PAGI itu Fazliatun bangun seawal jam lima pagi. Dia ingin menunaikan solat subuh. Sejak malam tadi, dia tidur di atas sofa manakala Tengku Fazrul Shah tidur di atas katil. Sebelum ini, dia yang tidur di situ. Namun selepas kejadian semalam, segalanya telah berubah. Hubungan mereka sebagai suami isteri telah terjejas akibat kejadian malang itu. Semuanya berpunca dari Tengku Arianis.
Fazliatun tak ambil kisah pun pasal perkara itu. Asalkan dirinya tidak diapa-apakan, cukuplah. Sekurang-kurangnya, Tengku Fazrul Shah masih lagi menghormati statusnya sebagai isteri sementara seperti yang dipersetujui oleh mereka berdua dalam kontrak perjanjian itu. Sememangnya dia bersyukur kepada Allah kerana melindungi dirinya.
Fazliatun melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk. Beberapa minit kemudian, dia keluar semula. Setelah memakai telekung, dia membentangkan sejadah mengikut arah kiblat. Dia solat dengan penuh khusyuk dan tawaduk; menyerahkan sepenuh jiwa dan raga kepada Sang Pencipta. Rasa tenang jiwanya saat itu. Seusai solat, dia berdoa. Dalam doanya, dia mengharapkan kebahagiaan dalam rumah tangganya biarpun perkahwinan itu hanya sekejap.
"Ya Allah, Kau kurniakanlah keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tanggaku. Kau berikan aku kekuatan untuk menempuhi segala ujian yang akan datang. Aku pasrah Ya Allah sekiranya ditakdirkan berpisah dengan suamiku apabila masanya tiba. Hanya Engkau sebaik-baik perancang. Kau lindungilah suamiku dari sebarang malapetaka dan keburukan. Hanya kepadaMu tempat aku bermohon dan menyerah diri. Amin, amin, Ya Rabbal Alamin."
Fazliatun meraup muka sebaik selesai berdoa. Hatinya menjadi tenang kini. Tiada lagi rasa gelisah seperti semalam. Memang dia terkilan dengan tuduhan liar suaminya. Dia juga punya hati dan perasaan apabila dihina sebegitu. Namun, dia tidak pernah menyimpan dendam pada suaminya. Dia tahu Tengku Fazrul Shah sedang berada dalam dilema, antara ibu dan isteri. Suaminya itu sudah tersepit di tengah-tengah. Perlu memilih antara dua.
Dia berharap selepas berpindah dari rumah ini, hidupnya akan menjadi lebih aman dan tenteram. Mereka akan membawa haluan masing-masing. Dan yang paling penting, dia tidak perlu lagi duduk sebilik dengan suaminya. Perkara itulah yang dia tunggu-tunggu sejak menjadi isteri Tengku Fazrul Shah. Dia bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa terikat dengan suaminya.
TEPAT jam lapan pagi, Tengku Fazrul Shah bangkit dari tidur. Hari minggu seperti ini dia memang tidak bekerja. Biasanya, dia akan keluar berjogging di sekitar taman permainan, tidak jauh dari rumahnya. Ketika dia hendak melangkah ke bilik air, dia bertembung dengan Fazliatun. Isterinya itu hanya tersenyum memandangnya. Dia langsung tidak membalas, wajahnya sengaja dimasamkan. Rasa sakit hatinya sejak semalam masih belum berkurangan.
Setelah memakai tuala, dia terus meluru masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Lama juga dia mandi. Hampir dua puluh minit. Selesai mandi, dia keluar. Saat itu Fazliatun sedang menonton rancangan MHI di kaca televisyen. Cepat saja dia memakai seluar track bottom dan singlet tanpa lengan ke tubuh.
"Encik nak pergi ke mana awal pagi macam ni? Hari ni kan tak kerja," ucap Fazliatun perlahan. Dia memandang sekilas ke arah suaminya sambil matanya tetap fokus ke hadapan.
"Jogging." Dalam marah-marah, Tengku Fazrul Shah tetap menjawab pertanyaan isterinya.
"Saya nak ikut boleh tak?"
"Tak payahlah. I nak cepat ni." Muka Tengku Fazrul Shah masih masam.
"Encik marahkan saya ke?"
"Memang I masih marah lagi kat you. So, jangan banyak tanya." Tengku Fazrul Shah sudah berdiri tegak lalu menuju ke muka pintu. Pantas Fazliatun menahan.
"Nanti dulu, encik! Okeylah. Saya mengaku semua ni silap saya. Saya janji tak akan buat lagi lepas ni," luah Fazliatun ikhlas. Nampak gaya, terpaksalah dia meminta maaf jika hanya dengan cara itu boleh meredakan hati suaminya. Sampai bila mereka berdua harus bermusuh seperti itu? Tidak akan ada jalan penyelesaian jika masing-masing keras kepala dan mengikut telunjuk hati.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...