Bab 58

13.4K 331 6
                                    

CEPAT sahaja berita Fazliatun mempunyai skandal dengan lelaki lain tersebar ke pengetahuan keluarga Fazliatun. Encik Ahmad dan Puan Rohaya mendengar berita itu daripada mulut besan mereka, Tengku Arianis. Beberapa jam tadi, Tengku Arianis baru sahaja menelefon Puan Rohaya menceritakan semua kisah berkaitan anak perempuannya. Berita buruk itu amat memeranjatkan mereka suami isteri.

"Ni rumah Rohaya kan, mak kepada Fazliatun?" Tengku Arianis bertanya dengan suara keras.

Puan Rohaya yang ketika itu baru siap memasak, bergegas ke ruang tamu apabila mendengar telefon berbunyi. Encik Ahmad tidak ada di rumah kerana solat Maghrib di surau berdekatan dengan Flatnya.

"Ya, saya Rohaya! Siapa yang bercakap ni?" Hati Puan Rohaya tiba-tiba menjadi tidak sedap.

"I ni mama Fazrul, ibu mertua Fazliatun," balasnya kasar.

"Oh, Tengku Anis! Tengku apa khabar? Lama betul kita tak jumpa, ya. Kenapa Tengku call saya ni?" soal Puan Rohaya ramah.

"Ada perkara penting I nak bagitahu pasal anak you tu."

"Pasal anak saya? Kenapa dengan Tun?"

"Dia dah curang dengan Fazrul. Dia ada hubungan dengan lelaki lain," terang Tengku Arianis tanpa berselindung.

Terpempan Puan Rohaya. Mulutnya ternganga seolah-olah tidak percaya. Apakah dia sudah tersilap dengar?

"Tak mungkin, Tengku. Saya lebih kenal dengan anak saya. Dia tak akan buat perkara terkutuk macam yang Tengku cakap tu. Ini mesti fitnah orang. Saya tak percaya." Puan Rohaya memegang dadanya.

"Terpulanglah kalau you nak percaya ke tidak. You tahu tak, sebab perbuatan anak you, keluarga I terpaksa tanggung malu tau. Dahlah miskin, menumpang kat rumah orang, masih lagi nak tunjuk besar kepala. You tunggulah nasib anak you nanti. Tak lama lagi Fazrul nak bertunang dengan Nauri. Dan selepas enam bulan dia orang akan kahwin. Masa tu Fazrul akan ceraikan Fazliatun. Memang sesuai dengan muka dia. I lagi suka mereka bercerai. Buat menyemak aje jadi menantu I. Sesuailah dia jadi janda muda. Mesti ramai jantan kat luar sana yang nak kahwin dengan dia.”

"Ya Allah, kenapa boleh jadi macam ni, Tengku? Kasihanlah pada anak saya. Jangan buat dia macam tu. Dia masih muda lagi nak tempuh ni semua. Saya merayu kat Tengku. Kasihanilah anak saya." Sudah berderaian air mata Puan Rohaya di pipi. Teresak-esak dia menangis.

"Itu I tak nak ambil tahu. I cuma nak sampaikan berita ni aje. Lain kali, kalau dah miskin tu buat cara miskin. Jangan berangan nak kahwin dengan anak orang kaya. Sedar-sedarlah diri tu sikit. Perangai dahlah macam perempuan murahan, buat malu aje I dapat menantu macam tu."

Selepas habis meluahkan semua rasa marahnya, Tengku Arianis terus mematikan talian. Puas rasa hatinya setelah menceritakan semua keburukan menantunya kepada Puan Rohaya.

"Ya Allah,Tun! Apa yang Tun dah buat, nak. Sampai hati Tun buat mak dan ayah macam ni. Kat mana mak nak letak muka ni kalau jiran-jiran tahu?"

Terduduk Puan Rohaya di atas lantai. Air matanya semakin deras mengalir. Perasaannya benar-benar hiba.

'Dugaan apakah ini, Ya Allah? Besar sungguh ujian yang Kau berikan kepada kami sekeluarga. Aku tak mampu nak hadapi ni semua. Aku tak kuat, Ya Allah. Bagaimana aku nak berhadapan dengan jiran-jiran?"

Puan Rohaya menangis lagi. Terbayang-bayang di ruang matanya wajah Fazliatun.


KEPULANGAN Fazliatun pada petang itu mengundang kemarahan Encik Ahmad. Terasa menggeletar seluruh tubuhnya memandang wajah anak perempuannya itu. Seperti ingin ditampar saja pipi Fazliatun.

"Ayah dan mak apa khabar?" Fazliatun hendak bersalam dengan Encik Ahmad tetapi tangannya segera ditepis. Terkejut Fazliatun dengan tindakan ayahnya.

"Kenapa ni, ayah, mak?"

"Kau tanya kenapa, ya? Patutnya aku yang tanya kau. Kenapa kau malukan kami sekeluarga macam ni? Apa salah kami, Tun?" tengking Encik Ahmad kuat. Rasa ringan sahaja telapak tangannya hendak naik ke pipi gebu Fazliatun.

"Tun tak faham. Ayah cakap pasal apa ni?" Fazliatun benar-benar keliru. Balik-balik sahaja ke rumah, dia sudah dimarahi sampai begitu sekali.

"Pasal kecurangan kau dengan jantan lain kat belakang Fazrul. Kau nak sembunyikan lagi ke cerita tu?"

"Ya Allah! Tu semua tak betul mak, ayah. Ni fitnah," ujar Fazliatun menafikan tuduhan liar ayahnya.

"Kau jangan nak bela diri lagi. Ayah dah tahu semua pasal hubungan kau dengan lelaki tu."

"Siapa yang pandai-pandai bawa cerita ni?"

"Mertua kau yang call mak semalam. Betul ke Tun curang?"

Lembut suara Puan Rohaya bertanya. Dari sudut hatinya, dia merasakan ini semua adalah fitnah semata-mata. Dia lebih kenal anak yang telah diasuhnya sejak kecil. Tak mungkin Fazliatun nak melakukan perbuatan terkutuk itu. Sebagai ibu, nalurinya cukup kuat mengatakan anaknya tidak bersalah.

"Mak dan ayah kena dengar penjelasan Tun dulu. Memang Tun ada berjumpa dengan Firman bulan lepas. Tapi kami tak ada apa-apa hubungan. Masa tu, Alif, Aqif, Iman dan Izhar pun ada sekali. Kita orang jumpa dia secara tak sengaja. Mak dan ayah percayalah cakap Tun."

"Dah, tak payah kau nak perbodohkan aku. Mulai saat ini, kau bukan lagi anak kandung aku. Aku tak ada anak yang sanggup menconteng arang ke muka orang tua. Kau boleh berambus dari sini! Pergi! Aku tak nak tengok lagi muka kau," ucap Encik Ahmad agak tegas.

"Sabar, bang. Jangan ikutkan sangat rasa marah tu. Kita dengar dulu penjelasan Tun." Puan Rohaya memujuk suaminya.

"Sampai hati ayah nak halau Tun dari rumah sendiri. Ke mana lagi Tun nak mengadu kalau bukan dengan mak dan ayah? Jangan buang Tun, ayah. Tun merayu!" Fazliatun melutut di kaki Encik Ahmad namun tubuhnya telah ditolak kasar oleh ayahnya.

Akibatnya, dia terbaring di atas lantai sambil menangis teresak-esak. Serentak dengan itu, hujan pun turun dengan lebat sekali. Kilat sabung-menyabung di petala langit. Semakin lama, semakin lebat hujan turun membasahi bumi.

"Aku tak nak dengar lagi rayuan kau. Berambus aku cakap! Berambus!" Suara Encik Ahmad memetir. Dia mencampakkan beg pakaian Fazliatun ke luar rumah. Hatinya betul-betul panas saat itu.

"Ayah, jangan buat Tun macam ni. Tun sayang kat ayah dan mak. Bagilah Tun peluang untuk tebus kesilapan Tun. Tun merayu!"

Encik Ahmad sudah naik gila. Dia tidak mengendahkan lagi rayuan anaknya. Tubuh Fazliatun ditarik agak kuat. Puan Rohaya yang hendak menghalang perbuatannya, ditepis kasar. Terduduk isterinya di muka pintu.

"Ampun ayah! Tun tak nak balik."

“Jangan degil aku cakap. Keluar sekarang!” Tubuh anak perempuannya itu ditolak kasar.

Fazliatun sudah berada di luar rumah. Encik Ahmad terus menutup pintu rumah dengan kuat. Berkali-kali dia mengetuk pintu, namun tidak dihiraukan oleh Encik Ahmad. Akhirnya dia melangkah perlahan-lahan meninggalkan rumahnya dengan hati yang pilu.

Hujan di luar semakin menggila. Kilat dan petir memancar-mancar di langit. Hari semakin gelap seperti malam. Fazliatun sudah tidak ada pilihan lain lagi. Terpaksalah dia balik semula ke rumah suaminya. Hanya itu saja satu-satunya tempat dia nak menumpang teduh. Dia baru hendak melepaskan rindu pada emak dan ayahnya. Tidak menyangka, kejadian seperti ini boleh berlaku padanya.

Tekad sungguh Tengku Fazrul Shah ingin berkahwin dengan Nauri sampaikan sanggup menabur fitnah begitu. Biarpun suaminya tidak memburuk-burukkan namanya kepada Encik Ahmad dan Puan Rohaya, namun tindakan Tengku Arianis menjaja cerita begitu sudah pasti angkara mulut suaminya juga. Jika tidak, bagaimana berita kecurangannya boleh tersebar secepat itu?

Fazliatun berhenti di sebuah pondok. Dalam hujan lebat begitu, terasa sukar untuk menahan teksi. Pandangannya agak terbatas. Keadaan jalan raya nampak berkabus dan putih. Seluruh tubuhnya sudah basah akibat terkena hujan. Dia menahan sejuk. Menggigil badannya. Hampir setengah jam menunggu, baru muncul sebuah teksi. Cepat-cepat dia menahan.

"Nak pergi mana, adik?" tanya pak cik teksi itu.

"Boleh tak hantarkan saya ke Shah Alam tak pak cik?"

"Boleh-boleh. Naiklah!"

Fazliatun melangkah ke dalam teksi. Mujurlah ada teksi yang lalu. Sepanjang perjalanan, hatinya menangis. Jika Tengku Fazrul Shah yang menghalaunya, dia boleh terima lagi. Tetapi ayah kandung sendiri yang tergamak melakukan perkara itu. Manalah dia tidak sedih dan berduka. Tersayat sungguh hatinya. Pedih dan kecewa. Emaknya ingin menghalang dia pergi, namun ayahnya menahan.

Dia tahu emaknya menyebelahi dia. Dari riak wajah Puan Rohaya, terlihat kesedihan yang cukup dalam. Mesti emaknya sedih melepaskan dia pergi. Dan lebih sedih lagi apabila Encik Ahmad tidak mahu mengaku dia sebagai anak. Hina sangatkah dia pada mata ayahnya sehingga sanggup membuangnya? Kenapa mudah sangat Encik Ahmad percaya dengan fitnah orang berbanding cakap anak kandung sendiri?

'Sampai hati ayah buat Tun macam ni. Tun tak salah. Ini semua fitnah.' Hatinya menangis lagi.


"KAT manalah Tun sekarang ni? Kesian dia," ujar Puan Rohaya sambil mengesat air mata. Hujan masih lebat di luar. Belum ada tanda-tanda nak berhenti. Hatinya merintih pilu mengenangkan nasib Fazliatun.

"Yang awak nak menangis tu kenapa? Anak yang derhaka macam tu buat apa nak ditangiskan. Tak ada guna. Membazir air mata aje."

"Apa pun berlaku, dia tetap anak kita, bang. Abang tak boleh buang dia. Jangan kerana perkara ni, abang terus nak hukum dia."

