Tepat jam 8.00 pagi Azreena sudah tercegat di hadapan pintu pagar banglo itu. Tidak banyak barang yang dibawa cuma sebuah beg lusuh yang besar. Kedatangannya disambut oleh tukang kebun iaitu Pak Samad. Areena dibawa berjumpa dengan Datin Maznah.
"Em... awal juga Reena datang hari ni. Memang tepat pada masanya," tegur Datin Maznah setelah menjawab salam Azreena. Senang hatinya melihat Azreena seorang yang menepati masa.
"Begitulah Datin, Reena akan cuba buat yang terbaik," kata Azreena tersenyum.
"Baguslah kalau Reena punya prinsip yang begitu. Itulah yang saya mahukan agar Reena tahu tanggungjawab di banglo ini," ujar Datin Maznah sambil meneliti penampilan Azreena yang pada pandangannya memang ringkas. Bagaimanapun di dalam hatinya, Datin Maznah tidak menafikan Azreena sememangnya seorang yang cantik jelita walaupun tidak mengenakan alat solek. Dia juga mendapati Reena seorang yang bersopan santun dan menghormati orang tua. Sikap Azreena mulai disenanginya.
"Bilikya sudah siap Datin", beritahu Mak Kiah.
" Mak Kiah, tolong bawa Reena ke biliknya. Saya harap Reena dapat biasakan diri di rumah ini. Nanti bolehlah Mak Kiah beri tunjuk ajar apa-apa yang patut pada Reena. Reena kenalah ingat tanggungjawab dan amanah yang diberikan," kata Datin Maznah menampakkan raut wajah yang sedikit serius. Datin Maznah berlalu ke tingkat atas banglo.
"Baik Datin," jawab Azreena sambil mengangkat begnya kemudian mengikut Mak Kiah ke biliknya yang terletak di bahagian belakang tingkat bawah berhampiran dengan ruang dapur.
" Masih awal lagi. Reena rehat dulu. Sekejap lagi bolehlah kita masak untuk makan tengah hari," kata Mak Kiah dengan ramah.
"Pukul berapa Mak Kiah?"
Azreena berasakan dia tidak perlu berehat lama. Tadipun dia bukannya letih sangat. Pak Mat yang tolong angkatkan beg sehingga ke pintu pagar. Azreena hanya jalan berlenggang sahaja. Azreena tersenyum sendiri mengingatkan tindakannya setakat ini.
"Lebih kurang pukul 10.00 pagi nanti Reena ke dapur ya. Tolong Mak Kiah sediakan bahan masakan. Mak Kiah keluar dulu ya," Mak Kiah berlalu dan menutup pintu bilik itu.
Termangu-mangu Azreena memerhatikan sekitar bilik itu. Bilik itu sederhana besar tetapi lengkap semua keperluannya. Azreena kemudian berbaring di atas tilam yang tebal. Seketika kemudian dia bangun dan mengeluarkan semua pakaiannya untuk disimpan dalam almari. Alat-alat soleknya diletakkan di meja solek. Bilik itu sudah dibersih dan dikemas sebelum kedatangannya. Hati Azreena lega walaupun keadaan bilik itu tidaklah semewah biliknya di Villa Sukma. Azreena membuat panggilan kepada mamanya untuk memaklumkan bahawa dia sudah selamat sampai di banglo itu. Azreena mengaktifkan alarm clock pada telefon bimbitnya pada pukul 9.45 pagi. Dia terlena seketika.
Bunyi alarm dari telefon bimbit mengejutkan Azreena. Dia segera bangun kemudian membetulkan rambut yang diikat satu. Azreena segera keluar dari bilik itu untuk mencari kelibat Mak Kiah. Mak Kiah yang sedia berada di dapur menyapa Azreena dan mengamitnya ke situ.
"Mak Kiah nak masak apa?" tanya Azreena pada Mak Kiah yang sedang menyiang ikan. Tangan Mak Kiah sangat cekap dan pantas mengerjakan ikan-ikan tersebut.
"Reena tolong kupas bawang putih dan merah, kemudian tumbuk halus-halus. Kita nak masak kari kepala ikan dulu."
Azreena menumbuk bawang tersebut. Kemudian dia menghiris halia kecil-kecil. Azreena teringat yang dia telah belajar memasak resipi kari kepala ikan daripada Mak Pah dua hari yang lalu.
"Dato'selalu balik makan tengahari ke Mak Kiah? Azreena bertanya Azreena bimbang juga kerana belum bertemu muka dengan Dato' tersebut.
Azreena cuba meneka-neka bagaimana rupanya Dato' itu. Janganlah jenis orang yang serius sangat sebab susah nanti nak berkomunikasi. Minta-minta juga jangan jenis yang miang keladi, makin tua makin menjadi. Naya pula nanti.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kasih Kita
RomancePertemuan dalam pesawat MAS telah menyemai perasaan istimewa Shahrul terhadap Azreena, walaupun baru mengenalinya ketika itu. Azreena yang lahir dan dibesarkan di London menyusuli orang tuanya yang telah terlebih dahulu menetap di Sarawak. Shahrul k...