Sekejap matanya terbuka, sekejap matanya tertutup. Tangannya yang direhatkan di atas dahi diturunkan ke sisi. Abelisa langsung tidak dapat melelapkan mata. Dari tadi terkebil-kebil saja kerjanya.
Akhirnya dia memilih untuk mengambil angin di luar yakni atas beranda. Tetapi dia tidak sangka pula akan ada seseorang di bawah sana yang menarik perhatiannya.
Sultan Riyadh.
Bibirnya terus tersenyum penuh makna. Pelbagai muslihat menjengah fikiran. Ada pula akalnya hendak mengenakan orang tua itu. Taklah sampai membunuh. Seperti biasa, sakit sikit saja.
Jari-jemarinya bergerak-gerak lalu ada cahaya yang kelihatan di celahan jarinya dan juga berdekatan Sultan Riyadh. Lelaki itu masih tidak menyedari apa-apa kerana terlampau ralit dalam angannya. Tengah fikir apalah tu?
Tanpa teragak-agak, Abelisa terus menggerakkan kerusi berdekatan Sultan Riyadh. Tidak sempat lelaki itu menahan diri, tubuhnya terlebih dahulu jatuh ke dalam kolam renang tersebut.
"Tolong!! Tolong!" Jeritan Sultan Riyadh kedengaran lantang. Abelisa hanya melihat kemalangan itu tanpa rasa ingin membantu. Lemas pun dia tak kesah. Datuknya ini kan kebal. Buaya pun boleh elak.
"Datuk!" Suara garau itu menyentakkan Abelisa. Dilihatnya Aseef yang cuba mencapai Sultan Riyadh. Nampaknya lelaki di dalam kolam renang itu ada kesulitan. Kaki cramp ke?
"Masuk ajelah selamatkan aku!" Geram Sultan Riyadh melihat cucunya yang terkapai-kapai itu. Tangan panjang saja, dapatnya tak jugak!
"Alah, orang mandi dah!"
Abelisa terhibur. Kepalanya tergeleng-geleng melihat telatah Aseef yang lebih mementingkan pakaiannya daripada nyawa datuknya sendiri. Lagipun suasana sekarang ini sejuk, mestilah Aseef takkan masuk ke dalam air. Cari penyakit saja.
"Kamu ni kan!"
"Kenapa tu?!" Tak lama kemudian, Tengku Hilman iaitu suami kepada Cassandra muncul bersama beberapa orang yang lain. Abelisa terus masuk ke dalam. Dah kalau ramai macam tu, tak naik jugak orang tua tu tak tahulah.
Matanya tegak ke hadapan, termenung. Macam mana lagi aku nak balas dendam dekat kau ya? Abelisa berfikir sejenak.
Seketika kemudian, fikirannya diserang dengan satu idea.
Noah.
Tidak menunggu lama, dia terus berlari ke arah bilik bapa saudaranya itu. Sedaya upaya pergerakannya dilakonkan seperti biasa agar tidak nampak meragukan.
Setibanya dia di pintu kamar tersebut, terdiam dia seketika. Nak ketuk ke nak redah terus? Buatnya tengah menari ke apa. Abelisa cuba menolak pintu itu sedikit untuk mengintai apa yang Noah lakukan di dalam sana. Ternyata lelaki itu sedang mengerjakan solat. Entah sujud ke berapa lelaki itu sekarang.
Abelisa hanya menunggu di luar. Sekejam-kejam dia, dia masih tak ada rasa ingin mengganggu seorang hamba yang sedang memohon doa daripada Penciptanya. Dia hormatkan orang yang sedang melakukan ibadah.
"Assalamualaikum warahmatullah..."
Abelisa menunggu lagi beberapa minit sehinggalah dia yakin Noah sudahpun selesai wirid dan berdoa. Pintu itu terus ditolak tanpa salam.
"Noah,"
"Abelisa?" Noah tidak sangka Abelisa akan datang ke biliknya. Ada apa ni?
Abelisa mengangguk. Takkan adik kembarnya pulak?
Langkah diorak mendekati lelaki yang masih memegang sejadah itu. Mungkin lipatannya tergendala kerana kehadirannya.
"Aku nak bunuh kau."
Terperanjat bukan main Noah dibuatnya. Terus gadis itu dilibas dengan sejadah di tangan. Abelisa berdecit. Kuatnya, ni siapa nak bunuh siapa?
"Kenapa?" Sempat pula dia bertanya asbabnya. Gerun juga dia dengan Abelisa. Sudahlah tidak berhati perut, boleh berkecai kepalanya kalau dia berjaya menaikkan amarah gadis di hadapannya tatkala ini.
Abelisa tidak menjawab soalan itu.
"Bukan sekarang. Kau boleh relaks dulu." katanya sebelum melangkah keluar.
Noah tersentak. Eh eh, dia boleh suruh relaks sedangkan dia kata nak bunuh aku? Reda wajah Noah memandang pintu kamarnya yang baru saja tertutup.
Tipulah kalau dia kata dia tak takut. Ini orang yang bagitahu ajalnya sudah dekat pun dah gundah hatinya. Mahunya malaikat maut, nangis tiga hari tiga malam pun itulah ketentuannya. Tak dapat diubah.
"Kau memanglah, Abelisa. Saja nak bagi aku insaf." ujarnya perlahan.
Tanpa meneruskan kerjanya, sejadah dihamparkan semula untuk menunaikan solat sunat taubat.

YOU ARE READING
Secret
Ficción histórica[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...