DIA mengesat air mata yang masih berbaki di pipi. Kenangan lalu itu terlampau pedih dan perit untuk diingat semula. Bagaikan baru semalam peristiwa malang itu berlaku. Saat ini, dia sudah terpacak rapi di hadapan musuh ketatnya. Siapa lagi kalau bukan Fazliatun. Hanya dia seorang di situ. Nauri tidak ada sekali. Malas menunggu kerana dia tahu Nauri selalu sibuk memanjang.
Hari ini, Tengku Fazrul Shah akan datang membawa duit tebusan. Tinggal beberapa jam lagi, musuhnya itu akan datang. Sengaja dia datang awal ke sini. Semasa dia sampai tadi, Darus dan Sood sedang tidur di ruang bawah. Dia yang mengarahkan mereka berdua menjaga Fazliatun dan Tengku Arianis. Risau juga jika dua orang wanita itu terlepas. Tak pasal-pasal, misinya terbantut pula.
Rizal membuka kain yang menutupi mulut mereka berdua. Dia ketawa berdekah-dekah, bagaikan orang gila. Puas hatinya melihat Fazliatun diculik begitu. Terjegil biji mata Tengku Arianis memandangnya.
"Selamat petang, auntie! Macam mana duduk kat tempat ni. Selesa tak?" soalnya sambil tersenyum sinis.
"Lepaskan auntie, Zal! Auntie merayu kat kamu," ucap Tengku Arianis perlahan. Dia tidak boleh berkasar dengan Rizal. Berkasar hanya boleh mengundang kemarahan lelaki itu.
"Apa auntie cakap? Saya tak dengarlah."
Rizal ketawa lagi. Kali ini lebih kuat berbanding tadi. Matanya beralih pada Fazliatun yang nampak lesu dan tidak bermaya. Amarahnya makin memuncak sebaik melihat wajah itu. Dia menyabarkan hati.
"Zal nak apa dari kami? Nak duit ke? Auntie boleh bagi duit kat Zal. Cakap aje berapa. Auntie boleh tunaikan."
"Haha. Auntie ingat, saya ni boleh dibeli dengan duit. Agak-agak auntielah, duit auntie yang menimbun tu boleh beli nyawa adik saya tak? Orang dah mati boleh hidup semula ke? Tak boleh, kan?" jerkahnya kuat.
Terkejut Tengku Arianis apabila disergah begitu. Fazliatun yang duduk di hadapannya pun turut terkedu. Wajah Rizal menyingga dan berubah sama sekali.
"Mawar dah lama meninggal dunia. Zal pun dah maafkan Rul, kan. Kenapa pula nak ungkit cerita lama?"
"Saya tak akan maafkan kesalahan dia. Sebab dialah, adik saya mati. Sampai bila-bila pun, saya berdendam dengan Rul. Itu janji saya."
"Ya Allah, Zal! Janganlah cakap macam tu. Rul tak salah dalam hal ni. Apa yang berlaku tu dah ditetapkan oleh Allah."
"Tak salah auntie cakap. Rul yang putuskan pertunangan dengan Mawar. Adik saya tertekan dan stress. Dia trauma sampai terlibat dalam kemalangan. Kalau Rul tak buat macam tu, tentu sampai sekarang adik saya masih hidup. Dia memang melampau. Saya perlu balas semula apa yang telah dia buat."
Fazliatun yang sedari tadi menjadi pendengar, mengerutkan kening tanda tidak mengerti. Siapakah Mawar dalam hidup Tengku Fazrul Shah? Perbualan Rizal dan ibu mertuanya itu benar-benar tidak difahaminya. Seolah-olah ada kisah lama yang cuba diselak semula antara suaminya dan Mawar.
"Ya, auntie tahu tu salah Rul. Zal maafkan Rul, ya! Buang yang keruh ambil yang jernih. Kita berbaik-baik macam dulu. Auntie tahu Zal ni seorang budak yang baik." Tengku Arianis memujuk.
"Tak. Saya tak akan maafkan dia. Dia harus terima hukuman. Hutang nyawa harus dibayar dengan nyawa juga."
Rizal sudah tidak boleh mengawal diri. Dia pantas merentap kasar rambut Fazliatun sehingga membuatkan Fazliatun menjerit.
"Ya Allah, jangan seksa menantu auntie! Dia tak salah." Meraung Tengku Arianis menyaksikan Fazliatun diperlakukan begitu rupa. Dia meronta-ronta ingin membantu Fazliatun namun tangannya masih berikat.
"Hei pompuan, dengar sini baik-baik apa yang aku nak cakap! Kau harus bayar segala dendam aku. Selagi kau hidup dalam dunia ni, sampai bila-bila pun aku tak akan tenang. Kau patut mati. Baru puas hati aku."
