Bab 27

841 122 10
                                    

Adelisa kesejukan. Tubuhnya menggigil sehingga giginya berlaga di antara satu sama lain. Sedaya upaya dia cuba menahan rasa itu. Tetapi gagal, tidak pernah dia rasakan kesejukan seperti ini.

Kduk! Kduk!

Adelisa mengangkat pandangan. Dilihat makhluk di hadapannya yang baru saja mendarat dari udara. Sayap yang tadinya melebar perlahan-lahan turun ke sisi tubuh itu. Ladam di tapak kaki yang bertemu tanah menghasilkan bunyi dentakan perlahan.

"As... Aswad."

Adelisa melihat tubuh Aswad yang nampak agak susut berbanding sebelum ini. Dia tidak tahu apa yang telah terjadi. Tetapi selalunya Aswad tidak akan makan apabila dia sakit.

Sakit apa ya yang menimpa kesayangannya ini?

Aswad mendekati Adelisa. Dia cuba membuka gari yang menahan gadis itu dengan bilah yang ada pada sayapnya. Namun setelah beberapa kali cubaan, dia tetap tidak mampu membukanya. Malah ada darah yang mengalir akibat bilah itu menekan kulitnya sendiri.

"Dah, Aswad. Kau takkan dapat buka." Adelisa tersenyum ke arah Aswad yang nampak serba salah.

Kuda hitam itu menggeleng-geleng dan sekali lagi cuba membuka gari yang menahan Adelisa. Tetapi walau bagaimanapun usahanya tetap sia-sia.

"Jangan paksa diri, Aswad. Nanti kau sakit."

Aswad cuba menahan tangis. Tubir matanya sudahpun bertakung. Dia gagal melindungi Adelisa. Dia sentiasa memikirkan Adelisa dan menyalahkan dirinya sendiri atas apa yang telah berlaku.

"Kau dah cuba sehabis baik. Tak mengapa kalau perkara terjadi tanpa mengikut kemahuan kau." Adelisa yakin Aswad mencarinya. Kudanya itu cuba selamatkannya. Aswad sudah mencuba dan hal itu sudah mencukupi buatnya.

Adelisa tidak suka kalau Aswad mahupun sesiapa rasa bersalah kerananya.

Aswad menunduk. Sayapnya melebar dan bilahnya disembunyikan sebelum ia membaluti tubuh Adelisa. Dia tahu Adelisa kesejukan. Tubuh itu jelas menggigil. Tetapi dia tidak dapat mencari kain yang tebal demi menyelesakan Adelisa.

Adelisa yang agak terkejut dengan tindakan kuda hitam itu hanya mendiamkan diri. Dapat dia rasakan ada haba yang mengalir sehingga kesejukan tadi surut dan ada rasa hangat yang berjaya mendamaikannya. Kepalanya direhatkan di leher Aswad.

Masa, kalaulah kau mampu dihentikan sudah pasti aku akan lakukannya. Adelisa berbisik dalam hatinya. Buat pertama kali di sini, dia terasa selesa dan selamat.

Namun masa tidak akan berhenti, Ia tetap akan terus berjalan.

"Aku tahu kau bukan pegasus biasa, Aswad. Aku tahu kau mampu bercakap." Adelisa berbisik perlahan, membuatkan Aswad kembali mengundurkan tubuh dan memandang gadis itu dengan mata membulat.

"Tapi bukan dengan aku, betul?"

Aswad terdiam lalu mengangguk.

"Kalau macam tu, tolong sampaikan pesanan aku kepada Amelia dan Aseef."

"5000 pengawal istana. 10,000 tentera Tuliemo. Kebanyakannya menggunakan senjata api keluaran ciptaan Tuliemo sendiri. Itu kekuatan mereka. Arahkan tentera kita guna kekuatan Hagron. Memanah, berpedang dan berkuda." Amelia membaca tulisan yang tertera dalam surat itu.

Surat itu disampaikan oleh kuda hitam di sebelahnya ini, Aswad. Dia jarang bermain dengan Aswad tetapi dia tahu Aswad sentiasa bersama Adelisa. Amelia melihat Aswad yang setia di situ sepertinya dia tidak mahu bergerak ke mana-mana. Dia abaikan saja dan sambung baca.

"Kak Lia, Aseef... aku tak letakkan harapan untuk korang berjaya selamatkan aku. Tapi tolong, usaha selamatkan rakyat-rakyat kita jika korang tak berjaya bawa aku pergi." Amelia berhenti membaca.

Surat ini ditujukan untuk dia dan Aseef, jadi dia rasa lebih baik adiknya itu ada di sini.

"Mana Aseef?" Amelia menyoal Layla yang turut berada di situ. Layla menggelengkan kepala tanda tidak pasti.

"Aseef kata dia nak pergi jumpa Umair. Mungkin dia sedang berada di Al-Qarni." balas Layla apabila dia teringatkan perbualan antara dia dengan anak saudaranya itu pagi tadi.

Amelia mengangguk saja. Surat di tangannya ingin dilipat tetapi pergerakannya terhenti. Lebih baik dia baca dulu. Nak tunggu Aseef balik, entah bila. Amelia menggumam sendiri sebelum membuka lipatan itu kembali.

"Arahkan diorang beredar secepat mungkin andai ada perkara yang kalian lihat dapat membawa kemudaratan. Keselamatan aku tak penting. Aku dah berada di ambang maut. Tolong jagakan keselamatan orang lain, mereka rakyat-rakyat kita yang banyak berjasa. Cukuplah mereka bernafas, aku juga akan bernafas. Nyawa mereka juga merupakan nyawa aku.

Kalau aku ditakdirkan meninggal dunia, bawa aku kembali ke tanah Hagron dan kuburkan aku di sana. Boleh ya? Aku cuma inginkan pengakhiran yang indah walaupun dalam keadaan yang paling buruk."

Tangan Amelia ketar dan terasa dingin. Dia menyimpan surat itu kembali lalu pandangannya beralih kepada Aswad.

"Tolong bawa saya pergi kepada Adelisa." Nadanya tegas.

Namun Aswad hanya menunduk. Amelia tahu itu tanda penolakan.

"Ke... kenapa? Teruk sangat ke keadaan dia?" Amelia dapat rasakan ada air mata mengalir perlahan di pipinya.

Tolonglah geleng. Tolonglah nafikan.

Angguk.

"Ya Allah!" Lutut Amelia jatuh menyembah bumi.

Aswad cuba mengawal emosi. Adelisa melarang sesiapa sahaja datang selepas subuh. Kawasan itu dikatakan mempunyai kawalan yang lebih ketat di siang hari.

Maafkan aku.

Aswad mengundurkan diri meninggalkan Amelia yang terduduk lemah di atas lantai tersebut.

ADELISA terlampau sakit. Angin yang menyapa juga seakan menyucuk kulitnya dengan debu halus mereka. Keadaan tubuhnya kurus keding ketika ini. Barangkali dia hanyalah rangka yang mempunyai roh di dalamnya. Dia langsung tak mampu menggunakan kuasanya. Dia tak berdaya.

Mengenangkan maut yang bakal hadir pada bila-bila masa sahaja, pantas air matanya mengalir. Tipulah andai dia tidak takutkan kematian.

"Tidur?"

Baru saja Adelisa mahu membuka matanya, tubuhnya yang lesu itu sudah berat disimbah air yang berbau alkohol tersebut. Adelisa meludah kembali cecair yang tidak sengaja memasuki mulutnya. Kuat betul rasa alkohol itu.

Tiba-tiba dia rasa ada tangan mengangkat dagunya ke atas. Ternyata itu tidak lain tidak bukan...

Raja Mario.

"Hey, kenapa menangis?" Air mata Adelisa dilap oleh jari itu.

"Aku suruh kau kahwin dengan aku, kau tak nak."

Adelisa tidak langsung bersuara walaupun dia sangat sakit hati dengan tindak-tanduk Raja Mario. Kau masih nak kahwin dengan manusia yang serupa mayat ni? Lelaki ini memang gila!

"Nak keluar dari sini? Senang." Raja Mario menepuk-nepuk wajah cantik Adelisa.

Gadis itu tidak langsung memberikan sebarang reaksi. Dia cuma menunggu apa lagi tipu helah yang bakal lelaki itu gunakan.

"Tinggalkan agama kau, Sumayyah."

Adelisa dapat rasakan betapa tubuhnya mengeras mendengar syarat tersebut. Kenapa dia rasa agak tergugat? Kalau dia buat apa yang lelaki ini suruh, adakah ini bermakna dia akan dibebaskan?

"Tinggalkan agama kau dan aku akan biarkan kau pergi." Raja Mario tersenyum senget melihat wajah Adelisa yang nampak sedang memikirkan sesuatu.

Dia yakin kalau pemerintahnya tidak berpegang kuat pada Islam, mana mungkin rakyat Adelisa yang setia akan duduk diam. Akhirnya Hagron akan menjadi miliknya, dia akan rampas semuanya!

Adelisa melarikan pandangannya ke arah beberapa orang yang berdiri di hujung sana dengan pakaian berwarna putih di tubuh mereka. Di hadapan salah seorang daripada mereka itu, ada kotak kayu yang besar dengan tulisan 'In Remembrance Of Me' terukir padanya.

Pandangannya kembali pada Raja Mario yang masih menantikan keputusan.

Secret Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang