MEREKA sampai ke situ lebih kurang setengah jam kemudian. Ketika itu Rizal dan Nauri sudah menunggu di dalam kereta. Darus mengarahkan Sood membawa Fazliatun.
"Jalan!" Tubuh Fazliatun ditolak ke hadapan.
Sebaik sampai di situ, Nauri dan Rizal pun keluar sambil tersengih-sengih. Terkejut Fazliatun apabila melihat mereka berdua. Ternyata, ini semua rancangan mereka. Memang benarlah apa yang dia lihat dalam video yang ditunjukkan oleh Firman dulu. Mereka ada agenda untuk menculiknya secara halus.
"Selamat datang, Tun! Terkejut tak?" soal Nauri lalu ketawa.
"Cuak aje aku tengok muka kau. Mesti kau pelikkan kenapa aku culik kau? Nanti kita sembang panjang-panjang kat dalam. Darus, bawa dia masuk!" arah Rizal tegas.
Darus mengikut perintah. Dia mengarahkan Fazliatun duduk di kerusi belakang. Setelah itu, pintu kereta ditutup.
"Bagus. I suka dengan cara kerja you all. Memang perfect. Tak sampai dua jam pergi, dah dapat culik dia. Boleh tahan. Syabas!" ucap Nauri gembira. Dia menepuk tangan tiga kali.
"Kan kami dah cakap. Kerja ni mudah sangat." Darus berkata bangga.
"Ni baki duit upah tu. Tapi ingat, jangan sampai perkara ni bocor! Kalau rahsia ni pecah, I akan cari you all sampai ke lubang cacing."
"Faham, bos."
Duit sudah bertukar tangan. Lebar sahaja senyuman mereka.
"Sekarang ni, korang boleh berambus. Anggap aje kita tak pernah kenal sebelum ni." Rizal mengarahkan mereka bertiga pergi dari situ. Rancangan seterusnya yang mahu dibuat, tidak perlu diketahui oleh mereka.
"Bos tak nak bantuan kami lagi ke?"
"Buat masa ni, I boleh buat sendiri. Dah jangan banyak soalan, you all boleh pergi sekarang!" ujar Nauri lagi. Dia tidak mahu melengah-lengahkan masa.
"Jomlah blah!" ajak Ghani.
"Yalah. Kami balik dulu bos!"
Pemergian mereka bertiga hanya diekori oleh pandangan mata Nauri dan Rizal. Lega sungguh hati Nauri. Kali ini, rancangannya benar-benar menjadi.
"Dahlah. Kita gerak ke tempat tu sekarang!"
Nauri segera masuk ke dalam kereta. Rizal hanya menurut kata. Pedal minyak ditekan sekuat mungkin. Fazliatun yang berada di belakang memandang ke kiri dan kanan. Entah ke manalah dia akan dibawa oleh Nauri dan Rizal. Cemasnya kian bertepi. Teringat pula dia pada emak dan ayahnya. Sebentar lagi, mereka akan pulang dari tempat kerja. Pasti mereka terkejut apabila mendapati dia tidak ada di rumah.
Apabila sampai di sebuah bangunan lama yang nampak terbengkalai, tiba-tiba kereta berhenti. Nauri melangkah keluar lalu membuka pintu belakang. Tangan Fazliatun ditarik kasar.
"Keluar!" arahnya keras.
Fazliatun menurut saja. Langkah kakinya diatur perlahan-lahan. Keadaan di sekeliling bangunan lama itu diperhatikan berkali-kali. Aneh sungguh tempat itu. Seperti sudah lama ditinggalkan kerana ditutupi oleh semak dan belukar. Ketika kakinya menapak di muka pintu, tiba-tiba dia mendengar ada suara perempuan meminta tolong. Suara siapakah itu? Hatinya tertanya-tanya.
"Tolong...tolong aku!" pekik suara itu.
Nauri menjadi pelik. Macam mana pula Tengku Arianis boleh bercakap sedangkan semalam Rizal sudah menutup mulut perempuan itu dengan kain?
Fazliatun diarahkan naik ke tingkat dua. Rizal tetap mengekori dari belakang. Apabila sampai di satu sudut paling belakang, lagi sekali Fazliatun terkejut. Dia melihat Tengku Arianis sedang duduk di atas lantai dengan tangan yang diikat.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...