Bab 45

14.9K 306 0
                                    

BALIK saja ke rumah, Fazliatun rasa tidak sedap badan. Kepalanya terasa pening pula. Dia terus masuk ke dalam bilik.

"Kenapa dengan Tun? Sakit ke?" soal Puan Rohaya apabila melihat muka Fazliatun pucat.

"Tak tahulah, mak. Tadi elok aje. Saya nak tengok dia kejap."

"Ya, pergilah!"

Tengku Fazrul Shah masuk ke bilik. Tubuh isterinya dihampiri. Dia memegang kepala Fazliatun. Terasa panas.

"You kenapa ni, sayang? Panas betul badan you ni. You demam ke?" soalnya perlahan.

"Taklah."

"Apanya yang tak. Badan you panas sangat ni. Tadi elok aje. Jom kita pergi klinik!"

"Malaslah saya. Saya nak rehat aje." Fazliatun sudah menarik selimut ke tubuh.

"Janganlah macam tu. Nanti sakit you tambah teruk pulak."

Raut muka Tengku Fazrul Shah kelihatan bimbang. Risau sungguh dia melihat wajah pucat isterinya itu. Tadi elok sahaja keadaan Fazliatun. Apabila sampai ke rumah sahaja, terus panas tubuhnya.

"Cubalah you dengar sikit cakap I ni. I kan suami you. Tak baik tau ingkar cakap suami."

Fazliatun hanya membisu. Matanya cuba dirapatkan.
Tengku Fazrul Shah terpaksa menahan sabar melayan perangai degil isterinya. Dia tak mahu menimbulkan sebarang pertengkaran lagi. Jika boleh, biarlah rumah tangga mereka sentiasa aman dan tenteram tanpa ada sengketa.

"Kalau you tak pergi klinik, you kena makan panadol. Kejap lagi I pergi beli ya," pujuknya lembut.
Kali ini Fazliatun mengangguk.

"Okey! I pergi dulu!"

Tengku Fazrul Shah melangkah keluar. Ketika itu dia bertembung dengan Encik Ahmad di ruang tamu.

"Ha Rul, kamu nak pergi mana pulak tu macam tergesa-gesa aje ayah tengok?"

"Rul nak pergi kedai kejap beli panadol."

"Siapa pulak yang sakit kepala?"

"Tun demam, ayah. Badan dia panas sangat. Risau pulak saya.”

"Lah, kenapa tak bawa pergi klinik?" Encik Ahmad terus berdiri.

"Rul dah ajak. Tapi Tun tak nak. Dia cakap nak berehat aje kat dalam bilik. Risau Rul tengok badan dia panas semacam."

Puan Rohaya yang mendengar suara orang bercakap segera datang menghampiri.

"Apa bising-bising ni, bang?"
"Tun demam."

"Astaghfirullahalazim. Patutlah muka dia pucat aje tadi. Dah tahu badan tu tak
sihat, degil juga nak keluar. Kan dah demam. Ish, budak ni. Mana dia? Biar mak yang paksa dia pergi klinik."

Puan Rohaya segera masuk ke dalam bilik Fazliatun. Kepala anaknya itu dipegang. Panas.

"Tun...tun. Bangun, nak! Kita pergi klinik, ya!" pujuknya lembut.

"Tun tak nak pergi klinik. Tun nak baring aje."

"Janganlah degil. Kau tu kan tak sihat. Nanti kalau ada apa-apa, mak jugak yang susah hati. Tun pergi klinik, ya."

Fazliatun membuka mata. Wajah emaknya dipandang lama. Kepalanya terasa berdenyut-denyut.

"Tun baik-baik ajelah mak. Nanti dah makan panadol sihatlah tu." Suaranya perlahan sahaja.

"Degil betullah Tun ni. Badan dah panas macam ni pun kata tak ada apa. Mak tak kira. Mak nak Tun pergi juga ke klinik." Muka Puan Rohaya kelihatan serius. Nampak gaya, terpaksalah juga dia ke klinik. Kalau muka mak dah macam tu, memang faham-faham ajelah.

"Yalah!"

Dia terus bangun.
Setelah memakai tudung, dia keluar. Tengku Fazrul Shah sudah tersenyum lebar sambil mengenyit mata ke arah Fazliatun.

‘Ni mesti dia yang suruh mak pujuk aku. Pandai betul guna orang tengah. Nanti dia!’

"Kami minta diri dululah mak, ayah!"

"Hati-hati memandu tu," pesan Encik Ahmad.


"BUKAK lagi ke klinik malam-malam macam ni?" Fazliatun bertanya apabila masuk ke dalam kereta.

"Ada lagi. You rehatlah, jangan banyak gerak!"

"Saya ni cuma sakit kepala aje. Bukannya demam."

"Tak kiralah sakit kepala ke...demam ke. Yang penting kita pergi klinik. Kalau biarkan aje macam tu, lagi melarat jadinya."

“Pandai betul encik pujuk mak saya. Mengada. Kalau mak tak pujuk tadi, jangan harap saya nak pergi klikik.”

“Mana ada I cakap. Mak yang nak pujuk you.”

“Mengaku ajelah. Bukan saya tak tahu perangai encik. Tak dapat cara kasar, cara halus yang encik guna.”

“Ke situ pulak you fikir.” Tengku Fazrul Shah malas melayan amarah isterinya. Kalau dia tak mengalah, sampai ke esok pun tak habis.

“Yalah, I mengaku I yang suruh mak pujuk you. I buat semua tu pun sebab tak nak you apa-apa. Tu aje. Tak salahkan? Ni semua untuk kebaikan you juga. Bukan untuk orang lain.”

Fazliatun terus membisu.
Tengku Fazrul Shah kembali fokus memandu. Dia tahu Fazliatun masih marah. Biarlah dia sejuk dulu.

Rasanya masih ada lagi klinik swasta yang buka pada waktu-waktu begini. Setelah puas memusing satu Kuala Lumpur, baru dia bertemu dengan sebuah klinik di tengah
kota.

"You boleh jalan tak? Kalau tak boleh, biar I pimpin tangan you," ujar Tengku Fazrul Shah sebaik memarkirkan kereta di petak yang disediakan.

"Boleh jalan lagi ni. Encik jangan risaulah!"

Fazliatun melangkah perlahan-lahan. Risau juga Tengku Fazrul Shah. Dia membiarkan isterinya jalan di hadapan. Jika ada apa-apa berlaku, dia boleh menyambut isterinya itu.

"You duduk dulu! Nanti I amik nombor."

Fazliatun mengangguk lemah. Entah kenapa, badannya terasa tidak bermaya. Sebelum keluar rumah awal maghrib tadi, badannya elok lagi. Balik sahaja ke rumah terus jadi lain macam pula. Mungkin sebab dia makan sate daging kot. Sebab itu, kepalanya tiba-tiba sakit. Entahlah.

"Nombor berapa?"

"234," jawab Tengku Fazrul Shah.

Fazliatun mengerling ke arah monitor yang memaparkan nombor giliran. Baru nombor 227. Ada lagi enam nombor sebelum tiba gilirannya untuk membuat pemeriksaan doktor.

"You boleh tahan tak?" Tengku Fazrul Shah bertanya lagi.

"Boleh."

"Tadi badan you elok aje masa kita keluar. Kenapa tiba-tiba boleh demam pulak?" Tengku Fazrul Shah berasa hairan.

"Entahlah, encik. Badan saya ni memang pelik sikit. Kalau nak sakit tu, senang-senang aje datang. Tak boleh nak jangka. Jangan mak sangka yang bukan-bukan dahlah."

"Maksud you apa? I tak faham."

"Saya takut jugak mak ingat saya ni mengandung. Kita kan dah nak masuk dua bulan kahwin. Tu yang saya risau," luah Fazliatun sedikit bimbang.

"Ish, merepeklah. Takkanlah you boleh mengandung kalau I tak buat apa-apa kat you. Imposibble!" Tengku Fazrul Shah menggeleng.

"Memanglah mustahil. Tapi...mak dan ayah tahu ke pasal hubungan kita? Mesti dia orang ingat kita ni macam pasangan suami isteri yang lain. Saya harap, mak tak tanya soalan tu. Tak kuasa saya nak jawab."

"I harap pun macam tu."

Beberapa minit kemudian, Fazliatun bangun menuju ke bilik doktor. Tengku Fazrul Shah turut bangun lalu mengikut isterinya.

"Saya dah buat pemeriksaan. Puan ni cuma demam biasa aje. Biasalah cuaca kat Malaysia sekarang ni panas sangat. Puan kena banyakkan minum air masak dan elakkan makanan yang berkolesterol tinggi. Lain-lain penyakit tu memang tak ada," jelas doktor perempuan yang bernama Maisarah itu.

