Bab 25

886 127 4
                                    

Selepas sahaja pengumuman dibuat, Aseef mengerah tentera mereka yang juga terdiri daripada 6 empayar yang lain untuk mencari kakaknya.

Bak kata rakyat dari empayar-empayar tersebut, mereka sedia membantu tanpa sebarang syarat. Kata mereka lagi, Permaisuri Mutiah juga pernah memuliakan mereka sepertimana Sultanah Adelisa sudah lakukan. Mereka terhutang budi lalu mereka terlebih dahulu sukarela untuk mencari Adelisa bersama-sama.

Namun, hari berganti hari tiada apa-apa hasil. Mereka belum berputus asa tetapi mereka tidak ada sebarang idea di mana kemungkinan Adelisa sedang berada.

"Aseef!"

Aseef menoleh ke arah seorang anggota tentera Ridella dan juga merupakan kerabat di sana yang sedang mendekatinya.

Oh ya, tentang kesihatannya pula, kata doktor dia baik-baik saja. Mungkin dia terlampau risaukan Adelisa sehingga dia pengsan tidak sedarkan diri tempoh hari. Kecoh seluruh pulau hanya disebabkan dia. Mujurlah Umair pantas bertindak.

Aseef menyimpan senyum. Perutnya diurut-urut apabila ada rasa tidak enak di situ.

"Ada apa, Abang Noah?" Noah ini sebenarnya bapa saudaranya. Noah Zulfiqar, anak bongsu kepada Sultan Riyadh dan Almarhumah Permaisuri Maryam. Akan tetapi usia Noah tidaklah jauh mana. Jarak usia mereka 15 tahun saja.

Dekatlah tu...

Tak eh?

"Semua kerajaan sudah diperiksa. Tak ada sebarang jejak Sultanah Adelisa di situ. Tapi, Aseef..." Noah menggigit bibir. Melihat raut gelisah itu, lagilah bertambah kerutan di dahi Aseef.

"Kenapa?" Aseef mendekati Noah yang teragak-agak untuk meneruskan bicara.

"Kita masih tak berani masuk ke dalam satu kawasan." Bagitahu Noah dengan kepala yang menunduk.

"Berani? Apa maksud abang?" Sejak bila mereka takut akan kerajaan lain. Tetapi mendengar nama kerajaan yang disebut Noah, kejung terus tubuhnya.

"Tuliemo. Abang pasti Aseef tahu macam mana ketenteraan mereka dengan kita."

Aseef mengangguk. Mana mungkin dia tidak tahu. Ketenteraan mereka sama maju dan megah. Tetapi Tuliemo lebih terkenal dengan senjata-senjata api mereka yang inovatif dan sudah tentunya berpuluh kali ganda lebih besar dan berbahaya. Manakala mereka di Hagron ini hanya menggunakan jet pejuang untuk tujuan upacara dan pengawasan.

Sultan Mirhad sendiri melarang penggunaan senjata api atas sebab kejadian letupan di kawasan Errodian pada ketika dahulu. Itu apa yang dia dengar.

Dan sekarang, patutkah dia ketepikan amaran itu?

ADELISA membuka mata perlahan-lahan. Sudah 3 hari dia tidak menjamah apa-apa. Tekaknya terasa kering. Luka di kakinya yang hampir lega itu terbuka kerana amarah Raja Mario tempoh hari. Terburai kembali isi kakinya.

Ya, lelaki kejam itu sudah mengetahui perihal itu. Adelisa cuba melindungi Ellise tetapi Ellise sendiri yang memberitahu bahawa dia merupakan orang yang bertanggungjawab atas jahitan tersebut.

Atas sebab itu juga, Ellise dikurung di penjara bawah tanah dan dia digantung di tengah-tengah kawasan berpasir ini. Kedua-dua belah tangannya digari pada dua batang tiang yang bertentangan. Siang dan malam, dia dibiarkan seperti ikan kering. Hanya zikir yang menjadi penemannya.

Tempat ini seperti Colosseum yang digunakan untuk sebarang perlawanan. Tetapi tatkala ini ia cuma satu kawasan yang luas dan berdebu pasir. Mungkin sudah lama ia tidak digunakan.

"Ya Allah, aku lapar." Adelisa menunduk melihat kakinya yang tidak lagi berupa kaki.

Ia hancur sehingga dia sendiri tidak merasakan sebarang deria di bahagian itu. Mujurlah sebelah kakinya lagi dapat digunakan. Tetapi sudah cukup lemah untuk menampung berat badannya.

Secret Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang