu menyayangi suaminya, kenapa Nauri berpimpin tangan dengan Rizal? Dari tingkah mereka, nampak mesra sangat bagaikan pasangan kekasih saja.
Fazliatun mulai curiga. Seperti ada yang tidak kena pada Nauri. Dia perlu menyiasat perkara ini sampai ke akar umbi. Walaupun hatinya sudah tidak ada pada suaminya, namun dia tidak mahu lelaki itu terus terpedaya dengan tipu helah Nauri. Dia tahu. gadis itu bukan seorang perempuan yang baik. Mungkin ada perkara yang cuba dirahsiakan oleh mereka berdua.
TENGKU FAZRUL SHAH sampai di halaman rumah Rizal. Setelah membunyikan hon kereta, barulah rakan baiknya itu keluar.
"Nak cari dia kat mana?" tanya Rizal sebaik saja melangkah masuk ke dalam kereta.
"Entahlah. Aku pun tak tahu. Nak cari kat rumah dia, tak mungkin pulak sebab bapa mertua aku dah halau dia dari situ," jawab Tengku Fazrul Shah perlahan.
"Kenapa?"
"Pasal skandal Tun dengan Firman tulah."
"Oh..." Rizal tahu juga tentang perhubungan mereka berdua dari mulut Nauri. Cepat sahaja berita itu tersebar.
"Sekarang ni kita cuba cari aje kat mana-mana. Tak kisahlah kat mana pun, janji dapat. Aku tak kira."
"Kau ni pun satulah...sengal sangat. Pompuan tu langsung tak ada member ke? Mesti ada punya. Takkan jadi kera sumbang pulak."
Tengku Fazrul Shah memandang muka Rizal lalu tersenyum. Kenapalah dia langsung tak terfikir akan hal itu.
"Betul jugak cakap kau tu. Aku pun tak ingat pasal ni semua. Dia memang ada kawan baik, tapi manalah aku ada nombor telefon kawan dia."
"Tulah kau. Orang nak kahwin, kau nak kahwin. Benda senang macam ni pun kau tak ambil kisah. Minta aku temankan cari dia macam pandai sangat. Rupa-rupanya apa pun tak ada. Buang masa aku aje," bebel Rizal. Tak pasal-pasal, agendanya dengan Nauri terbantut begitu sahaja.
Tengku Fazrul Shah mengeluh panjang. Kereta dipandu sederhana. Dia melalui jalan perumahan di sekitar rumah Rizal sebelum tiba ke jalan besar. Keretanya sedang melalui beberapa buah deretan rumah. Mereka tidak sedar ada sebuah rumah berwarna biru laut yang terletak di tengah-tengah kawasan itu. Kereta terus meluncur laju menuju ke jalan raya.
Ketika itu, Fazliatun sedang menutup tingkap kerana waktu sudah menjengah ke senja. Langit pun mulai gelap. Mujurlah Rizal dan Tengku Fazrul Shah tidak perasan. Dia pun langsung tak tahu suaminya itu sedang sibuk mencarinya. Kalaulah dia tahu, sudah pasti hatinya akan gelisah. Fazliatun tidak menyedari ada bahaya yang sedang menanti di hadapannya.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomantikGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...