FAZLIATUN terjaga selepas tertidur di atas sofa beberapa jam lalu. Apabila dia membuka mata, ayah dan ibu mertuanya tidak ada di dalam bilik. Ke mana pula mereka pergi? Pantas dia menuju ke katil suaminya. Lelaki itu masih belum sedarkan diri. Keadaannya tetap sama seperti tadi.
"Bilalah abang nak bangun? Tun rindukan abang. Rindu sangat-sangat. Lama tak tengok abang senyum. Tun rindu," ucapnya lirih.
Dia memegang wajah Tengku Fazrul Shah. Lama dia memandang muka suaminya. Memang benar lelaki itu kacak dan hensem orangnya. Hidungnya mancung seperti pelakon bollywood. Keningnya lebat, kulitnya pula putih bersih tanpa sebarang jerawat. Apa yang menarik, kumis nipis yang menghiasi atas bibirnya itu menampakkan lagi ketampanannya. Memang hensem. Bergetar jantung Fazliatun. Jika Allah berkehendak, cepat saja hati manusia boleh berubah.
"Kenapalah selama ni Tun tak nampak tu semua. Hati Tun terlalu keras untuk terima cinta abang. Tun memang buta mata dan hati. Tun janji, kalau abang sembuh...Tun akan jalankan tanggungjawab Tun sebagai seorang isteri. Tun nak sangat panggil abang dengan panggilan abang. Mesti abang suka, kan?"
Fazliatun berbicara dua mata dengan suaminya. Biarpun Tengku Fazrul Shah masih tidak sedarkan diri, namun dia tahu suaminya mendengar suaranya. Dia cukup yakin. Berkali-kali dia memberikan kata-kata perangsang buat lelaki itu supaya kuat dan tabah.
Sedang leka menatap wajah itu, tiba-tiba tangan suaminya bergerak-gerak. Tidak beberapa lama selepas itu, denyutan nafasnya terhenti. Terkejut Fazliatun melihat alat itu tidak berfungsi. Grafnya mendatar sahaja. Tidak ada turun naik.
"Abang...abang! Nurse...tolong! Doktor! Tolong...tolong suami saya!" pekiknya agak kuat.
Cemas wajahnya. Dia menapak perlahan-lahan mencari jururawat yang masih bertugas. Namun tidak ada seorang pun di situ. Ke mana mereka semua pergi? Hatinya dilanda seribu tanda tanya.
Nyawa suaminya dalam bahaya saat ini. Dia perlu cepat mendapatkan bantuan. Akhirnya, dia masuk semula ke dalam wad suaminya. Resah perasaannya. Apa yang dia harus lakukan?
"Ya Allah, Kau selamatkanlah suami aku! Aku tak nak kehilangan dia." Hampir kering air matanya kerana terlalu banyak menangis.
Keadaan Tengku Fazrul Shah seakan kaku seperti tidak bernyawa. Langsung tidak ada tarikan nafas di dada lelaki itu. Dia memberanikan diri untuk memeriksa nadi suaminya. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati nadi suaminya sudah terhenti. Tidak ada lagi denyutan di situ. Allahuakbar!
"Abang! Kenapa abang tinggalkan Tun? Abang dah janji nak hidup semati dengan Tun. Abang tipu. Tak mungkin ni semua terjadi. Tun tak percaya. Bangun, bang! Bangun!" Semakin kuat tangisan Fazliatun. Dia meraung sekuat hati.
"Mak, ayah...abang dah pergi tinggalkan Tun. Mama, papa...datanglah cepat tengok abang! Mana semua orang pergi? Kenapa biarkan Tun sendiri kat sini? Tun tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni. Suami Tun dah pergi dari hidup Tun."
Tidak kuat dia nak menempuhi dugaan yang paling besar ini. Kemanakah dia harus menumpang kasih? Suaminya sudah meninggal dunia. Tidak ada guna lagi dia hidup di atas dunia ini. Hidupnya sudah musnah. Apa guna dia melahirkan anaknya jika suaminya telah pergi menghadap Ilahi.
"Tolong aku! Suami aku dah tinggalkan aku! Tolong!" jeritnya agak kuat. Moga-moga ada orang yang mendengar jeritannya.
"TUN...bangun! Kenapa terjerit-jerit ni? Tun menggigau ni." Suara Tengku Arianis memecah keheningan pagi.
