Jam yang berbunyi nyaring menyedarkan aku daripada kena. Wajah aku raup beberapa kali sebelum mengiringkan badan ke sebelah kanan menghadap ke arah tingkap. Sinaran matahari mula bersinar menyusup masuk melalui celahan langsir dan pemandangan yang indah semakin jelas di mata.
Bibir tersenyum menikmatinya. Hari ni genap dua minggu aku berada di sini. Di kampung halaman Nora tanpa pengetahuan sesiapa kecuali dia. Sengaja aku buat macam tu supaya tak ada sesiapa yang menganggu walaupun faham mereka merisaukan aku.
"Good morning, sleeping beauty!"
Badan aku kalihkan sambil menoleh ke arah pintu yang terbuka. "Good morning, beast!"
Nora tergelak. "Hei, aku tetap perempuan walaupun perangai macam jantan, okey?"
Aku turut tergelak. Selimut dialihkan dari badan sambil bangun duduk. "Terima kasih."
Bibirnya diherot. "Setiap pagi kau ucap benda yang sama dan aku letih tahu tak nak jawab? Aku dah kata tinggal je dekat sini selama mana yang kau nak. Mak ayah aku okey je. Suka lagi bila kau rajin masak masakan Barat kau tu."
"Yakah?"
Dia mengangguk. "Hmm, katanya seronok dapat ubah selera kadang-kadang. Dah, bangun. Pergi mandi lepas tu sarapan. Mak ayah aku dah pergi pasar, jadi aku tak nak makan seorang."
Aku mengangguk. Pintu ditutup kembali meninggalkan aku. Aku tak sangka pun Nora setuju untuk bercuti hanya disebabkan aku nak tinggal dekat rumah dia ni. Sanggup dia tinggalkan restoran tu dan suruh pekerja dia yang jaga semata nak temankan aku. Entah kenapa dia yang aku hubungi malam tu dan bukannya mereka yang lain.
Mungkin sebab dia lebih bersikap terbuka berbanding Rika. Jadi lepas setuju, aku terus tempah tiket dan keesokannya bersama Nora balik ke Sabah. Sukar juga bila pertama kali datang ke mari. Bimbang akan menyusahkan mereka. Tapi sebaliknya yang berlaku. Mak dan ayah dia begitu mesra dan gembira dengan kehadiranku.
Setiap hari mesti mereka akan membawa aku berjalan dan bergurau. Mungkin kerana faham dengan keadaanku atau Nora sudah memberitahu apa yang berlaku. Tiap malam pula aku akan turut sama duduk mendengar mereka sekeluarga membaca Al-Quran. Jujurnya aku tak sangka Nora orang yang sangat baik dan mementingkan agama sedangkan luarannya tak menampakkan dia begitu. Patutlah setiap kali berkumpul bersama geng, dia akan berpura-pura sibuk melakukan hal lain jika topik yang dikatakan tak digemarinya.
Katanya semalam dia cuba jadi seorang perempuan yang baik walaupun sikapnya sering disalahertikan seperti seorang lelaki. Hanya kerana dia seorang yang kasar dan sempoi. Lagi bila dia kata yang dia hanya ingin jadi diri sendiri dan hanya orang tertentu memahami sikapnya, aku terasa sentap. Hakikatnya aku langsung tak kenali dia. Aku tak pernah fikirkan mereka lebih daripada luaran.
Aku menyesal tentangnya.
Sungguh aku baru tersedar yang berkawan bukan hanya untuk menemani dan mengenali. Tapi berkawan harus lebih daripada itu. Memahami dan ikhlas bila diperlukan. Datang ke sini membuatkan aku tersedar tentang banyak perkara. Hati aku langsung tak salah bila memilih Nora. Rupanya ada hikmah.
Buktinya aku semakin jelas dengan diri sendiri. Aku tiba-tiba bersetuju untuk memasak sedangkan dah dua tahun aku tak beringinan macam tu. Aku kembali menjalankan ibadah dan cuba membaca Al-Quran semula. Untuk bermula semula setelah dua tahun tak menyentuhnya amat janggal. Diri terasa amat berdosa sehingga berasa yang Allah takkan maafkan aku. Tapi mereka sentiasa memberi sokongan, umpama keluarga kedua aku.
Semua perubahan yang berlaku ni sungguh, langsung tak pernah terlintas di fikiranku. Aku ke mari hanya untuk melarikan diri daripada masalah. Tak sangka Allah memberikan aku peluang untuk bertaubat di sini. Aku tak tahu kenapa hati yang dulunya keras dengan semua ni menjadi lembut secepat ini. Tapi aku yakin, hidayah Allah untuk orang yang dikehendaki-nya. Alhamdulillah.
YOU ARE READING
My Beautiful Disaster ✔
RomansaNara Khalisya. Hidupnya tak pernah berputar pada satu paksi. Bebas tak terikat. Angkuh tak terkata. Sehingga kehadiran Haril Yusuf, mengubah segalanya. Egonya sama tinggi dan bicaranya tajam menusuk, namun kata cinta seringkali dihulur. "Kalau semua...