AMBULANS yang membawa Fazliatun meluncur laju ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Sebaik tiba di situ, dia terus dikejarkan ke wad kecemasan. Terdapat banyak darah yang keluar dari kepalanya. Fazliatun perlu diselamatkan segera. Raihana dan Firman terpaksa menunggu di luar dengan perasaan risau. Bermacam-macam andaian buruk sedang bermain di minda mereka saat itu.
"Ana risau, bang. Macam manalah keadaan Tun kat dalam sana tu? Ana sayang Tun. Ana tak nak kehilangan dia. Janganlah ada perkara buruk berlaku kat dia," ucap Raihana penuh risau. Wajahnya kelihatan bimbang.
"Kita doakan Tun selamat, Ana. Abang pun risau juga. Kita serahkan aje perkara ni kepada Allah Taala. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa. Ana kena kuat hadapi dugaan ni," nasihat Firman lembut. Dia nampak lebih tenang kini. Tidak serabut lagi seperti tadi.
"Abang rasa perlu tak Ana telefon mak dan ayah Tun? Nak ke mereka datang selepas apa yang terjadi?" soal Ana tiba-tiba.
"Kena call juga. Mereka patut tahu pasal perkara ni. Sama ada mereka nak datang ke tak, tu terpulang. Janji, kita dah bagitahu. Tun kan anak mereka."
"Yalah. Biar Ana call keluarga dia."
Raihana pantas mendail nombor rumah keluarga Fazliatun. Tidak sampai beberapa saat, panggilan berjawab.
"Assalammualaikum, mak cik! Ana ni," ucap Raihana dengan suara yang kedengaran sayu.
"Waalaikumussalam. Ya Ana, ada apa call mak cik malam-malam ni?" tanya Puan Rohaya agak risau. Hatinya seperti tidak sedap. Sejak maghrib tadi hatinya resah semacam. Tak tahulah kenapa.
"Ana nak bagitahu pasal Tun. Ana harap mak cik banyakkan sabar, ya..."
"Kenapa dengan Tun?" pintasnya tanpa sempat Raihana menyudahkan bicaranya. Semakin cemas muka Puan Rohaya.
"Tun ada kat Hospital Kuala Lumpur sekarang ni. Dia terjatuh kat rumah sewa kejap tadi. Kepalanya berdarah, mak cik. Masa Ana datang tadi, dia tak sedarkan diri. Kalau mak cik nak tengok dia, bolehlah datang sekarang. Dia masih ada kat dalam wad kecemasan," jelas Raihana lagi.
Hampir terduduk Puan Rohaya apabila mendengar berita buruk itu. Patutlah hatinya resah semacam sejak tadi. Rupa-rupanya, ada benda tak baik berlaku pada Fazliatun. Lemah terasa seluruh tubuhnya sebaik saja mengetahui cerita sebenar.
"Kejap lagi mak cik datang, ya. Terima kasih sebab bagitahu."
"Sama-sama. Ana tunggu mak cik kat sini."
'Ya Allah, anak aku! Macam mana boleh jadi macam ni, Tun?'
Puan Rohaya sudah jatuh terjelepok di atas lantai. Dia menangis teresak-esak. Encik Ahmad yang baru selesai menunaikan solat Isyak segera menuju ke ruang tamu apabila mendengar suara tangisan seseorang. Terkejut dia setelah melihat isterinya terbaring lemah di situ. Seperti ada perkara buruk yang berlaku.
"Ya Allah, Yah! Kenapa dengan awak ni?" Encik Ahmad segera mendekati isterinya.
Puan Rohaya semakin kuat menangis. Bertambah pelik Encik Ahmad. Tubuh isterinya dipegang.
"Cuba bagitahu abang. Apa yang dah jadi sampai awak menangis macam ni?" Dia membangunkan Puan Rohaya. Wajah isterinya dipandang mohon jawapan.
"Tun, bang. Tun..."
"Kenapa dengan Tun?" Suaranya meninggi. Rasa marahnya pada Fazliatun masih berbaki sampai ke saat ini. Entah apa lagi masalah yang dilakukan oleh anak perempuannya itu. Tak habis-habis nak menyusahkan mereka suami isteri.
"Tun terjatuh kat rumah tadi. Kepala dia berdarah. Sekarang ni dia ada kat HKL. Kesian Tun, bang. Apalah malang sangat nasib dia," luah Puan Rohaya sambil tersedu-sedan. Suaranya sudah serak kerana terlalu banyak menangis.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomantikGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...