KETIKA kereta yang dipandu oleh Tengku Fazrul Shah baru sampai di Jalan Tunku Abdul Rahman, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Sekilas dia memandang nama pemanggil yang tertera di atas skrin. Papa! 'Ada apa pulak papa call aku ni?' Pantas dia menyambungkan handsfree ke telefonnya.
"Hello, pa! Kenapa papa call Rul ni?" soalnya spontan.
"Rul tak payahlah cari rumah kat Petaling Jaya tu," jawab Tengku Marzuki sedikit nyaring.
Berkerut dahi Tengku Fazrul Shah.
"Kenapa pulak? Papa tak izinkan Rul pindah ke?"
Tengku Fazrul Shah mengerling ke arah Fazliatun yang duduk di sebelahnya. Saat itu, mereka berdua hendak pergi ke Petaling Jaya untuk mencari rumah baru."Bukan papa tak izinkan Rul pindah. Sebenarnya papa terlupa nak bagitahu Rul pasal banglo yang papa dah beli kat Shah Alam tu. Papa ingat nak hadiahkan banglo tu kat Rul. Rul suka tak?" jelas Tengku Marzuki satu per satu. Baru dia teringat akan banglo yang dia beli kira-kira enam bulan yang lepas. Memang sengaja dia merahsiakan perkara itu dari pengetahuan keluarganya kerana mahu membuat kejutan untuk anak bongsunya itu suatu masa nanti.
"Betul ke ni, papa? Kenapa papa tak bagitahu Rul masa sarapan pagi tadi? Dah berapa lama papa beli banglo tu?" Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Tengku Fazrul Shah. Teruja benar dia mendengar cerita papanya.
"Papa memang nak cakap kat Rul tadi. Tapi, mama pulak ada. Kalau boleh, papa tak nak mama tahu pasal banglo tu. Rul rahsiakan perkara ni, ya!"
"Oh macam tu. Okeylah, papa. Rul akan rahsiakan perkara ni dari mama. Terima kasih, pa!"
"Sama-sama! Bila Rul nak tengok rumah tu?"
"Kalau boleh hari ni," jawab Tengku Fazrul Shah.
"Boleh jugak tu. Tapi Rul kena ambil sendiri kunci rumah tu kat papa. Nanti papa beritahu alamatnya."
"Baiklah. Kejap lagi Rul sampai."
"Okey. Hati-hati bawa kereta tu!" pesan Tengku Marzuki mengingatkan anaknya.
"KENAPA, encik?" Fazliatun yang masih tidak memahami butir perbualan suami dan mertuanya itu segera bertanya.
"Kita tak jadi nak tengok rumah kat Petaling Jaya tu. Papa dah beli banglo untuk I," terang Tengku Fazrul Shah. Dia kembali fokus pada pemanduannya.
"Alhamdulillah, syukur!"
"Yang you suka sangat ni dah kenapa?" Wajah Fazliatun dilihatnya ceria.
"Mestilah suka, encik. Tak payahlah nak tunggu lama lagi. Esok lusa dah boleh pindah, kan. Kalau baru nak beli rumah, lambat juga prosesnya. Entah bilalah dapat pindah. Jika boleh, saya nak pindah cepat-cepat."
Fazliatun melontarkan pandangan ke luar. Terasa lapang fikirannya saat ini. Sudah terbayang-bayang di ruang matanya suasana rumah baru yang dirasakan lebih selesa berbanding rumah milik keluarga suaminya. Tidak perlulah lagi dia menghadap muka mak singa. Itu yang paling dia suka. Mesti hidupnya akan lebih bahagia selepas ini. Duduk berdua saja tanpa ada gangguan orang luar.
"You tak payah suka sangatlah. Lagipun, tu bukan rumah you. Nanti dah cukup setahun, kita cerai jugak. So, you janganlah berangan nak jadi permaisuri kat rumah I." Kata-kata Tengku Fazrul Shah kedengaran agak pedas di telinga Fazliatun. Tidak menyangka, sampai begitu sekali pandangan suaminya pada dirinya. Makin lama, makin ketara perubahan sikap Tengku Fazrul Shah.
"Saya faham status saya. Encik jangan bimbanglah. Apabila masanya tiba, saya akan mengundurkan diri. Saya tak akan tuntut apa-apa dari encik selain dari gaji yang encik janjikan dulu. Itu aje yang saya nak." Suara Fazliatun masih sama seperti tadi, cuma intonasinya perlahan.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...