Tepat jam 6.30 petang, Shahrul tiba di perkarangan banglo keluarga.Selepas mengunci pintu keretanya, Shahrul melangkah longlai ke ruang tamu rumahnya. Kerja-kerja yang agak banyak di pejabat tadi telah memenatkan tubuh dan otaknya. Shahrul kemudian duduk menyandarkan badannya di sofa empuk ruang tamu mengadap televisyen untuk melepaskan lelah. Shahrul menarik nafas panjang-panjang kemudian menghembuskannya perlahan-lahan. Dia membuka siaran ASTRO untuk melihat rancangan-rancangan yang ada. Chanel ASTRO ditukar-tukar untuk mencari cerita menarik. Nampaknya semua cerita itu sudah ditontonnya dan merupakan siaran ulangan. Shahrul menutup kembali Siaran ASTRO. Shahrul menyandarkan kembali tubuhnya pada sofa. Matanya dipejamkan seketika. Shahrul yang hampir-hampir terlelap segera membuka mata sewaktu mendengar teguran ibunya.
"Baru balik Shah?," tegur Datin Maznah yang baru sahaja turun dari tingkat atas banglo. Datin Maznah mengambil tempat duduk di sebelah Shahrul.
" Ya, bu. Penat juga hari ini. Banyak kerja di pejabat tadi. Ramai orang yang datang berurusan dengan syarikat kita."
Shahrul menguap beberapa kali. Tali lehernya dilonggarkan supaya rasa lega. Mak Kiah datang membawa air ke ruang tamu dan meletakkan gelas air sirap itu di hadapan Shahrul.. Shahrul segera mencapai gelas lantas diminumnya air sirap itu dengan rakus. Datin Maznah mengeleng kepala melihat telatah Shahrul yang kehausan.
" Pagi tadi mengapa Shah keluar awal sangat? Sampai tak ambil sarapan. Kenapa tergesa-gesa sangat tu?" tanya Datin Maznah memandang anak bujangnya itu.
" Saja Shah keluar awal bu. Takut jalan sesak kalau lambat. Shah sampai awal di pejabat tadi. Kemudian Shah sarapan di café bawah bangunan pejabat tu."
" Shah nampak penat sangat. Kesian anak ibu. Pergilah berehat ke bilik Shah dulu. Kemudian mandi, biar segar sikit badan tu. Nanti ibu panggil untuk makan malam ya."
"Bu, Shah tercium bau masakan yang sedaplah. Mak Kiah masak apa? Ini mesti lauk kegemaran Shah," ujar Shahrul tersengeh sambil menghidu-hidu bau masakan sedap yang sedang berlegar ketika itu.
"Nantilah Shah lihat. Sekarang ni naik atas dulu, lepaskan penat tu dulu. Barulah berselera nanti Shah makan."ujar Datin Maznah tersenyum.
Shahrul segera bangun dan menghayun-hayunkan dua belah tangannya ke depan ke belakang beberapa kali untuk mencari kelegaan. Dia kemudian melangkah menaiki tangga untuk ke biliknya di tingkat atas. Pintu biliknya dibuka perlahan. Shahrul kemudian membuka aircond untuk menyejukkan biliknya. Setelah membuka kemejanya, Shahrul terus berbaring di atas tilamnya yang empuk. Tanpa sedar dia terus terlelap.
Di ruang dapur, Azreena dan Mak Kiah telahpun selesai memasak lauk pauk untuk hidangan makan malam. Kemudian, mereka mula menghidangkan makanan di atas meja makan. Mak Kiah mula menyusun atur lauk pauk di atas meja. Azreena pula menuangkan sirap oren ke dalam gelas-gelas di atas talam. Ketika itu Azreena dapat merasakan debaran di hatinya. Sejak tadi lagi. Entah kenapa dia sendiri kurang pasti debaran di hatinya semakin kencang.Azreena sedaya upaya menenangkan dirinya. Debarannya surut seketika.
"Dah sedia semuanya Mak Kiah?" tanya Datin Maznah yang datang dari ruang tamu beriringan dengan Dato' Nassier. Mereka mengambil tempat duduk di meja makan.
" Sudah Dato', Datin. Silakan makan," balas Mak Kiah. Dia kemudian meletakkan pinggan di hadapan mereka.
" Er..Mak Kiah, tolong panggilkan Shah turun makan", Datin Maznah memberi arahan. Mak Kiah terus naik ke tingkat atas.
"Silakan Dato' dan Datin makan ya. Ini airnya," jemput Azreena sambil menghulurkan air sirap oren itu.
"Terima kasih Reena," ujar Datin Maznah tersenyum.
YOU ARE READING
Kasih Kita
RomancePertemuan dalam pesawat MAS telah menyemai perasaan istimewa Shahrul terhadap Azreena, walaupun baru mengenalinya ketika itu. Azreena yang lahir dan dibesarkan di London menyusuli orang tuanya yang telah terlebih dahulu menetap di Sarawak. Shahrul k...