"DAH okey belum badan you? I rasa macam dah tak panas lagi." Tengku Fazrul Shah memegang dahi isterinya. Sudah berkurangan sedikit panasnya.
"Dah baik sikit ni. Badan saya pun tak lemah lagi macam semalam. Nasib baik cepat-cepat pergi klinik."
Fazliatun segera bangkit dan memandang suaminya. Pelik juga dia kerana tidak ada tilam di situ melainkan satu tilam yang dia tidur sejak malam tadi.
"Encik tidur kat mana semalam?" soal Fazliatun pelik.
"I tidur kat situ!" tunjuknya lurus ke arah lantai yang hanya ditutupi oleh tikar getah.
"Kenapa tak bentang toto? Kan sakit tidur tak ada alas macam tu!"
"Manalah I tahu ada toto. You pun dah tidur masa tu. Kesian pulak nak kejutkan."
"Maaflah. Saya pun terlupa nak cakap."
"Tak apalah. Sesekali tidur atas lantai apa salahnya. Demi isteri I ni, I sanggup berkorban jiwa dan raga asalkan dia sihat." Ucapan Tengku Fazrul Shah itu dirasakan ikhlas dari hati. Tersentuh juga sedikit nalurinya sebagai seorang wanita.
"Encik ni janganlah susahkan diri pulak sebab saya. Saya tak nak bebankan encik dengan masalah saya."
"Lagi-lagi...encik. Cubalah you panggil I ni dengan panggilan yang sedap sikit nak dengar. Contohnya, macam abang ke...hubby ke, tak pun panggil B. Baru seronok I dengar."
Fazliatun ketawa. Lucu pula rasanya apabila Tengku Fazrul Shah berkata begitu. Romantik pula suaminya itu.
"Kenapa you ketawa?"
"Kelakarlah encik ni. Ada ke patut suruh panggil encik dengan nama tu. Tak sesuai langsung. Lawak sangat."
"Apa pulak lawak. Betullah apa yang I cakap tu. You tu kan isteri I. Mestilah kena panggil begitu."
"Bukan isteri betul pun. Isteri olok-olok, kan?"
"Siapa cakap?" Berkedut dahi lelaki itu.
"Encik sendiri yang letakkan syarat macam tu. Encik dah lupa ke?"
"Memanglah, tapi kalau ikut hukum agama...you memang isteri I yang sah. Cuma perkahwinan kita aje yang ada kontrak perjanjian. Yang lain-lain memang sah dan halal." Bersungguh-sungguh muka Tengku Fazrul Shah meyakinkan Fazliatun. Macamlah isterinya itu jahil sangat pasal hukum-hakam agama.
Kali ini Fazliatun tidak menjawab. Selama ini baru dia terfikir akan hal itu. Benar juga kata suaminya. Perkahwinan mereka berdua memang sah kerana melibatkan lima rukun nikah iaitu suami, isteri, saksi, wali dan akad. Bukanlah seperti nikah kontrak ataupun mut'ah yang hanya melibatkan suami dan isteri sahaja.
"Kenapa diam?"
"Tak tahu nak cakap apa."
"Tak nak ke panggil I dengan panggilan yang selayaknya untuk seorang suami?" Tengku Fazrul Shah menagih jawapan. Dia merasakan sudah sampai masanya untuk mereka memulakan hidup sebagai suami isteri yang sebetulnya mengikut landasan agama. Sampai bila mereka nak terus hidup begini? Perhubungan suami isteri yang sah tak sepatutnya dibataskan dengan syarat-syarat pelik sehingga menyekat hubungan seperti menafikan makna sesebuah perkahwinan itu.
"Nantilah saya fikirkan dulu!"
"Apa lagi you nak fikir?"
"Berikan saya sedikit masa untuk biasakan diri dengan panggilan tu. Saya masih rasa kekok dan canggung. Susah nak biasakan diri. Saya harap sangat encik faham," ucap Fazliatun tenang.