"Awak mana tahu perasaan abang. Abang malu, Yah. Mana abang nak letak muka ni kat depan Tengku Marzuki. Tentu dia cakap abang yang tak pandai bagi didikan agama pada Tun. Malu abang."

"Sampai hati abang buat Tun macam tu. Yah tak sangka abang sekejam ni. Abang dah tak sayangkan Tun ke?"

"Anak tak guna macam tu tak ada maknanya abang nak sayang. Sebelum ni bolehlah. Tapi, lepas dia malukan abang, jangan harap abang nak terima dia lagi. Biar dia rasa macam mana hidup tanpa restu orang tua. Memang tulah hukuman yang paling sesuai buat dia. Biar dia tahu diri sikit."

"Astaghfirullahalazim, abang. Tak baik doakan anak macam tu. Walau macam mana besar pun kesilapan dia, kita sebagai orang tua tak boleh nak hukum dia. Hanya Allah sahaja yang tahu siapa benar, siapa yang salah."

"Lagi-lagi awak nak menangkan anak tak guna tu. Tak faham betul abang dengan awak ni."

"Abang maafkan Tun, ya," pujuk isterinya lembut.

"Jangan mimpilah. Kalau hitam abang cakap, hitamlah. Awak jangan berani nak call dia lagi. Abang tak izinkan."

"Sampai bila abang nak hukum dia?"

"Yah tak payah nak pujuk-pujuk abang. Abang tak akan maafkan kesilapan dia sampai abang mati. Tak akan!" Bergetar suara Encik Ahmad.

Mengucap panjang Puan Rohaya. Dia faham benar perangai suaminya. Kalau sudah begitu kata Encik Ahmad, memang susahlah. Sedih hati Puan Rohaya. Lagi seminggu sahaja Hari Raya Aidilfitri akan menjelang. Dia ingatkan tahun ini mesti meriah dengan kehadiran menantu. Rumah mereka akan berseri-seri dan bermakna selepas Fazliatun berkahwin. Namun lain pula yang jadi.

"Tak lama lagi kan nak raya. Abang maafkanlah dia. Yah merayu kat abang." Puan Rohaya memujuk lagi.

"Awak ni dah tak faham bahasa melayu lagi ke? Dah berapa kali abang cakap, abang tak akan maafkan dia. Biarlah hari raya ni kita sambut berenam aje tanpa Tun. Tak matilah abang kalau dia tak ada. Apa dia ingat suami dia orang kaya boleh senangkan kita ke? Selagi abang ada tulang empat kerat, selagi tu abang akan kerja untuk menampung hidup kita sekeluarga."

Encik Ahmad berdiri di muka pintu. Nafasnya dihela panjang. Masalah besar yang sedang menimpa keluarganya terlalu sukar diterima. Sampai hati Fazliatun melakukan perkara itu. Lama dia termenung. Dia mahu menenangkan dirinya sekejap.

Puan Rohaya tidak berani menegur. Dia membuka televisyen. Biarlah suaminya melayan perasaan sendiri. Sekejap lagi dia nak menyediakan juadah berbuka puasa. Dia merancang hendak membuat roti canai dan dicicah dengan kuah dal. Sudah lama sangat mereka tak makan juadah seperti itu. Lebih-lebih lagi apabila Fazliatun balik ke rumah. Mesti anaknya itu suka.

Terbayang-bayang di matanya wajah Fazliatun. ‘Maafkan mak, Tun. Mak tak mampu nak halang kemarahan ayah. Kesian anak mak. Walau apapun yang jadi, mak tetap sebelahkan Tun sebab mak tahu anak mak tak akan buat perkara tak baik macam tu. Ini semua fitnah.’

Puan Rohaya tersedar dari khayalan. Jarum jam dikerling sepintas lalu. Sudah menginjak ke angka lima petang. Puan Rohaya segera menuju ke dapur. Doh yang sudah diuli beberapa jam tadi dikeluarkan dari tudung saji. Rasanya sudah boleh dilenyek dengan penggelek. Selepas kerjanya siap, dia menyediakan kuah dal pula.

Isteri SementaraWhere stories live. Discover now