SELEPAS lima hari ditahan di wad, akhirnya Tengku Fazrul Shah pulang ke rumah. Doktor menasihatkan dia agar tidak melakukan sebarang aktiviti berat sepanjang tempoh enam bulan terdekat ini. Dia dan isterinya tinggal di banglo milik Tengku Marzuki buat sementara waktu. Mamanya yang sibuk menyuruh dia dan Fazliatun tinggal di situ memandangkan kesihatannya belum sembuh seluruhnya.
"Rul tak payahlah kerja dulu. Rehat banyak-banyak kat rumah. Luka kat perut Rul tu masih belum elok lagi. Tun jangan bagi dia makan sebarang aje. Tengok-tengokkan sikit. Kalau dia degil, panggil mama!" ujar Tengku Arianis tegas.
"Alah mama ni. Mana boleh macam tu." Tengku Fazrul Shah memprotes kata-kata mamanya.
"Tak apa, mama. Nanti Tun jaga pemakanan dia."
"Orang baru baik luka ni sama jugak macam orang selepas bersalin. Kena pantang makan. Pantang itu, pantang ini. Jangan ikut sedap tekak aje. Nanti lambat nak baik," bebelnya lagi.
Tengku Fazrul Shah terpaksa menadah telinga. Tengku Yuhanis Aisyah dan Tengku Fakhrul Faiz hanya tersenyum mengejek ke arah adik bongsu mereka. Padan muka!
"Dengar pesan mama tu, Rul. Jangan degil," kata Tengku Fakhrul Faiz sinis. Bulat mata lelaki itu memandang abangnya.
Geram dia apabila dikenakan. Mentang-mentanglah dia masih belum sihat sepenuhnya, sengaja nak bahankan dia. Fazliatun pun turut sama menyokong mamanya. Dua kali lima saja.
"Malam ni, biar mama masak sedap-sedap untuk anak dan menantu mama. Dah lama betul kita tak berkumpul macam ni."
"Wah, seronoknya. Mama nak masak apa?" Tengku Yuhanis Aisyah menyoal mamanya. Teruja sungguh dia.
"Tengok ajelah nanti. Tapi, Rul kena makan yang rebus-rebus ajelah."
"Ish, tak naklah."
"Jangan nak mengada. Nak makan sedap-sedap, lepas luka tu sembuh."
"Sikit ajelah. Bukannya banyak mana pun. Sayang tengoklah mama ni. Kasar sangat dengan abang. Macamlah abang ni sakit teruk sangat nak mati," adunya pada Fazliatun. Kononnya nak meminta simpati. Namun, tidak dipedulikan oleh isterinya.
"Betullah apa yang mama cakapkan tu. Abang kena makan makanan yang seimbang. Kan doktor dah pesan. Bukan lama pun. Sekejap aje. Kena tahanlah sikit." Fazliatun menyokong kata-kata Tengku Arianis.
Sejuk hatinya mendengar. Demi isteri yang cukup dicintainya itu, dia sanggup asalkan Fazliatun gembira. Apalah sangat makan rebus-rebus ni. Mudah baginya. Sesungguhnya dia bahagia dengan kehidupan baru mereka ini. Lebih aman dan harmoni.
"Apa yang riuh-riuh ni? Ada cerita menarik ke?" Tiba-tiba Tengku Marzuki muncul di muka pintu. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat Asar. Puas dia mencari anak dan isterinya, ternyata mereka ada di dalam bilik Tengku Fazrul Shah.
"Ni ha papa, abang tak nak dengar nasihat mama. Nak makan sedap-sedap aje. Macamlah dia tu dah sihat betul." Fazliatun mengadu.
Dah berubah muka lelaki itu. Tengku Marzuki segera mendekatinya dengan wajah serius.
'Alahai sayang, kenapalah sayang mengadu kat papa? Habislah abang kena ceramah.'
"Betul ke ni, Rul?" Serius muka papanya.
Terpaksa jugalah dia mengangguk. Mama dan adik-beradiknya hanya mampu tersenyum. Sukalah tu tengok dia kena marah. Geramnya.
"Rul kan nak sembuh cepat. Mana boleh makan ikut selera aje. Kena kawal pemakanan. Ingat tu!" Tegas sahaja suaranya.
"Faham, papa."
"Papa bukan nak marah ke apa. Ni semua untuk kebaikan Rul juga. Kalau Rul tak kesiankan diri Rul, fikirlah sikit pasal isteri dan anak Rul yang bakal lahir tu. Takkan Rul nak sambut anak Rul dalam keadaan yang masih belum sihat. Kan tak seronok. Dah sihat nanti nak makan apa pun boleh."
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...