"Baiklah. I akan hormati pendirian you. Tapi, I ada satu permintaan." Tengku Fazrul Shah menatap wajah isterinya itu dengan penuh kasih.
"Apa dia?"
"I nak panggil you...sayang! Boleh tak?"
"Apa?" Terkejut Fazliatun. Bagai nak gugur jantungnya.
"Kenapa you buat muka terkejut macam tu? Salah ke I nak panggil you dengan panggilan sayang?"
Fazliatun dah resah semacam. Pelik dia melihat perangai suaminya itu. Sejak akhir-akhir ini, makin pelik sikapnya. Bertambah romantik pula. Naik seram dia membayangkan segala kemungkinan yang bukan-bukan. Dia khuatir akan timbul rasa sayang antara satu sama lain. Sebolehnya, dia tak mahu rasa cinta dan kasih itu mengikat mereka lebih erat dalam perkahwinan ini.
'Dia ni dah syok kat aku ke? Lain macam aje perangai dia. Siap nak panggil aku sayang pulak tu. Dah masuk air ke mamat ni? Habis tu, macam mana dengan syarat yang dia letak dalam surat perjanjian tu? Mana boleh saling jatuh cinta. Dia lupa kot?'
"Saya cuma terperanjat aje sebab tak logik. Kita kan dah janji tak akan saling jatuh cinta. Kalau encik dah panggil saya sayang, mesti nanti akan timbul perasaan yang lain pulak. Kalau boleh, saya tak nak ada perasaan tu. Saya cukup faham akan status saya sebagai isteri sementara. Jadi, saya harap encik boleh fikir baik dan buruknya. Encik pun cukup faham hakikat sebenar. Kita berkahwin atas dasar terdesak. Encik dengan alasan encik. Begitu juga dengan saya."
Panjang lebar Fazliatun meluahkan isi hati. Puas rasanya setelah menjelaskan apa yang tersirat dalam fikirannya semenjak menjadi isteri Tengku Fazrul Shah. Tak mahu terus berada dalam keadaan tertanya-tanya.
"Yang tu you jangan risau. I masih tahu batas-batasnya. I cuma nak panggil you sayang aje. Bukan susah sangat pun. Boleh, ya?" pinta Tengku Fazrul Shah penuh mengharap. Tangan isterinya digenggam lebih erat.
"Betul ni? Janji?"
"Ya, I janji!"
"Okey. Saya izinkan encik panggil saya sayang. Tapi jangan langgar syarat pulak. Janji tetap janji."
"Baiklah, sayang. I tak akan mungkir janji. Percayalah!"
Tengku Fazrul Shah tersenyum lebar. Fazliatun juga begitu. Tenang sungguh hati lelaki itu apabila isterinya menerima permintaannya. Dia akan cuba memikat hati Fazliatun secara perlahan-lahan. Tak perlu gopoh dan terburu-buru. Dia yakin, suatu masa nanti Fazliatun akan lembut hati untuk menerimanya sebagai suami. Moga-moga tiada apa yang mengganggu hubungan mereka berdua.
"Hari ni sayang nak pergi mana-mana tak?"
"Tak tahu lagi."
"Eh, lupa pulak. Sayang kan cakap nak beli barang-barang dapur. Apa kata kalau kita pergi petang nanti. Abang ingat nak bawa adik-adik sekali. Mesti dia orang suka dapat jalan-jalan satu KL."
"Sejak bila pulak encik bahasakan diri encik abang dengan saya ni? Takkan dah bertukar jugak kot."
Fazliatun semakin pelik melihat tingkah suaminya.
"Alah, dah terlanjur abang panggil sayang, sesuailah kalau abang bahasakan diri macam tu. Sayang tak marah, kan?" Tengku Fazrul Shah memegang lembut tangan isterinya. Bahagia sungguh dia rasakan apabila berbuat begitu.
"Okey. Whatever!"