"Terima kasih, doktor!"

"Sama-sama."

Sebaik sahaja mereka keluar dari bilik doktor, Tengku Fazrul Shah mencuit bahu isterinya.

"Kan I dah cakap, you demam tapi tak nak percaya. Degil!"

"Yalah. Encik menang kali ini. Sukalah tu, kan."

"Nak suka apa pulak kalau you tak sihat. Lagi I risau adalah."

Selepas mengambil ubat di kaunter, mereka terus pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan, Fazliatun hanya diam tanpa suara. Begitu juga dengan Tengku Fazrul Shah.


"APA kata doktor, Tun? Teruk tak demam Tun?" Risau sungguh muka Puan Rohaya sebaik anak dan menantunya sampai.

"Alhamdulillah, mak. Tun cuma demam biasa aje. Nanti makan ubat, sembuhlah tu."

"Syukurlah, bang. Anak kita tak ada apa-apa." Puan Rohaya menarik nafas lega. Dalam hatinya saat itu, tertanya-tanya juga perkara lain yang mungkin berlaku. Hati tuanya meronta-ronta ingin tahu.

"Demam aje ke?" Dia bertanya lagi. Encik Ahmad di sebelahnya sudah mengerutkan dahi.

"Ya. Kenapa mak tanya?" Fazliatun melabuhkan punggung di sisi suaminya. Jantungnya tiba-tiba berdebar.

"Tak adalah, mak ingatkan Tun tak sihat sebab ada benda lain. Manalah tahu kalau-kalau dah ada ‘isi’."

"Eh, awak ni Yah...ke situ pulak perginya. Mengarut saja." Encik Ahmad mencelah perbualan mereka. Dia tahu, mesti isterinya memikirkan perkara lain. Menggeleng dia melihat tingkah Puan Rohaya.

"Belum ada rezeki lagi mak. Tun dengan abang memang dah rancang nak dapat anak. Cuma tulah, Allah belum nak kabulkan permintaan kami," jelas Fazliatun cuba menyedapkan hati orang tuanya.

Tengku Fazrul Shah seakan-akan tidak percaya apabila isterinya berkata begitu. Dia memang inginkan anak. Cuma dalam situasi mereka sekarang ini, mahu ke Fazliatun mengandung? Nak mencintai suami sendiri pun tidak mampu, inikan pula nak berikan dia zuriat. Apakah Fazliatun sengaja berkata begitu untuk menyedapkan hati Pun Rohaya?

"Mak ni bukannya apa. Teringin sangat nak timang cucu. Kalau belum ada rezeki nak buat macam mana. Mak cuma boleh doakan kau orang cepat-cepat dapat anak. Siang dan malam mak tak henti-henti berdoa."

Begitu sekali harapan seorang ibu. Kasihan pula Tengku Fazrul Shah mendengar impian ibu mertuanya itu. Jika Puan Rohaya tahu status hubungan mereka, sudah
pasti dia akan susah hati.

"Awak dulu pun lambat juga kan mengandung. Tun ikut awaklah tu," tambah Encik Ahmad lagi. Dia masih ingat semasa isterinya mengandung kira-kira 21 tahun yang lepas, hampir dua tahun mendirikan rumah tangga, barulah mereka diberikan zuriat. Pada awalnya, dia berputus asa juga untuk mengharap. Namun, dia cuba bersabar dan menganggap itu semua merupakan dugaan yang diberikan oleh Allah untuk menguji sejauh mana ketaatan HambaNya.

"Mungkin jugaklah, bang. Tak apalah. Belum ada rezeki lagi. Kita tunggu ajelah."

"Kami akan cuba buat yang terbaik untuk mak dan ayah. Terima kasih sebab doakan kami suami isteri," ucap Tengku Fazrul Shah agak yakin. Seolah-olah dia meletakkan harapan kepada mertuanya. Harapan yang entah bila akan muncul.

Rancak juga mereka berbual. Banyak perkara dibincangkan anak-beranak. Tengku Fazrul Shah selesa berhadapan dengan mertuanya. Mereka sungguh baik dan berfikiran terbuka. Semakin lama, semakin sayang pula dia kepada ibu dan ayah mertuanya itu. Seperti dia menyayangi Tengku Arianis dan Tengku Marzuki.



Isteri SementaraWhere stories live. Discover now