Bab 34

831 112 0
                                    

36 TAHUN LEPAS

"Wuekkkk! Wuekkkk!"

"Allahu Akbar! Allahu Akbar!"

Bunyi tangisan bayi dan azan subuh berkumandang serentak. Pada jam 6 pagi itu, lahirnya dua orang bayi perempuan yang sihat. Mereka dibersihkan dan diletakkan di atas pangkuan Permaisuri Mutiah.

"Terima kasih, ya Rabb. Aku bersyukur atas kehadiran mereka." Permaisuri Mutiah mencium bau anak-anaknya. Kedua-duanya berambut merah seperti suaminya. Sangat cantik.

Wajah tenang mereka dipandang dengan juraian air mata yang tidak henti-henti mengalir.

"Abelisa Haya." Nama itu diletakkan pada anak perempuannya yang tersenyum itu. Gusi merah itu terlihat comel saja. Mata Abelisa mengecil tatkala pipi montelnya naik ke atas.

"Adelisa Noor." Itulah nama kepada adik kembar Abelisa. Anak perempuannya yang seorang itu sudah tidur dengan mulut yang ternganga. Terhibur Permaisuri Mutiah melihatnya.

"Alhamdulillah." Suara garau itu menyentakkan Permaisuri Mutiah. Perhatiannya beralih kepada suaminya yang baru tiba di muka pintu bersama anak sulung mereka, Amelia Azzahra yang masih belajar berjalan.

Terkedek-kedek kaki kecil itu mendekati katilnya.

"Bi! Bi!" Mata Amelia bercahaya memandang dua orang bayi dalam pangkuan ibunya. Dia bertepuk tangan dengan wajah teruja.

Yuhuuu dapat adik!

"Rehatlah, sayang. Mesti awak penat. Biar saya jaga mereka dengan Amelia ya? Dia tak sabar nak pegang adik-adik dia ni." Sultan Mirhad mengusap lembut kepala isterinya. Peluh yang merenik di dahi mulus itu kian kering.

"Baiklah." Permaisuri Mutiah tersenyum girang walaupun ada rasa tidak enak yang menyinggah. Fikirnya, itu mungkin perasaannya saja.

Namun benarlah, firasat seorang ibu tidak pernah salah.

Pada malam itu, seisi istana dikejutkan dengan kehilangan Abelisa. Pengawal-pengawal istana malah tentera Hagron turun ke kota demi mencari Abelisa yang disyaki diculik oleh salah seorang dayang istana.

"Ya Allah, anak aku. Anak aku!" Permaisuri Mutiah tidak dapat berjalan dengan laju. Tetapi disebabkan kewarasannya hampir diragut dengan berita itu, kakinya berlari laju demi mencari anaknya yang diambil. Lukanya terbuka kembali dan darah menitis-nitis mengikut jejak langkahnya. Dia dikejar oleh penjaga tetapi dia lebih pantas kerana terlampau risau.

Puterinya yang diculik itu pasti sedang mencarinya. Anak kecil itu pasti kelaparan!

Amelia memeluk Adelisa dengan erat di dalam bilik. Ayahandanya sendiri tidak benarkan dia kemana-mana.

Amelia memandang bayi itu lama sebelum bibirnya jatuh pada pipi tembam Adelisa. Adiknya itu cuma memandangnya dengan mata membulat. Tangannya bergerak-gerak menunjuk ke luar jendela seperti menyatakan kakaknya sedang berada di luar sana.

Dan mungkin berada dalam bahaya.

"Berhenti!" Sultan Mirhad menahan isterinya. Baju yang tersarung pada tubuh itu dipandang risau. Warna yang tadinya putih bertukar merah pekat.

"Mereka akan cari anak kita, sayang. Awak jangan pergi dalam keadaan macam ni. InsyaAllah Abelisa akan balik. Tolong sayang, awak tak sihat lagi." Dadanya berombak kasar apabila Permaisuri Mutiah mula meronta-ronta minta dilepaskan.

"Anak saya! Anak saya, dia bawa anak saya!" Permaisuri Mutiah melihat ke arah pintu pagar yang semakin tertutup.

"Dia akan balik. Saya pasti dia akan balik." Sultan Mirhad menarik tubuh isterinya ke dalam pelukan. Rontaan tadi semakin reda berganti tubuh yang lemah. Dalam sekelip mata, Permaisuri Mutiah pengsan kerana kehilangan darah yang banyak.

Secret Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang