Bab 18

7.5K 405 19
                                    

Aku mengemam bibir sambil membetulkan kerusi beberapa kali. Sejak awal pagi lagi setiap kali melintasi mejaku, mereka akan tergelak sendiri kemudian berbisik. Bukannya aku tak faham yang mereka tengah mengumpat aku, tapi kenapa tiba-tiba jadi seteruk ni? Bahkan Nurul yang selama ni tak termasuk dalam golongan tu pun nampaknya mula menjauhkan diri. Apa yang berlaku? Baru seminggu aku bercuti tapi seakan ada masalah besar yang aku lakukan. Tak mungkin pasal projek dekat Singapura tu sebab Datin Kina sendiri dah jelaskan.

Sehingga tiba waktu lunch aku masih duduk berfikir tentang kesilapan sendiri. Apa yang aku buat?

"Nara?"

Kepala aku angkat melihat Lisa yang menuju ke tempatku. Setiausaha Datin Kina yang selalunya langsung tak berbual dengan pekerja lain akibat kesibukannya. Apa yang dia nak cakap?

Tab di tangannya di letak atas mejaku sebelum menarik kerusi melabuhkan punggung. Gambar yang tertera di skrin aku pandang lama sebelum tersengih. Wah!

"Tolong jangan main-main, Nara. Saya tahu awak jenis yang anggap semuanya mudah dan tenang, tapi gambar ni dah tersebar dalam media sosial semua pekerja butik ni. Mereka tengah bercakap tentang awak dan lelaki ni. Nasib baik pihak syarikat lebih cepat uruskan hal ni sebelum tersebar ke luar. Kalau pihak luar tahu, reputasi baik butik ni, cawangan butik yang lain akan terjejas. Imej Datin Kina sendiri akan jadi buruk disebabkan gambar awak ni saja."

Kepala aku angguk, berasa geram sebenarnya. "Ini kehidupan peribadi saya, kenapa perlu dicampurkan dengan isu kerja saya?"

"Itu yang awak tak tahu, Nara. Semua manusia tak sama. Ada yang lebih suka buat hal sendiri dan ada yang suka menyibuk. Kami tak tahu siapa yang tangkap gambar awak ni, tapi bila dah disebarkan, orang yang tak nak tahu pun dah tahu dan akan bercakap tentangnya."

Nafas aku hela. "Jadi awak nak saya buat apa? Berpura-pura jadi baik?"

Lisa mengemam bibir, tak suka dengan sikapku yang masih tak serius. Yalah, gambar aku tengah berpelukan dengan lelaki di sebuah restoran, tapi sayang sebab gambar tu diambil dari tepi. Kalau tak mesti dah nampak muka Benjamin dan nama restoran tu, Restoran Noralicious. Berapa lama agaknya orang tu dah simpan gambar ni sebelum disebarkan, hmm? Nampak sangat dia tak dapat tahan dengki dia lagi sehingga disebarkan dalam media sosial pekerja.

Dia nak aku kelihatan buruk sangat ni. Biar semua pekerja di bawah nama Datin Kina kenal yang aku ialah seorang pekerja yang mempunyai gaya hidup bebas. Memang betul pun, tapi aku tak puas hati sebab dia nak campur urusan peribadi aku.

"Beri penjelasan dalam mesyuarat esok."

Aku berdecit perlahan. "Penjelasan macam mana? Saya memang orang macam tu, bukan perempuan yang baik sangat."

"Cakap saja yang lelaki tu abang awak, atau sepupu awak. Apa-apa saja supaya mereka dengar apa yang mereka nak dengar."

"Lisa, awak tahu yang mereka tetap akan bercakap, kan?"

"Sekurang-kurangnya awak dah terangkan perkara sebenar. Mereka akan lupakan benda ni juga."

"Jadi biarkan saja, mereka akan lupa juga."

"Nara, kalau awak beri penjelasan, semuanya akan lebih cepat dilupakan. Saya tahu awak tak suka berpura-pura tapi semua ni untuk imej butik ni. Jangan sampai benda ni tersebar ke luar baru awak nak ingat yang Datin Kina dah banyak tolong awak."

My Beautiful Disaster ✔Where stories live. Discover now