Perasaan Azreena semakin berdebar-debar sekarang. Kedua-dua tangannya disilang memeluk dada lalu matanya dipejam seketika. Sejam lagi pesawat MH 245 yang membawanya akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak. Penerbangan dari London yang transit di Kuala Lumpur itu memakan masa berjam-jam dan memenatkan sendi-sendi ototnya. Tanpa memperdulikan penumpang-penumpang lain Azreena mengeliat untuk melegakan badannya. Hmm...baru rasa okey sedikit.
Sebenarnya kedatangan Azreena ke bandaraya Kuching dirasakan begitu asing sekali. Mana tidaknya, dia dilahirkan dan dibesarkan di kota raya London sejak 22 tahun yang lalu. Papa dan mamanya telah merantau jauh ke kota metropolitan itu untuk mencuba nasib di rantau orang. Papanya telah memulakan perniagaan dengan modal hasil daripada pembahagian harta pusaka arwah datuknya. Harta pusaka yang dibahagikan di antara papa dan kakaknya yang juga merupakan Mak Long kepada Azreena.
Menurut cerita papa, datuk dan neneknya terlibat dalam kemalangan jalanraya dan meninggal serta-merta. Kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang dari bandar Sibu ke Kuching . Perasaan sedih dan kecewa kerana kehilangan orang tua menyebabkan papanya memutuskan untuk membawa diri mencari ketenangan ke luar negara. Papa membawa bersama mama dan abang Azlan yang pada ketika itu baru berumur 2 tahun. Pemergian keluarga papa ke London mendapat bantahan daripada Mak Long dan suaminya malah ahli keluarga mama sendiri. Papa juga mengajak Mak Long turut serta tetapi Mak Long tidak mahu meninggalkan tanah kelahirannya. Selepas setahun mereka menetap di London, papa menerima berita tentang kematian Mak Long akibat sakit barah. Sejak itu keluarga Azreena telah terputus hubungan dengan Pak Long dan anaknya kerana mereka telah berpindah ke tempat lain. Papa mengambil keputusan terus menetap di London apabila perniagaannya semakin maju dan berkembang pesat. Tiga tahun kemudian, Azreena dilahirkan dan dibesarkan di kota metropolitan itu.
Dalam pada termenung dan melayan perasaan begitu , Azreena terperasan ada sepasang mata galak yang dari tadi asyik memerhatikannya. Lelaki itu duduk di barisan kerusi sebelah kanan di tepi tingkap sebaris dengan Azreena yang duduk di barisan kerusi sebelah kiri. Kebetulan pula tiada penumpang lain yang duduk di barisan itu. Sesekali mereka bertemu pandang, lelaki itu tersenyum padanya. Bagaimanapun Azreena buat-buat tidak tahu sahaja.
'Biarlah dia dengan senyumannya itu ,' bisik Azreena.
Ingin sahaja Azreena menjulingkan mata kepada lelaki itu. Biar terlopong mulutnya. Tiba-tiba perasaan nakal timbul untuk mengenakan orang di sebelahnya itu. Namun hasratnya terbantut apabila terdengar pengumuman.
" Tuan-tuan dan puan-puan, pesawat ini akan mendarat sebentar lagi. Sila pasangkan tali pinggang keledar anda dan tegakkan tempat duduk anda..." kata ketua pramugari itu.
Azreena tidak sabar untuk bertemu dengan papa dan mamanya. Bagaimanakah keadaan mereka agaknya. Pagi semalam papa menelefon Azreena mengatakan akan menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bersama mama.
Papa dan mama Azreena telah terlebih dahulu pulang ke Kuching, Sarawak setahun yang lalu. Azreena pula terpaksa menghabiskan dahulu pengajian sarjana muda dalam bidang Ekonomi Perniagaan. Dia tinggal bersama keluarga abangnya di rumah mereka di London.
" Er..saudari , kita dah sampai ni.." terdengar suara seseorang menegurnya. Azreena tersedar dari lamunan dan pantas menoleh ke sebelahnya. Lelaki itu tersengih memandangnya. Mereka bertentangan mata seketika. Alamak, tiba-tiba dada Azreena rasa berdebar. Boleh tahan juga kacaknya lelaki ini.
" Maaflah sekiranya saya Saya tengok saudari jauh termenung. Nama saya Zamrin Shahrul," lelaki itu memperkenalkan diri. Senyumannya memang boleh mencairkan hati, apatah lagi terdapat lesung pipi pada pipi kanannya.
"Tak mengapa. Saya Azreena,"balas Azreena.Matanya terus menatap wajah tampan lelaki itu. Senyumannya terus terukir.
Azreena sengaja tidak mahu memberikan nama penuhnya iaitu Alisya Hani Azreena binti Nazaruddin. Dengan senyuman manis pula Azreena terus berdiri dan berlalu meninggalkan tempat duduknya. Azreena menoleh ke belakang apabila tiba di bahagian pintu dalam pesawat. Lelaki itu masih terpinga-pinga memandangnya. Azreena memberikan senyuman sekali lagi sebelum berlalu pergi.
YOU ARE READING
Kasih Kita
RomancePertemuan dalam pesawat MAS telah menyemai perasaan istimewa Shahrul terhadap Azreena, walaupun baru mengenalinya ketika itu. Azreena yang lahir dan dibesarkan di London menyusuli orang tuanya yang telah terlebih dahulu menetap di Sarawak. Shahrul k...