Dia terkejut apabila mendengar suara orang meminta tolong. Saat itu dia sedang menjaga anaknya. Tiba-tiba saja dia mendengar Fazliatun menjerit-jerit. Berderau juga darahnya.
Tengku Marzuki yang tidur di sebelah isterinya terus terjaga kerana tidurnya terganggu.
"Kenapa ni, Anis?" soalnya bimbang. Wajah isterinya dipandang.
"Entahlah, bang. Saya dengar Tun menjerit-jerit. Apabila saya kejutkan dia, dia masih tak sedarkan diri. Saya rasa dia mimpi buruk ni."
"Cuba awak kejutkan dia sekali lagi."
"Tun...bangun sayang!"
"Tolong aku! Selamatkan suami aku!" Fazliatun masih meracau-racau.
Tengku Marzuki pantas menghampiri. Dia mencapai air mineral yang terletak di atas meja lalu dibacakan beberapa potong ayat suci Al-Quran. Kemudian, dia merenjiskan air itu ke muka Fazliatun beberapa kali. Tidak sampai dua minit, menantunya itu tersedar.
"Mama...papa! Abang...abang!" ucapnya sebaik saja membuka kelopak mata. Berpeluh-peluh dahinya.
"Kenapa dengan Rul?" Tengku Marzuki bertanya.
"Abang dah meninggal dunia, pa. Sampai hati abang tinggalkan Tun. Dia mungkir janji."
"Apa yang Tun merepek ni? Rul tak ada apa-apa. Mungkin Tun mimpi ni," ujar ibu mertuanya. Kasihan dia melihat Fazliatun. Kerana terlalu risaukan Tengku Fazrul Shah, sehingga bermimpi yang bukan-bukan.
"Betul. Tun tak tipu. Kalau mama tak percaya, Tun boleh tunjukkan."
Segera dia bangun dari sofa lalu menuju ke katil suaminya. Dilihatnya, lelaki itu masih lagi bernafas. Graf yang terpapar pada alat itu pun menunjukkan petanda positif. Dia menenyehkan bola mata berkali-kali. Seakan tidak percaya melihat keajaiban ini. Benarkah apa yang dia lihat ini? Atau dia sedang berhalusinasi?
'Ya Allah, syukur!' ucapnya dalam hati.
"Betulkan mama cakap?"
"Tapi tadi Tun tengok..."
"Dahlah. Tun mimpilah tu. Fikirkan sangat pasal Rul sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Tak payah nak fikir lagi. Tun pergi rehatkan diri tu. Baca ayat-ayat suci Al-Quran untuk tenangkan hati."
Fazliatun akhirnya duduk. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Lega hatinya apabila semua yang dialami sebentar tadi hanyalah mimpi belaka. Berdebar-debar juga jantungnya.
"Tun banyakkan rehat. Tulah, mama suruh balik rumah tak nak. Degil juga nak jaga Rul. Sebab tu meracau yang bukan-bukan. Mama dan papa pun dah cukup nak jaga dia kat sini," kata Tengku Arianis lagi.
"Ni tanggungjawab Tun. Tun isteri abang."
"Betul tu. Papa tahu. Tak apalah, kalau Tun nak jaga Rul, kita gilir-gilir jaga. Lepas mama jaga, biar papa pula jaga. Sekarang ni papa nak Tun tidur dulu. Nanti papa kejut!" arah Tengku Marzuki kemudiannya.
"Baiklah, papa!"
Fazliatun hanya menurut kata. Biarlah dia merehatkan diri sejam dua lagi. Matanya memang mengantuk sangat. Dia perlukan rehat yang cukup sepanjang tempoh mengandung ini. Begitulah nasihat doktor padanya dulu.
Dia harus menenangkan diri. Fikirannya tidak boleh terganggu. Tentang suaminya, ada mertuanya yang menjaga. Dia tak perlu khuatir lagi. Doktor pun kata, peluang suaminya untuk hidup masih ada.
Fazliatun meletakkan sepenuh harapan pada Yang Maha Kuasa. Hanya Dia lebih tahu soal hidup mati setiap hamba-hambaNya. Dia yakin, Tengku Fazrul Shah boleh sembuh seperti semula.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
عاطفيةGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...