Tan Sri Rahman dan isterinya segera memasuki bilik yang menempatkan Rozita setelah bertanya kepada jururawat yang bertugas di kaunter. Nampaknya, Rozita keseorangan di dalam bilik rawatan tersebut. Suhu bilik agak dingin dengan hembusan daripada penghawa dingin. Tan Sri Rahman memberi isyarat agar isterinya senyap supaya tidak mengganggu anak mereka yang sedang tidur itu. Puan Sri Rokiah menghampiri, mencium dahi dan menggenggam erat tangan Rozita. Tan Sri Rahman duduk di kerusi yang disediakan di situ. Buat seketika mereka suami isteri hanya merenung anak mereka yang masih belum sedar itu.
Rozita merasakan ada orang menyentuhnya dan perlahan-lahan membuka matanya. Mula-mula kabur dan kemudian penglihatannya semakin jelas. Sebaik sahaja terpandang orang tuanya, Rozita terus mengalirkan air mata. Hatinya terasa sebak dan sedih dengan apa yang menimpanya. Puan Sri Rokiah segera bangun dan memeluk anaknya itu. Puan Sri Rokiah membantu Rozita duduk menyandar di kepala katil. Rozita masih agak lemah lagi.
" Angkat perlahan sikit sayang. Biar mummy pegang" ujar Puan Sri Rokiah. Dia memaut belakang Rozita agar senang duduk.
"Dah lamakah daddy dan mummy sampai?" Rozita bertanya lemah . Dia memandang wajah daddy dan mummy dengan perasaan bersalah dan sedih.
"Baru sahaja sampai. Mummy dan daddy sengaja tak mahu mengganggu Rozi. Biar Rozi tidur dan rehat." Puan Sri Rokiah meneliti keadaan Rozita dari kepala hingga ke hujung kaki. Tangannya masih memegang lengan Rozita.
" Apa yang berlaku Rozi? Bagaimana boleh masuk wad ni?" Tan Sri Rahman terus bertanya dengan perasaan ingin tahu.
"Abang ni, biarlah dulu anak kita ni berehat. Ini tidak, terus saja tanya soalan" bantah Puan Sri Rokiah. Dia menjegilkan mata memandang suaminya. Pada pendapat Puan Sri Rokiah, biarlah Rozita bertenang dahulu. Dia baru sahaja sedar setelah mendapat rawatan. Orang tua ini tak sabar-sabar.
Rozita mengeluh perlahan. Matanya dipejamkan untuk mengumpul segala kekuatan. Seketika kemudian dia membuka matanya. Perutnya yang telah kempis dipandang dan diusap perlahan. Badannya masih lemah lagi. Rozita masih berasa nyilu pada bahagian bawah perutnya. Dia mengigit bibir menahan rasa sakit. Bekas cucian pada bahagian peranakannya masih rasa berdenyut-denyut. Mungkin sehari dua lagi akan redalah sakit itu.
"Rozi masih sakit lagi. Bawa berehat ya. Tak usah jawab pertanyaan daddy tu dulu." Puan Sri Rokiah lantas menjeling suaminya. Dia berdiri dan cuba membaringkan anaknya namun Rozita menegahnya.
"Tak apa mummy. Rozi dah rasa okey sikit. Biar Rozi duduk. Penatlah kalau asyik baring saja."
Rozita memandang wajah daddynya dengan senyuman kelat. Dia mula merangka-rangka kata-kata yang sesuai untuk menjawab pertanyaan daripada Tan Sri Rahman tadi.
"Daddy, Rozi minta maaf sebab menyusahkan daddy dan mummy. Rozi mengecewakan daddy dan mummy. Sebenarnya, Rozi keguguran. Kandungan Rozi gugur. Itu bukan salah orang lain tetapi salah Rozi sendiri. Rozi yang terlalu moody sehingga melanggar meja dan kaki Rozi tersangkut pada kaki meja. Oleh itu, Rozi hilang imbangan dan jatuh", jelas Rozita. Suaranya bergetar menahan rasa sebak. Rozita menundukkan wajahnya. Dia bimbang kalau-kalau daddy nya marah dan mengamuk.
Wajah Tan Sri Rahman berubah mendengar cerita Rozita. Puan Sri Rokiah sudah terbeliak matanya mendengar kata-kata anak perempuannya itu. Dia dapat rasa betapa ngerinya membayangkan keadaan Rozita yang tersangkut jatuh dalam keadaan mengandung itu. Sudah tentu rasa sakit yang amat sangat. Syukurlah cepat dibawa ke hospital.
"Kenapa boleh jadi sampai macam tu sekali Rozi? Apa yang menyebabkan Rozi marah sangat?" soal Puan Sri Rokiah dengan rasa cemas. Pipi Rozita diusap-usap perlahan untuk memberi kekuatan kepada anaknya itu.
"Entahlah mummy. Rozi pun tak tahu. Mungkin pembawaan kandungan Rozi." Rozita mengeluh memandang mummy nya.
"Nak buat macam mana? Mungkin sudah takdirnya begitu. Rozi bukan sengaja nak gugurkan kandungan itu. Tak sengajakan? Apa yang penting Rozi selamat. Lepas ni kena jaga kesihatan ya. Rozi kena berpantang macam orang beranak juga. Jadi kena jaga betul-betul agar Rozi kembali sihat seperti sedia kala," panjang nasihat Puan Sri Rokiah.
Tan Sri Rahman hanya berdiam diri mendengar pertuturan isteri dan anaknya. Dalam benaknya tertanya-tanya sesuatu. Dia teringat perbualan dengan lelaki yang menghubunginya memberitahu perkara yang menimpa Rozita. Mata Tan Sri Rahman melilau melihat sekitar bilik itu. Matanya ditumpukan pada pintu masuk seolah-olah mencari sesuatu.
"Rozi, daddy nak tanya. Siapa lelaki yang menghubungi daddy pagi tadi?".
Rozita terpinga seketika mendengar pertanyaan daddynya. " Itu kawan Rozi daddy. Dialah yang hantar Rozi ke sini. Sebelum Rozi pengsan, Rozi sempat call dia. Nasib baik dia cepat datang dan menyelamatkan Rozi"
Rozita memandang Tan Sri Rahman. Ada bahagian cerita itu yang tidak betul dan terpaksa dirahsiakan. Daddy dan mummynya tidak boleh tahu yang Rozita berada di apartment Johari sewaktu kejadian itu berlaku.
"Mana dia pergi? Sejak tadi daddy tak nampak pun" tanya Tan Sri Rahman. Matanya memandang pintu, menunggu kalau-kalau lelaki itu muncul.
Rozita memandang daddynya. Dalam hatinya berkata-kata, Johari tidak boleh berjumpa dengan daddynya lagi. Nanti bocor semua rahsia hubungan mereka. Rozita tidak mahu Tan Sri Rahman bertambah marah dan memberncinya. Biarlah dahulu.
"Dia dah pergi daddy. Kebetulan dia hanya bercuti di sini. Hari ini dia balik ke tempat kerjanya. Dia kerja jauh." Rozita terpaksa berbohong tentang Johari. Ini kalau Johari tahu mesti dia marah dan kecewa. Tetapi apa boleh buat, Rozita lebih mementingkan perasaan daddy nya.
"Kalau begitu baguslah. Sampaikan ucapan terima kasih kepada kawan kamu tu." balas Tan Sri Rahman.
"Ya daddy"
"Kandungan kamu dah gugur tu, lagi senang kerja kita" ujar Tan Sri Rahman memandang anaknya.
"Maksud daddy, kerja apa?" Rozita ingin tahu.
"Kerja kita meneruskan perkahwinan kamu dengan Shahrul tu lah. Daddy mahu Rozi pikat tunang Rozi tu betul-betul. Shahrul tu sangat penting bagi syarikat kita," terang Tan Sri Rahman. Riak wajahnya serius memandang Rozita.
Rozita menelan air liur melihat reaksi daddynya. Buat masa sekarang dia tidak berani membantah kata-kata daddynya itu. Rozita tahu sangat tindakan lelaki itu kalau arahannya dibangkang. Rozita mengganggukkan kepalanya.
"Abang ni. Rozita kan belum sihat lagi? Masih terlantar ni ha. Tak boleh tunggu kemudian ke?" Puan Sri Rokiah menyuarakan protesnya.
"Awak apa tahu? Shahrul sangat berharga tau tak. Tak boleh lepaskan begitu saja. Dia tu bijak berniaga. Perniagaan syarikat bawah dia sekarang semakin maju. Syarikat kita pula semakin merosot. Awak tahu tak?" Tan Sri Rahman mula baran. Matanya dijegilkan memandang isterinya. Geram dia apabila kata-katanya dibantah.
"Itu Kay tahulah abang. Tapi masa tak sesuailah. Lepas Rozi keluar nanti kita bincanglah" ujar Puan Sri Rokiah perlahan. Dia tidak berkenan dengan sikap suaminya yang agak mendesak itu.
Di sebalik pintu bilik yang sedikit terbuka, perbualan mereka bertiga telah didengari oleh seseorang. Johari yang baru selesai bersarapan di kantin hospital bercadang untuk masuk semula ke bilik untuk menemani Rozita. Semalam-malaman tadi Johari menemani Rozita di bilik itu menunggu sehingga dia sedar. Tadi setelah memastikan keadaan Rozita semakin baik, Johari mengambil keputusan untuk turun ke kantin sekejap untuk bersarapan. Dia yang berasa lapar telah meninggalkan Rozita yang masih tidur. Johari kembali ke bilik namun apabila tiba di pintu bilik dia berhenti apabila terdengar bunyi perbualan dari dalam bilik rawatan itu. Agak lama juga Johari berdiri di situ. Hatinya panas mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut individu-individu itu. Ingin rasanya dia menumbuk dinding ketika itu namun segera ditahan tindakannya itu. Kemarahannya bagai gunung berapi yang memuntahkan laharnya.
Johari menyandarkan badan pada dada dinding itu. Dia memejamkan mata untuk menenangkan perasaannya yang sedang berperang. Hatinya marah dan kecewa mendengar kata-kata Tan Sri Rahman dan rancangan untuk anaknya, Rozita. Rasa geramnya tinggi melangit apabila Tan Sri Rahman meneruskan rancangan untuk perkahwinan Rozita dengan lelaki yang menjadi tunangnya. Johari mengenggam erat tangannya.
"Bukan semudah itu untuk aku melepaskan kau Rozi. Tunggulah. Aku akan gunakan apa sahaja cara untuk memiliki kau. Aku menyayangi dan menghormati kau tapi kau sebaliknya," bisik Johari geram. Ganti nama pun dah bertukar menjadi kau dan aku lantaran perasaan marahnya.Dia membatalkan niat untuk masuk ke bilik itu. Johari segera beredar dari situ dengan jiwa yang membara.
-------------
Siap 1 lagi bab Novel Kasih Kita. Maaf kerana lama menghilang. Sebenarnya saya sibuk kebelakangan ini. Sudi-sudi lah baca novel saya ini ok. Bab seterusnya otw...hehe..bye dulu.
![](https://img.wattpad.com/cover/109583092-288-k79434.jpg)
YOU ARE READING
Kasih Kita
RomancePertemuan dalam pesawat MAS telah menyemai perasaan istimewa Shahrul terhadap Azreena, walaupun baru mengenalinya ketika itu. Azreena yang lahir dan dibesarkan di London menyusuli orang tuanya yang telah terlebih dahulu menetap di Sarawak. Shahrul k...