"Abelisa."
Abelisa menghentikan langkahnya setelah mendengar namanya diseru oleh seseorang. Apabila dia menoleh, wajah Sultan Riyadh yang menjamah mata. Terus dia melarikan pandangan. Sungguh, dia masih keliru tentang perasaannya sekarang ini.
"Aku minta maaf." Abelisa cuba dipeluk tetapi pantas gadis itu mengelak.
"Kau lupa amarah aku hampir menyebabkan maut menjemput kau? Untuk apa kau minta maaf?" Mata redup itu direnung tajam.
"Datuk rasa bersalah."
Abelisa tergelak. Sinis sekali kedengarannya.
"Bagus. Tapi kau tak ingat ya yang telinga aku ni ada di mana-mana? Kau hanya tamakkan kuasa. Kau nak rampas Hagron! Aku takkan sesekali menerima kau sebagai pemerintah kerajaan ini, pengkhianat!"
Sultan Riyadh terkejut. Barulah dia ingat semasa perancangan dibuat semalam, ada api kecil di situ yang hadir daripada nyalaan lilin. Ah bodohnya dia!
"Kau melampau!" Baru saja tangannya diangkat tinggi ingin melempang wajah cucunya itu, rambutnya ditarik dari belakang sebelum tubuhnya disepak menjauh.
Sultan Riyadh mengesat darah yang mengalir dari hujung bibirnya dengan kasar. Rengusan terbias dari mulutnya. Baru saja dia mahu membalas serangan tadi, dia sudah tercengang melihat penyerangnya.
Amelia.
"Apa yang salah dalam kata-kata adik aku?" Wajahnya serius. Jelas sekali Amelia telah mengetahui sesuatu.
Sultan Riyadh resah. Hanya Amelia cucunya yang paling boleh diperbodohkan dengan mudah baginya. Tanpa sokongan Amelia, dia pastinya akan hancur!
Ya, Adelisa berkuasa dalam hal-hal kerajaan. Tapi ada keputusan yang takkan bertemu kata tamat jika Amelia tidak mengizinkannya. Sebagaimana Adelisa mempercayai Amelia, begitulah rakyat-rakyat mereka meletakkan kepercayaan kepada wanita itu.
"Kau tak dengar dia kata apa? Dia kata datuk pengkhianat!"
Tengkingan itu berjaya menarik perhatian Aseef dan Adelisa. Mereka hanya mendekati dengan bibir yang terkunci. Wajah tenang Amelia ditatap dalam hairan. Sedangkan Sultan Riyadh sudah merah wajahnya menghamburkan tiap patah perkataan. Abelisa pula hanya diam berlindung di sebalik kakaknya.
"Aku dengar dan aku tanya kau kembali, apa kesalahan dalam kata-katanya itu?"
Terdiam Sultan Riyadh.
"Aaa... apa maksud kau?"
"Kau yang bunuh ibu bapa kami, sultan!" Amelia menengking.
Ketiga-tiga adiknya kehairanan. Air mata kakak mereka seakan sedang menghidupkan bara api yang pernah terpadam dalam hati masing-masing.
"Kau tak tahu apa-apa, Amelia."
Amelia tersenyum perit.
"Sebab itu kau mampu menipu aku dengan air mata kau?" Jijik benar dia rasa sekarang ini. Menangis di hadapan lelaki itu dahulu menunjukkan dia benar-benar mempercayai lelaki itu. Tak guna!
"Raja Mario."
Adelisa tersentak mendengar nama yang meniti di bibir Amelia. Aseef juga turut berhati-hati dengan situasi mereka apabila nama itu dibangkitkan kembali.
"Kau bersubahat dengan Raja Mario. Membunuh ayahanda dan bonda akan membuka ruang kau untuk menjadi Sultan Hagron. Kau menyesal melepaskan kerajaan ini. Selepas melihat kebangkitan rakyat di sini, kau jadi tamak. Kau membuat perjanjian bersama Raja Mario. Akan bersatunya Tuliemo dan Hagron jika mereka dibunuh." Amelia berhenti demi menarik nafas.

ANDA SEDANG MEMBACA
Secret
Fiksi Sejarah[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...