Bab 33

851 114 5
                                    

Semua tetamu sudah hadir ke Aurelia Drigardon. Tetamu pada malam ini datang dari semua daerah. Rakan-rakan akrab kakaknya dulu juga ada, Ellise dan Ryan. Malam ini bakal berlangsungnya acara tarian pedang. Acara ini baru saja diadakan tahun ini atas arahan Sultan Riyadh.

Entah apa yang merasuki Sultan Riyadh. Tiba-tiba saja nak menari. Amelia pernah membantah atas sebab dia tidak mahu terjadinya sentuhan bebas antara tetamu yang berbeza jantina. Kata Sultan Riyadh pula, yang menari ini hanya yang diraikan saja dan pasangan yang dipilih tidak kira perempuan mahupun lelaki. Lagipun menari pedang, takkan tersentuh.

Amelia pun ikutkan saja. Disebabkan Hagron tiada pemerintah, secara tidak langsung Sultan Riyadh ada hak ke atasnya.

Dan yang diraikan pada malam ini sudah tentulah Putera Mahkota Ezhar Aseef yang kacak lagikan bergaya.

Aseef hanya berdiri di sebalik belakang pintu besar ini. Cuma menunggu masa untuk ketibaannya diumumkan.

Sempat juga dia main osom dengan pengawal yang menjaga pintu itu.

Tok! Tok!

Mendengar bunyi ketukan itu tahulah mereka sudah tiba masanya Aseef diumumkan. Aseef membetulkan pakaiannya. Kot putih yang disarungkan ke tubuhnya ditarik ke bawah. Liur diteguk. Orang tengah takut ni.

"Mengumumkan ketibaan Yang Amat Mulia, Putera Mahkota Ezhar Aseef Al-Sultan Mirhad Yasser ke Aurelia Drigardon!"

Pintu terbuka dan Aseef melangkah ke hadapan dengan penuh gaya disaksikan ratusan tetamu. Di bawah sana terdapat semua saudara-maranya dan ada juga orang luar yang dia tidak kenal siapa.

Semua mata itu tertumpu ke arahnya yang sedang menuruni tangga dan mencapai sebilah pedang di atas papan merah itu.

Tatkala ini, dia tidak tahu gerangan yang ada di situ kerana semua orang sedang memakai topeng di wajah mereka termasuklah dirinya sendiri.

Alunan muzik mula kedengaran. Violin, piano dan entah apa lagi yang mereka mainkan. Yang pastinya, semua orang sedang menanti kerana Aseef akan memilih pasangan untuk menari bersamanya.

Aseef bergerak ke hadapan sambil melihat setiap mata di situ. Ada yang menunjukkan diri mereka yakin dan sudah tentu ada yang gelisah. Ada bunyi tidak puas hati dan lega apabila dia melewati mereka.

Aseef meneguk liur untuk sekian kalinya. Pilih Umair tak boleh ke? Tapi tak nampak pun batang hidung lelaki tu? Saja kan sembunyi!

Ya Allah, tolong!

Tiba-tiba pintu utama Aurelia Drigardon dimasuki oleh seorang gadis cantik yang menjadi tatapan ramai. Semua mata tertancap pada si gadis yang sedang melangkah menghampiri Aseef.

Gaunnya berwarna hitam bersulam emas. Kainnya kembang dan beralun cantik seakan dia sudahpun mengikut irama lagu ketika dia berjalan.

Entah dari mana datangnya gadis itu. Mustahil penduduk Hagron kerana semua penduduk di situ bertudung. Manakala gadis ini tidak ada sebarang kain yang menutupi rambutnya.

Aseef bungkam. Walaupun separuh wajah itu tertutup dengan topeng, mereka semua pasti orangnya sangat rupawan. Tetapi ada lagi satu perkara yang membuatkan Aseef jadi tertanya-tanya.

Rambut jingga kemerahan yang disanggulkan ke belakang itu sepanjang mana agaknya? Kalau ia separas bahu, adakah dia orangnya yang menjadi tanda tanya selama ini?

Aseef tidak menunggu lama, dia turut mendekati gadis yang baru tiba itu. Tidak sempat gadis itu membuka mulut, dia terlebih dahulu menghulurkan pedangnya sebagai tanda gadis itu sudahpun dipilih untuk menjadi teman tarinya.

Secret Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang