Suasana di pejabat pagi itu masih lagi lengang. Belum ramai staf yang datang kerana jam baru menunjukkan pukul 7.15 pagi. Waktu pejabat adalah dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Shahrul masih termenung duduk di kerusi empuk dalam bilik pejabatnya yang berhawa dingin. Matanya dipejamkan melayan perasaan. Fikiran Shahrul menerawang jauh memikirkan perkara-perkara yang mengganggu mindanya. Pagi tadi sengaja Shahrul keluar awal dari rumah. Seawal jam 6.30 pagi. Malah dia belum bersarapan lagi. Ayah dan ibunya masih belum keluar dari bilik mereka.
Petang semalam Shahrul telah turun ke pejabat buat pertama kalinya. Dia telah diperkenalkan oleh ayahnya, Dato' Nassier kepada semua staf Mega Holdings. Shahrul diperkenalkan sebagai Pengarah Urusan dan diletakkan di dalam sebuah bilik mewah yang didudukinya sekarang.
" Selamat pagi Encik Shahrul," ucapan daripada Marlia, setiausaha yang genit dan seksi itu mematikan lamunan Shahrul. Bila masa Marlia masuk tidak disedarinya.
"Ada apa Marlia?" tanya Shahrul
"Jauh benar Encik Shahrul termenung, sehingga saya mengetuk pintu dan masuk pun Encik Shahrul tidak perasan," ujar Marlia dengan gaya manja dan senyuman yang menggoda.
"Ni ada beberapa dokumen yang perlu Encik Shahrul tandatangani. Sila semak dan bacalah dulu," tambah Marlia lagi dengan pandangan yang galak.
Marlia tidak sangka anak bosnya itu mempunyai rupa paras yang kacak. Hati wanitanya mula tergoda . Bagi Marlia perwatakan Shahrul menepati cita rasa wanita sepertinya. Marlia mula menyulam angan-angan untuk menarik perhatian anak bosnya itu. Mata Marlia semakin galak memandang Shahrul sedangkan Shahrul sendiri buat tidak tahu sahaja.
"Okay done," kata Shahrul menyuakan fail itu kepada Marlia.
"Encik Shahrul nak minum apa-apa? Boleh saya buatkan?" soal Marlia cuba mengambil hati.
"Er...tak pe. Saya tak rasa nak minum. Nanti saya nak keluar," ujar Shahrul memandang wanita di hadapannya itu.
" Kalau begitu saya keluar dulu. Kalau Encik Shahrul nak apa-apa panggillah saya okey," ujar Marlia sedikit kecewa.
Sebaik sahaja Marlia keluar, Shahrul menarik nafas lega. Matanya dipejamkan mencari ketenangan. Fikirannya masih keliru. Deringan telefon bimbit mengejutkan Shahrul.
"Hello Shah, ibu sini,"Datin Maznah menyapa di hujung talian.
" Ya bu," sahut Shahrul perlahan.
"Kenapa awal sangat turun pagi tadi? Sarapan pun tak sempat," Datin Maznah berkata kepada anak bujangnya.
" Saja ibu. Lagipun Shah tak rasa lapar," balas Shahrul
"Ni ibu nak bagi tau, petang nanti Shah balik awal ya,"ujar Datin Maznah.
"Kenapa bu?" tanya Shahrul kehairanan.
"Tan Sri Rahman menjemput kita makan malam di rumahnya. Dia minta Shah ikut sama," terang Datin Maznah. Gembira sahaja nada suara ibunya pada pendengaran Shahrul.
"Ibu,kalau boleh Shah tak nak ikutlah. Ibu dan ayah sajalah yang pergi," kata Shahrul sambil mengeluh perlahan. Inilah yang dia keberatan hendak lakukan.
"Kenapa pula tak boleh ikut? Ibu dahpun memberi kata setuju. Lagipun inilah masanya Shah nak berkenalan dengan Rozita tu," pujuk Datin Maznah.
"Ibu selalu saja membuat persetujuan tanpa memberitahu Shah dulu," rungut Shahrul tidak berpuas hati.
Seperti lelaki lain Shahrul juga ingin menentu dan memilih pasangan sendiri. Rancangan Dato' Nassier dan Datin Maznah membuatkan fikirannya buntu. Jiwa lelakinya memberontak. Namun Shahrul juga tidak mahu menjadi anak derhaka. Dia mengeluh...
YOU ARE READING
Kasih Kita
RomancePertemuan dalam pesawat MAS telah menyemai perasaan istimewa Shahrul terhadap Azreena, walaupun baru mengenalinya ketika itu. Azreena yang lahir dan dibesarkan di London menyusuli orang tuanya yang telah terlebih dahulu menetap di Sarawak. Shahrul k...