Adelisa memasuki dewan mesyuarat itu dengan wajah tanpa perasaan. Dilihatnya tiga insan yang berada di dalam ruangan itu. Tengku Farruz, Tengku Mona dan Layla yang menunggunya dari tadi. Bibirnya automatik tersungging sinis kepada Tengku Mona.
Sepupunya yang seorang itu memang gila harta. Dia syak, hal ini pun melibatkan harta juga. Lihatlah wajah tak puas hati itu.
"Tuanku puteri." Tengku Farruz ialah sepupunya juga tetapi dia lebih dikenali sebagai orang kanan Sultan Riyadh Al-Mustafa. Tengku Farruz sama saja dengan adiknya yang mulut merah kalah kordial sirap itu. Gila harta. Cuma Tengku Farruz lebih senyap dan licik.
"Ada apa kau datang sini?" Adelisa mengambil tempat di hadapan Tengku Farruz.
"Tentang pemerintahan Empayar Hagron."
"Semua dalam keadaan baik-baik saja." Adelisa menjawab pantas.
"Tetapi kita tetap perlu berbincang pasal pewarisan takhta. Kau jaga kerajaan ni sudah lama. Kau pemilik sah Empayar Hagron. Hanya kau yang layak diangkat sebagai permaisuri kerajaan ini." Tengku Farruz menolak sekeping kertas. Jelas terlihat dokumen yang dicetak berkenaan pewarisan takhta Hagron.
Lama Adelisa membaca isi-isi dalam dokumen itu. Pengawal istana yang ada di dalam dewan itu agak jauh jadi tidak ada apa yang perlu disembunyikan. Mereka cuma akan fikir dia dibantu oleh Layla dalam hal-hal yang memerlukan pembacaan. Itu juga salah satu peranan Layla di situ.
Tengku Mona pula tiba-tiba naik rimas. Dilibas rambutnya yang separas siku itu mengena wajah abangnya. Tengku Farruz memasang riak biasa walaupun hatinya sakit dengan perlakuan biadap Tengku Mona.
"Kau tahu apa akan berlaku kalau aku jadi permaisuri, kan?" Adelisa menyoal tanpa memandang wajah Tengku Farruz. Mendengarkan itu, Tengku Farruz dan Tengku Mona terus terdiam.
"Aku juga ada secebis hak atas tanah kerajaan yang kau orang pegang." Adelisa sendiri menjawab. Dia dapat lihat keresahan pada wajah Tengku Mona. Berbeza daripada riak tenang Tengku Farruz.
"Setakat secebis, apa yang paling teruk pun akan terjadi?" Sombong sekali nada Tengku Mona.
Mereka kurang arif tentang betapa berkuasanya Hagron jika kerajaan itu mempunyai pemerintah. Apatah lagi Adelisa orangnya. Gadis itu sangat bencikan 'kekotoran'. Sebelum ini, hanya penjara menjadi hukuman kerajaan di sana. Sangat berbeza dengan Hagron yang mengamalkan hukum hudud.
"Jaga dulu empayar ini. Delaney of The Night sudah lama mengotorkan rakyat. Kau jangan berlakon seperti inilah kerajaan yang paling suci dan tak bermasalah." Tengku Mona memeluk tubuh.
Dia pasti Adelisa sudah tahu bagaimana dia menguruskan Selatan Aragon. Sambil lewa, rasuah dan cukai yang mahal. Tapi... itu kerajaan yang diturunkan kepadanya.
Itu hak dia yang sah!
"Mereka terpaksa."
Dia benci apabila mengetahui setiap orang yang melebihi usia 30 tahun di situ sudah pernah membunuh. Ada yang berusia 20 tahun, ada juga yang lebih muda! Adelisa tidak langsung menyalahkan sesiapa tetapi tradisi yang berpunca daripada nenek moyang mereka menyebabkan sehingga ke hari ini rakyat terpaksa mengotorkan tangan mereka.
"Kau takkan mampu menghentikan tradisi yang diamalkan turun-temurun dari 10 kerajaan ini, Puteri Adelisa. Mustahil." Tengku Farruz bersuara. Ada getaran dalam bicaranya.
Adelisa yang sedar akan itu tersenyum nipis.
"Don't test me." Keras nada Adelisa seakan memberi arahan yang bukan untuk dipermainkan.
Kedua-dua kerabat diraja di hadapannya menelan liur. Mereka tahu, apa persamaan Adelisa dan Almarhumah Permaisuri Mutiah. Kedua-duanya pantang dicabar apatah lagi mengalah.
Hakikatnya, sudah 15 tahun kerajaan itu tidak mengamalkan pemerintahan beraja. Sejak kemangkatan Almarhum Sultan Mirhad Yasser Al-Muttaqin dan Almarhumah Permaisuri Mutiah Qillani, ibu bapa kepada ketiga-tiga adik-beradik ini.
Dan kenapa bukan Amelia yang dinaikkan takhta menjadi permaisuri sedangkan yang berada dalam sistem hierarki kerajaan ini adalah dia selepas Sultan Mirhad dan Permaisuri Mutiah?
Bagaimana tidak jika sebelum kemangkatan Sultan Mirhad, lelaki itu sudah wartakan seluruh hal kerajaan ini kepada Adelisa. Hanya Adelisa. Pengurusannya, adat istiadatnya dan segala perihal pemerintahan.
Manakala Amelia pula, dia juga menolak sistem yang diperakui kerajaan ini. Baginya, Adelisa lebih layak memegang Hagron L Casa. Sudah tentu ada perjanjiannya, ada hukumannya. Tetapi dia tidak menyesal.
Bak kata Amelia lagi, dia tak nak kerajaan itu hancur. Mereka tahu Amelia mampu menjaga Hagron dengan baik. Malah dalam diam, Amelia merupakan pemilik sah dua buah pulau yang menempatkan sebuah kerajaan. Bila-bila saja dia boleh dinaikkan takhta andai dia mahu. Tetapi untuk membawa perubahan, hanya Adelisa yang berpotensi untuk melakukan hal itu.
"Perbincangan ini tamat di sini." Adelisa memutuskan apabila tandatangannya sudah termeterai pada dokumen berwarna emas itu. Dia bangkit dan menunduk sedikit sebelum berjalan pergi dari dewan tersebut.
"Upacara rasmi akan diadakan pada bulan hadapan selepas segala persediaan sudah lengkap. Saya akan menghantar surat jemputan kepada wakil-wakil kerajaan seluruh kawasan selatan dan timur." Layla menunduk hormat sebelum dia sama-sama mengorak langkah keluar meninggalkan dua orang adik-beradik itu.
"Abang tahukan dia takkan duduk senyap?"
"Kau dah kalah."
"Hah?" Tengku Mona terkedu. Apa yang kalahnya?
"Kau takkan boleh menang kalau lawan dengan dia, Mona. Kau sendiri tahu benda tu." Tengku Farruz menyimpan fail-fail yang ada. Seterusnya dibiarkan saja Tengku Mona di situ. Ada saja orang istana yang sedang menunggu sama.
"Aku takkan kalah sebelum berjuang." Tengku Mona mengetap bibirnya rapat. Hakikatnya, dia sendiri tahu betapa kencangnya gelora yang bermain di hatinya.
•••
Tok! Tok!
"Masuk!"
"Puteri Adelisa, kita akan adakan persidangan dengan media lagi 3 hari. Wartawan dari setiap kerajaan selatan dan timur akan hadir." beritahu Layla.
"Baik, terima kasih Layla." Adelisa menayang senyuman manis. Layla seorang yang lemah lembut tetapi ada ketegasan dalam bicaranya.
Layla menunduk sedikit sebelum melangkah keluar.
"Gilanya, kak! Kau nak jadi permaisuri kut! Tak nak joget-joget?" Aseef muncul di hadapannya dengan wajah kemerahan. Merenik peluh di dahinya. Apa nak jadi dengan budak ni?
Adelisa hanya menggeleng. Malas nak melayan.
"Bapak sendu." Aseef terus meletakkan seluruh badannya ke atas karpet berbulu itu. Keadaan menjadi sepi buat seketika sebelum kedengaran dengkuran halus di bawah sana.
Adelisa yang sedang menyemak fail itu tersenyum lucu. Dilihat wajah Aseef yang enak tertidur. Saat itu, dia sedar betapa cepatnya masa berlalu.
Amelia sudah berusia 29 tahun, dia pula 28 tahun dan Aseef 25 tahun. Masing-masing sudah meningkat dewasa. Percayalah, di sebalik sifat kebudak-budakan adiknya itu, adanya peribadi seorang pemimpin. Begitu juga dengan kakaknya.
Jika tidak, bagaimana pulau-pulau di seluruh daerah itu terjaga sebegitu tenang tanpa ada penjajahan? Semuanya hasil titik peluh mereka berdua dalam diam. Dia cuma pemilik kerajaan di darat. Manakala Amelia pemilik kerajaan di laut. Aseef pula menjaga keselamatan kedua-dua ini melalui ketenteraan udara.
Mereka tidak mendedahkan identiti mereka kepada orang ramai biarpun mereka pemilik empayar ini sejak kemangkatan kedua-dua ibu bapa mereka.
Ya, Adelisa pemilik Empayar Hagron sejak dia berusia 13 tahun.

ANDA SEDANG MEMBACA
Secret
Historical Fiction[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...