"CIK nak saya hantar sampai mana ni?" Firman bertanya.
"Sampai kat sini ajelah. Saya boleh naik Lrt."
"Tak jauh ke? Cik ni sebenarnya tinggal kat mana?" Firman memandang Fazliatun sekilas.
"Saya tinggal kat Sentul."
"Oh, Sentul. Bukannya jauh sangat. Biar saya hantar ajelah sampai ke rumah cik. Buat susah-susah pulak nak naik Lrt. Waktu petang macam ni banyak tau orang. Mesti sesak."
"Awak ni kenapa baik sangat? Dah tak ada kerja lain ke nak buat daripada menolong saya? Saya boleh balik sendiri. Tak payah nak buat baik pulak." Fazliatun masih berdegil.
Firman ketawa kecil. Gadis ini memang keras kepala.
"Hantar cik balik rumah ni pun kerja jugak. Daripada saya buat kerja tak elok, lebih baik saya bantu cik yang berada dalam kesusahan ni. Dapat jugak pahala, kan. Orang tua selalu cakap. Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari."
Fazliatun hanya diam. 'Bagus juga kalau dia nak hantar. Tak payahlah aku nak naik Lrt. Dahlah ramai orang, buat rimas aje. Nak menunggu lagi satu hal. Kalau cepat, tak apa juga. Terima ajelah bantuan dia. Tapi, kalau Fazrul nampak lelaki ni hantar aku sampai rumah, apa aku nak jawab?'
"Maaflah kalau saya ni banyak tanya. Boleh saya tahu nama cik ni siapa, ya? Tak sedap pula nak bercakap kalau tak tahu nama. Susah nak sebut." Firman bertanya spontan.
"Tak payahlah nak tahu. Tak penting pun."
"Apa pulaknya tak penting. Nama ni kan pengenalan diri seseorang. Kalau tak ada nama, macam mana orang nak panggil. Takkan saya nak panggil cik, hoi hoi aje. Kan tak manis bunyinya."
"Tu pandangan awak, bukan saya. Saya rasa benda macam tu tak penting. Sorry sangat. Saya harap awak faham."
Begitu keputusan Fazliatun. Buat apa dia nak beritahu namanya kepada lelaki itu? Mereka baru sahaja berkenalan. Bukan ada bawa faedah apa-apa pun. Dia sudah berkahwin dan ada suami. Kalau jiran-jirannya nampak dia keluar dengan lelaki lain, sudah tentu jadi buah mulut orang. Dia cukup berhati-hati akan hal yang satu itu. Sebelum berlaku apa-apa, lebih baik dia berjaga-jaga.
"Saya rasa awak hantar saya sampai kat depan kedai tu ajelah! Dah dekat sangat dengan rumah saya," arah Fazliatun.
"Baiklah cik tak bernama. Saya menurut perintah."
Fazliatun dah hampir nak ketawa mendengar kata-kata Firman tetapi masih boleh ditahan. Pandai juga lelaki itu buat lawak. Kelakar.
"Jangan lupa pulak makan ubat tu. Nanti kalau perut cik tu sakit lagi, saya juga yang susah," pesan Firman ketika Fazliatun hendak melangkah keluar dari keretanya.
Fazliatun hanya mengangguk tanda faham.
"Apa pun, saya nak ucapkan terima kasih sekali lagi kat awak sebab awak sudi tolong saya. Kalau awak tak ada tadi, mesti saya dah terbaring sorang-sorang kat situ. Saya minta diri dulu!"
Firman tersenyum lebar memandang Fazliatun.
"Sama-sama. Hati-hati sikit jalan tu."
Dari jauh dia memerhatikan gadis itu berjalan menuju ke sebuah flat. 'Rupanya kat sini dia tinggal. Senanglah aku nak cari nanti.' Firman benar-benar tertarik hati apabila melihat seraut wajah itu. Rasa tenang jika menatap wajah lembut Fazliatun. Dari air muka, Firman dapat mengagak gadis itu masih belum berkahwin lagi. Paling kurang pun, umurnya sekitar 19 atau 20 tahun.
Setelah hampir dua tahun kecewa kerana ditinggalkan kekasih hati, kali ini hatinya berputik kembali. Dulu dia pernah bertunang dengan seorang gadis pilihan keluarga. Biarpun pada mulanya dia tidak menyukai gadis itu, namun cintanya mulai hadir selepas mereka mengikat tali pertunangan. Dia amat mencintai Farisha sepenuh hati. Tiada wanita lain yang dia sayang selain Farisha.
Ketika majlis perkahwinan mereka akan berlangsung kira-kira dua bulan sahaja lagi, tiba-tiba Farisha berubah laku. Perangainya mula bertukar. Tiada lagi panggilan manja yang sering dia ungkapkan seperti masa tengah hangat bercinta dulu. Yang paling Firman sedih, Farisha membuat keputusan untuk berpisah darinya kerana hendak berkahwin dengan lelaki lain.
Hati siapa yang tidak kecewa dengan peristiwa pahit itu. Tanpa sebab kukuh, Farisha sanggup mempermainkan perasaannya. Akibat kejadian itu, hatinya seakan mati untuk mencintai seorang insan bergelar wanita. Hidupnya terasa kosong. Hampir dua tahun dia membawa duka sengsara. Namun setelah bertemu dengan Fazliatun, hatinya seperti bersinar semula. Gadis itu benar-benar istimewa di matanya.
Dia berjanji akan mencari maklumat berkaitan dengan diri gadis itu. Sebelum Fazliatun disambar orang, lebih baik dia bertindak cepat. Senyumannya kian melebar di bibir. Hari ini merupakan hari paling bahagia dia rasakan. Bayangan Farisha seakan hilang dari pandangan mata. Kini, gadis tidak bernama itu yang berada di hatinya.
Firman meneruskan semula perjalanan ke Bandar Sunway. Di situlah dia tinggal.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...