ALIF dan Aqif sedang mengulangkaji pelajaran di ruang tamu. Tekun sungguh pasangan kembar itu sampaikan tidak sedar kehadiran Tengku Fazrul Shah yang sudah tercegat berdiri di sebelah.
"Rajin betul Alif dan Aqif belajar. Boleh abang join sekali tak?" soalnya agak ramah.
Serentak mereka berdua menoleh.
"Boleh aje abang. Duduklah!"
"Study subjek apa tu?"
"Subjek add math dengan kimia. Subjek nilah kita orang paling tak suka. Bosan," terang Aqif.
"Kenapa pulak bosan?"
"Susah sangat soalannya nak jawab. Pastu tak sukalah benda yang melibatkan nombor ni. Naik pening kepala nak fikir. Nak kena tolak, kena bahagi. Leceh betul." Alif pula bersuara.
"Tak susah manalah abang rasa. Abang suka add math ni sebab mencabar minda. Soalan-soalan macam ni baru advance. Soalan mana tu yang susah? Bagi abang tengok!"
"Soalan nombor empat dan lima ni." Aqif menyerahkan buku teks kepada Tengku Fazrul Shah.
"Alah, kacang aje ni. Biar abang tunjukkan cara nak jawab kat korang. Tengok betul-betul abang buat."
Tengku Fazrul Shah mencapai pen dan sehelai kertas kosong yang telah dikoyakkan dari buku latihan. Dengan mudah dia dapat menjawab soalan matematik tambahan itu sambil tersenyum. Terkebil-kebil biji mata Alif dan Aqif melihat abang ipar mereka menyelesaikan soalan itu.
"Wah, hebatnya abang! Sekejap betul abang jawab. Tak sampai dua minit dah siap," puji Aqif dan Alif begitu teruja.
"Kan abang dah cakap, soalannya mudah aje. Cuma kena setkan kat otak Aqif dan Alif yang benda ni mudah. Barulah boleh jawab. Lagi satu, kena ada minat. Kalau awal-awal lagi dah cakap tak suka nombor, macam mana nak jawab? Soalan senang pun boleh jadi susah."
"Tapi memang susahlah, bang. Kalau abang ada, bolehlah ajar kami hari-hari. Baru senang nak faham."
"Alif dan Aqif pergilah ambil tuisyen kat sekolah. Sekarang ni kan banyak kelas tuisyen. Jangan beri banyak alasan kalau nak berjaya."
"Memanglah banyak tuisyen. Tapi mana ada duit nak bayar. Ayah tak mampu," ucap Aqif sedih.
Kasihan pula dia melihat adik iparnya itu. Setakat nak belajar, dia masih mampu nak tanggung pelajaran mereka. Berapalah sangat duit tuisyen yang perlu dibayar setiap bulan. Jika mereka berdua nak belajar, dia sanggup tampung yuran tuisyen mereka. Janji mereka minat dan berusaha bersunguh-sungguh.
"Kalau betul Aqif dan Alif nak ambil tuisyen, abang boleh bayarkan yurannya."
"Betul ke ni, bang?" Mereka berdua seolah-olah tidak percaya. Tawaran itu bagaikan mengantuk disorongkan bantal.
"Yalah, betul. Janji korang belajar rajin-rajin sampai pandai. Tunjukkan kat mak dan ayah yang korang boleh berjaya. Ilmu pengetahuan ni sangat penting pada zaman serba canggih ni. Kalau malas belajar, susah nak dapat kerja bagus. Biarlah tak banyak harta asalkan kaya dengan ilmu pengetahuan," pesan Tengku Fazrul Shah lagi.
"Terima kasih, abang!"
"Sama-sama. Nanti korang tanyalah cikgu berapa yuran tuisyen tu."
"Okey!"
"Petang karang nak ikut abang dengan akak tak?" Wajah kedua-dua kembar itu dipandang.
"Nak pergi mana?"
"Beli barang dapur sikit. Sebelum tu, abang ingatkan nak pergi ke Sunway Lagoon."
