Tepat jam 8 malam Shahrul dan ibu bapanya sudah berada di hadapan pintu besar banglo itu. Mata Shahrul liar melihat keadaan halaman banglo yang luas. Tanam-tanaman bunga yang pelbagai menceriakan kawasan itu dan diserikan lagi dengan lampu neon.
"Assalamualaikum," sapa Dato' Nassier kepada tuan rumah yang telah sedia menanti di muka pintu.
"Waalaikumusalam, selamat datang. Silakan masuk," sambut Tan Sri Rahman tersenyum sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Dato' Nassier, Datin Maznah dan juga Shahrul. Begitu juga dengan Puan Sri Rokiah.
Melangkah masuk ke ruang tamu membuatkan Shahrul terpegun seketika melihat susun atur perabot mewah gaya Inggeris. Shahrul memandang ibunya. Datin Maznah memperlihatkan senyuman yang mengandungi makna. Shahrul juga merasakan ibunya turut terpegun dan terpengaruh dengan kemewahan tersebut.
" Sila duduk dulu Dato', Datin, Shahrul. Makanan sedang dihidangkan," ujar Puan Sri Rokiah ramah. Matanya memandang Shahrul menyebabkan Shahrul berasa sedikit serba tidak kena.
"Oh ya lupa pulak bertanya. Inikah anak bujang Dato' dan Datin yang baru pulang dari luar negara tu?" tanya Tan Sri Rahman juga memandang Shahrul. Shahrul tidak selesa dipandang begitu.
"Inilah Zamrin Shahrul anak lelaki tunggal kami. Kami panggil Shah saja, lebih senang," ujar Dato' Nassier bangga.
" Tak sangka pulak rupanya Shah ni kacak orangnya,"puji Puan Sri Rokiah sambil ketawa.
"Padanlah dengan si Rozita. Bagai pinang dibelah dua, tak gitu ?" tambahnya lagi.
Shahrul senyum terpaksa. Hatinya sebenarnya tidak senang dengan situasi ini. Seperti pak turut sahaja rasanya kerana mengikut kemahuan orang tuanya. Jika tidak diturut serba salah pula. Lebih-lebih lagi ini kehendak ibunya yang jelas begitu demanding.
Bagi Tan Sri Rahman dan isterinya, ini satu peluang yang tidak boleh dipersiakan. Mereka tidak menyangka cadangan untuk menjodohkan Shahrul dengan Rozita mendapat persetujuan daripada Dato' Nassier dan isterinya. Dengan pengaruh yang ada, pujukan Tan Sri Rahman telah mendapat jawapan yang positif. Dengan perkahwinan ini nanti diharap dapat membendung sikap anak gadis mereka, Rozita yang liar.
"Hidangan telah sedia. Silakan Tan Sri, Puan Sri , Dato', Datin," Mak Minah pembantu rumah yang merangkap tukang masak mempersilakan mereka semua ke meja makan.
" Mak Minah tolong panggil Rozita di atas," arah Puan Sri Rokiah. Mak Minah menapak menuju ke tingkat atas banglo.
Seketika kemudian muncul Rozita yang turun dari tingkat atas. Di wajahnya terukir senyuman yang berseri-seri. Shahrul agak terperanjat apabila melihat penampilan Rozita yang walaupun kelihatan anggun tetapi nampak seksi dengan gaun potongan badan yang mendedahkan bahagian dadanya. Wajah Rozita cantik dengan bantuan make-up yang agak tebal. Kulit gadis itu hitam manis dengan ketinggian yang sederhana.
"Kenalkan inilah anak gadis kami," Tan Sri Rahman memperkenalkan Rozita.
Rozita segera menyalami Dato' Nassier dan Datin Maznah. Apabila tiba giliran Shahrul , senyuman Rozita semakin lebar bila tangan mereka bersentuhan. Rozita memang menggoda. Shahrul melarikan pandangan ke arah lain, malangnya apabila terpandangnya ibunya, Datin Maznah memberikan satu pandangan tajam yang penuh makna.
"Silakan semuanya ke meja makan," dengan ramah Puan Sri Rokiah menjemput.
Masing-masing mengambil tempat duduk. Shahrul disuruh duduk bersebelahan dengan Rozita. Haruman bau dari minyak wangi yang dipakai oleh Rozita menusuk-nusuk hidung Shahrul. Duduk berdekatan begitu tidak menyenangkan bagi Shahrul. Apalagi bila Rozita sengaja duduk terlalu dekat dengannya sehingga bahu mereka hampir bersentuhan. Shahrul juga perasan kedua-dua ibu bapa mereka asyik menguntum senyum, mungkin menandakan rancangan mereka telah berjaya.
![](https://img.wattpad.com/cover/109583092-288-k79434.jpg)
YOU ARE READING
Kasih Kita
RomancePertemuan dalam pesawat MAS telah menyemai perasaan istimewa Shahrul terhadap Azreena, walaupun baru mengenalinya ketika itu. Azreena yang lahir dan dibesarkan di London menyusuli orang tuanya yang telah terlebih dahulu menetap di Sarawak. Shahrul k...