"Tolonglah, Zal! Kesiankanlah saya. Saya merayu pada awak." Fazliatun tidak kuat untuk melawan. Tenaganya agak terbatas. Kedua-dua tangannya diikat. Tambahan pula, dia sedang sarat mengandung.
Saat itulah Nauri sampai. Dia ketawa berdekah-dekah menyaksikan Fazliatun diseksa begitu. Perempuan itulah punya angkara Tengku Fazrul Shah meninggalkannya. Memang wajar Fazliatun menerima hukuman seperti itu. Sesuai sangat dengan muka dia. Dasar perampas kebahagiaan orang. Dia buru-buru ke sini kerana baru teringat pasal janji dengan Tengku Fazrul Shah. Nasib baik dia cepat datang.
Tengok-tengok, Rizal sudah terpacak rapi di dalam. Dari sudut hatinya, ada juga menaruh syak kepada lelaki itu. Bimbang juga andai Rizal mengkhianatinya. Janji manusia ni bukan boleh dipercaya sangat. Kerana duit, adik-beradik pun boleh berbunuh. Inikan pula orang luar.
"Kesiannya kau. Auntie tak nak tolong ke menantu kesayangan auntie tu." Nauri menghampiri Fazliatun.
"You jangan masuk campur, Nauri. Dia ni bahagian I," kata Rizal.
"I pun nak ajar juga dia. Takkan you sorang aje nak seksa dia. Mana adil macam tu."
"Apa you nak buat?"
"Erm...apa ya? Kejap I fikir."
Wajah Nauri dan Rizal dipandang silih berganti oleh Tengku Arianis. Geram sungguh dia melihat mereka berdua. Andai dia ada kuasa saat itu, sudah lama dia menghukum mereka. Perangai mengalahkan binatang.
"Kau jangan ingat, kau dah dapat rampas Fazrul dari aku...dah cukup hebatlah kau! Kalau aku tak dapat, kau pun tak boleh miliki dia. Biar sama-sama putih mata. Kau faham tak?" Nauri menampar pipi gebu Fazliatun sebanyak dua kali. Rasa sakit hatinya masih belum berkurangan pada perempuan itu. Mahu sahaja dicekik-cekik leher Fazliatun sampai putus nyawa.
"Saya tak akan terima dia semula. Awak ambillah dia kalau itu boleh menggembirakan hati awak. Lepaskanlah saya dan mama saya! Kami tak salah," rayu Fazliatun lagi.
"Tak semudah tu. Kami cuma nak tengok mayat kau aje terbujur kaku kat sini. Biar padan muka Rul. Biar dia merana. Memang tu yang aku nak. Kau harus mati untuk tebus semua kesilapan Rul." Rizal membuka ikatan tangan Fazliatun. Tubuh Fazliatun ditarik ke bahagian atas.
"Jangan bawa menantu auntie! Nauri tolonglah Tun. Dia mengandung tu. Jangan apa-apakan cucu auntie." Sudah serak suara Tengku Arianis kerana terlalu banyak menjerit. Tidak sanggup dia melihat Fazliatun diapakan-apakan. Mengapakah mereka berdua benci sangat pada menantunya? Apa salah Fazliatun?
"Auntie boleh diam sikit tak? Asyik memekak aje dari tadi. Kalau auntie nak selamat, tutup mulut tu. Auntie nak kami bunuh auntie macam Fazliatun jugak ke? Jangan cabar Nauri. Apa pun Nauri sanggup buat tau."
"Apa yang Nauri cakap ni?"
"Zal akan bunuh dia. Perempuan tak guna tu memang patut mati. " Selamba sahaja muka Nauri berkata-kata. Langsung tidak ada rasa bersalah. Biarlah Fazliatun mati. Dia juga pernah menginginkan perempuan itu lenyap dari dunia ini satu ketika dulu. Janji, hatinya puas.
"Tapi apa salah, Tun?"
"Tu Nauri tak tahu. Zal cakap, Fazrul berhutang nyawa dengan dia. Dan dia nak Tun yang jadi korbannya."
"Zal, jangan bunuh Tun! Dia tak salah. Zal bunuh auntie. Auntie rela tebus semua kesilapan anak auntie. Tolonglah dengar kata auntie ni." Bergema suara Tengku Arianis memenuhi ruang bangunan lama itu.
"Ish. Auntie ni memang tak makan saman tau. Diam!" jerit Nauri nyaring. Pantas dia menutup mulut Tengku Arianis dengan kain. Meronta-ronta wanita tua itu. Baru puas hatinya sekarang. Nak memekak saja.
Nauri mengerling jam tangannya. Sudah menghampiri ke pukul empat petang. Seperti yang telah dipersetujui oleh Tengku Fazrul Shah malam tadi, lelaki itu akan datang sekejap lagi. Tidak sabar-sabar dia menantikan wang tebusan bernilai Rm 500,000 itu. Senyumannya semakin lebar menghiasi bibir.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...