36

339 20 3
                                    

"Azreena !"

Azreena menoleh ke belakang apabila mendengar namanya dipanggil. Dahinya berkerut melihat seorang lelaki tersenyum kepadanya. Hati Azreena tertanya-tanya siapa lelaki itu.

"Reena tak kenal saya?" soal lelaki itu. Wajah gadis itu direnungnya.

"Maaf saya tak berapa ingat. Encik siapa ya?"

"Cepat betul Reena lupa. Saya Roslan. Ingat tak hari tu saya hantar Shahrul pulang ke rumah. Kemudian kita minum petang. Goreng pisang yang Reena buat hari tu sangat sedap," bersungguh-sungguh Roslan menjelaskan kepada Azreena supaya dapat mengingatinya.

"Oh ! Encik yang hantar abang Shah hari tu. Maaf, saya mudah lupa," balas Azreena. Dia mengukir senyuman buat lelaki di hadapannya itu.

Roslan memandang gadis di hadapannya itu dengan perasaan teruja. Cantiknya dia malam ini. Rupa-rupanya Azreena juga datang ke majlis pertunangan Shahrul. Mula-mula tadi Roslan tidak perasan akan kehadiran gadis itu. Maklumlah ramai tetamu jemputan yang ada dalam majlis tersebut. Apabila Azreena melalui mejanya tadi barulah Roslan perasan akan gadis itu yang pernah ditemui sebelum ini. Itu yang Roslan kejar hingga dekat dengan bilik air.

"Reena sangat cantik malam ni," ringan saja mulut Roslan memuji gadis itu. Memang tidak dapat dinafikan penampilan Azreena begitu memukau hatinya. Senyuman gadis itu boleh mencairkan lelaki yang memandangnya. Begitulah pendapat Roslan.

"Terima kasih Encik Roslan. Reena biasa-biasa sahaja." Wajah Azreena sudah merona merah apabila dipuji begitu.

"Tak usah berencik-encik ya Reena. Panggil abang Lan saja. Rasanya abang jauh tua dari Reena kot," ujar Roslan. Memangpun dia lebih tua dari Azreena. Sudah terang lagi bersuluh pula.

" Hmm...Reena belum biasalah Encik Roslan . Nantilah panggil gitu ya. Err..minta maaf Encik Roslan. Reena ke bilik air dulu ya. Excuse me."

"Oh..Reena lama lagikah di sini. Boleh kita berborak lagi lepas ni? Rasanya meja kita tak jauhkan?

"Ya, Reena duduk dengan Mak Kiah. Sorry Encik Roslan , Reena masuk dulu." Dengan itu Azreena segera masuk ke bilik air.

Upacara menyarung cincin tunang telahpun selesai. Seterusnya adalah acara menyerahkan hantaran. Pihak lelaki memberikan 5 hantaran dan dibalas 7 hantaran oleh pihak perempuan. Setelah itu bacaan doa dilakukan dan kemudian para hadirin dijemput menikmati hidangan makan malam.

Mereka yang berada di atas pentas bergerak turun ke meja utama. Makanan dan minuman telahpun dihidang di atas meja. Shahrul diarahkan duduk di sebelah Rozita. Mereka yang lain mengambil tempat masing-masing.

"Jemput makan semua," kata Puan Sri Rokiah. Pemilihan caterer dan lauk-pauk dilakukan sendiri oleh Puan Sri Rokiah. Dia menempah makanan daripada kawan baiknya yang merupakan pemilik sebuah restoran terkenal di bandaraya ini.

"Terima kasih Puan Sri. Semua lauknya nampak sedap." puji Datin Maznah. Dia meletakkan nasi di pinggan Dato' Nassier kemudian mengambil rendang daging yang merupakan salah satu lauk kegemaran suaminya itu.

"Panggil Kay saja Maz. Tak usahlah berPuan Sri bagai. Kita gunakan panggilan nama saja ya," cadang Puan Sri Rokiah.

"Kita pun sama ya Nassier. Tak usah guna gelaran tu." kata Tan Sri Rahman.

"Shah dengan Rozi pun panggillah kami dengan panggilan sepatutnya. Shah boleh panggil mummy dan daddy. Rozi pula boleh panggil ibu dan ayah," tambah Tan Sri Rahman lagi. Dia berharap agar hubungan ini menjadi erat.

Ibu bapa mereka rancak berbual namun lain halnya dengan Shahrul dan Rozita. Shahrul hanya mendiamkan diri. Banyak perkara yang difikirkannya. Salah satu daripadanya ialah dia tertanya-tanya ke mana perginya Azreena sekarang. Tidak nampakpun dengan Mak Kiah. Rozita juga begitu. Diam sahaja. Dia bukannya apa, sisa pening kepala masih belum hilang lagi. Jadi Rozita tidak mahu banyak bergerak dan bercakap. Dia takut kepalanya rasa pusing balik dan boleh muntah.

Kasih KitaWhere stories live. Discover now