Sebaik sahaja mendengar perkataan Sunway Lagoon, terus mereka bersorak keriangan seperti kanak-kanak ribena. Padahal, usia masing-masing dah mencecah 16 tahun. Teruja punya pasal.
"Yeah, seronoknya. Aqif nak ikutlah!"
"Alif pun sama."
"Boleh aje kalau nak ikut. Tapi korang bawalah baju lebih. Boleh juga mandi kat sana."
"Wow, seronok tu! Abang nak pergi pukul berapa?"
"Tengoklah nanti. Mungkin selepas pukul sebelas kot. Kalau lambat sangat pergi takut ramai orang pulak. Mana Iman dan Izhar? Abang tak nampak pun dia orang dari tadi."
"Dia orang ada kat bawahlah tu. Main bola dengan kawan-kawan agaknya," jawab Aqif.
"Oh...jangan lupa bagitahu dia orang. Nanti menangis pulak kalau tak dapat ikut."
Alif dan Aqif mengangguk faham. Suka sungguh mereka berdua kerana dapat pergi ke tempat permainan yang menarik seperti itu. Sudah pasti seronok.
Fazliatun yang baru melangkah keluar dari bilik air terus menghampiri mereka bertiga. Kecoh sungguh suara adik-adiknya berbual dengan suaminya. Entah perkara apa yang dibualkan. Dengar sampai ke bilik air suara mereka.
"Bising aje akak dengar korang berbual. Bincang pasal apa?" soalnya. Dia baru saja habis mandi. Rambutnya masih basah.
"Pasal belajar ni hah, sayang. Nasib baik abang ada tadi. Susah sangat dia orang nak jawab soalan add math."
"Soalan senang memanglah boleh jawab. Cuba soalan susah, terkial-kial jugak nak buat." Fazliatun sengaja mengenakan suaminya. Macamlah dia seorang sahaja yang pandai jawab. Berlagak betul.
"Memang susahlah, kak. Naik pening kepala kita orang jawab. Mujurlah ada abang Rul. Sekejap aje dia jawab, tak sampai dua minit." Aqif dan Alif membela abang iparnya.
Tersengih-sengih Tengku Fazrul Shah apabila dipuji begitu. Fazliatun buat muka menyampah.
"Dengar tu sayang apa yang Alif dan Aqif cakap. Soalan susah macam tu pun abang boleh jawab. Inikan soalan mudah. Macam kacang aje."
"Eleh, perasan!"
"Sayang jeleslah tu, kan."
Aqif dan Alif ketawa melihat kakak dan abang ipar mereka bertengkar. Ala-ala gaduh manja gitu. Pasal benda kecil pun nak dibesarkan. Agak-agaknya, beginilah lumrah hidup orang yang dah berkahwin. Lepas bergaduh, baik semula.
"Romantik sangatlah abang dengan kakak ni. Gaduh-gaduh manja aje Aqif tengok. So sweet."
"Ni baru sikit aje, Qif. Abang malas sangat nak tunjuk. Nanti Kak Tun perasan lebih pulak. Tengok tu muka dia, berseri-seri ajekan."
Suka benar Tengku Fazrul Shah mengusik isterinya. Nampak comel dan ayu muka Fazliatun terutama sekali selepas habis mandi. Natural sangat muka dia. Wajah tulus itulah yang telah berjaya merebut hatinya tanpa dia sedar.
"Berseri sangat ke?" Fazliatun mendekati suaminya.
"Yalah, kak. Betul cakap abang Rul!"
Perlahan-lahan jari Fazliatun mendarat di pinggang suaminya lalu dicubit kecil. Aqif dan Alif tidak dapat melihat perbuatannya kerana tubuh Fazliatun terlalu hampir dengan Tengku Fazrul Shah. Akibat dicubit, muka lelaki itu berkerut seribu namun masih boleh dikawal. Dia tetap tenang kerana tak mahu adik iparnya tahu. Nampaknya, Fazliatun sudah main kotor. Nanti dia!
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...