Sultan Riyadh kaku selepas mendengar berita yang baru sahaja disampaikan oleh Tengku Farruz. Tubuhnya dipalingkan ke belakang lalu wajah cucunya itu dipandang serius.
"Ulang."
Tengku Farruz yang baru saja lelah mengejar langkah datuknya itu meneguk liur. Dilirik laporan yang berada dalam tangannya tatkala ini. Kejap mulutnya terbuka, kejap ia tertutup. Entah ayat bagaimana yang sesuai untuk dia ujarkan tentang apa yang telah berlaku.
"Farruz, datuk suruh kamu ulang." Sultan Riyadh mendekat membuatkan Tengku Farruz gelabah mengundurkan diri. Wajahnya jelas cuak.
Benarlah, apabila dibangkitkan saja nama Adelisa pasti Sultan Riyadh akan lebihkan gadis itu daripada segalanya.
"Permaisuri Adelisa tak hadirkan diri semasa perjumpaan tadi tanpa sebab yang kukuh." tuturnya perlahan.
"Aku dah suruh kamu panggil dia!"
Aih, aku jugak dipersalahkan?
"Saya dah panggil. Dia yang tak datang." Betullah, dia siap kasi reminder lagi. Akhirnya, batang hidung gadis itupun tak ada.
"Tuanku!"
Perbualan Sultan Riyadh dan Tengku Farruz terhenti. Tumpuan mereka beroleh kepada Umair yang sedang berlari ke arah mereka dan ada pengawal istana yang cuba menahannya. Selepas Sultan Riyadh mengangkat tangan, barulah Umair dilepaskan begitu sahaja.
Apabila lelaki itu tiba di hadapan Sultan Riyadh, tercungap-cungap dia hendak mengambil nafas baru. Besar betul Istana Ridella ni.
"Ada apa Umair?" Sultan Riyadh jelas tertanya-tanya. Tak pernah anak muda ini menjejakkan kaki ke mahligainya.
"Permaisuri Adelisa..." Nafasnya ditarik dalam. Alahai, kenapa susah sangat nak bernafas?
"Ya, kenapa dengan permaisuri?" Sultan Riyadh mendekati Umair untuk menagih jawapan. Riaknya yang tertanya-tanya tadi bertukar risau apabila mendengar nama Adelisa meniti di bibir lelaki muda tersebut.
"Dia... hilang."
TIADA apa-apa.
Kosong.
Umair dan Tengku Farruz tidak mampu memikirkan sebarang kesimpulan berdasarkan situasi yang sedang berlaku di hadapan mereka. Tanah yang sepatutnya menempatkan kerajaan Hagron L Casa tatkala ini lapang tanpa ada satu pun pokok mahupun bangunan.
Ianya sekadar, tanah.
"Apa ni, Umair?" Tengku Farruz menyoal dalam nada yang perlahan. Dia masih terkejut dengan perkara yang dihidangkan di hadapannya.
"Aku tak tahu. Memang ini kan tempatnya?" Dia memandang peta. Memang benar, tanah ini sepatutnya menempatkan Hagron L Casa.
Tengku Farruz mengangguk. Atas arahan Sultan Riyadh, dia diheret untuk ke Hagron. Tetapi alangkah terkejutnya dia melihat perkara yang terjadi sekarang. Dia tak habis lagi keliru memikirkan kehilangan Permaisuri Adelisa, sekarang bertambah keliru dengan kehilangan kota yang ditadbir gadis itu pula.
"Kita turun di sini." Tengku Farruz memberi arahan sebelum 3 buah jet di udara mendarat di tanah lapang tersebut.
Apabila mereka menjejakkan kaki, ternyata hanya angin berdebu yang menjemput kehadiran mereka. Berkibar-kibar pakaian mereka sehinggakan mereka terpaksa memakai jaket khas. Bayunya tetap sama. Keluasannya masih sama. Memang sah, ini tanah Hagron!
"Aku dah cuba hubungi Aseef, tapi tak dapat." Umair memberitahu Tengku Farruz yang kelihatan tekun membaca setiap maklumat pada fail di tangannya.
Lelaki itu menoleh sebelum menurunkan kaca matanya sedikit pada batang hidung.
"Aku pun, aku dah hubungi setiap jawatankuasa Istana Hagron. Satu pun tak dapat." Walaupun nadanya biasa-biasa saja, Umair tahu ada kegelisahan yang terselit.
"Kau rasa benda ni ada kena-mengena dengan Delaney?"
Tengku Farruz meletakkan fail ke sisi. Nafasnya dihela lembut lalu wajah Umair dipandang dalam.
"Aku ada terfikir benda yang sama. Kau pun tahu tahun-tahun sebelum ni tak ada kerabat yang terlibat. Kau tahu apa syarat untuk tahun ni kan?"
Umair mengangguk. Syaratnya, setiap kerajaan harus dipimpin oleh sekurang-kurangnya seorang wakil diraja.
"Aku akan pergi mewakili V Diore." Tengku Farruz menyatakan hasratnya. Tidak sempat dia berkata dengan lebih lanjut, dirinya dipanggil oleh Tengku Mona yang turut berada di situ. Umair hanya memilih untuk berdiam sambil menyaksikan apa yang Tengku Mona bakal sampaikan.
"Mona tak sedap hati. Macam mana dia orang boleh hilang macam ni?" Tengku Mona menggenggam tangan abangnya. Dia datang untuk memarahi Adelisa yang difikirnya mengabaikan tugas. Ternyata, bukan saja Adelisa malah seluruh kota ini lesap!
Bangunan-bangunan, pokok-pokok, jalan tar. Semuanya!
"Permaisuri Adelisa pasti dah fikirkan sesuatu. Aku rasa kita tak perlu cari dia orang. Sampai masa, dia orang sendiri akan muncul." Umair mengeluarkan cadangannya dan dipersetujui sebulat suara oleh Tengku Farruz.
Tengku Mona mencebik. Selendang kuning di kepalanya diketatkan. Sungguh, walaupun dia sering berbalah dengan Adelisa, dalam hatinya dia tetap menyayangi gadis itu sebagai seorang sepupu. Tengku Mona muda setahun daripada Adelisa tetapi mereka memang rapat sejak kecil.
Dia tak tipu bila dia kata dia cemburukan gadis itu. Dia bencikan kuasa yang ada pada Adelisa. Tetapi dia juga tidak dapat menipu hatinya bahawa dia tetap risau jika Adelisa berada dalam bahaya. Adelisa tetap ahli keluarganya. Gadis itu banyak membantunya ketika dahulu. Cuma waktu dewasa membuatkan dia menjadi gila harta sehingga hubungan mereka renggang dengan sendiri.
"Adik risau ke?"
Tengku Mona tersentak. Dipandang Tengku Farruz yang melihatnya dengan pandangan redup. Umair pula sudah hilang entah ke mana.
"Mana ada!" Tengku Mona merentap tangannya kembali sebelum dia bergerak ke arah pengawal yang turut berada di situ. Wajahnya sedaya upaya dikawal. Tak naklah tunjuk dia risau walaupun jantungnya sekarang ini rasa nak meletup!
Tengku Farruz diam saja. Dia tidak tahu apa pandangan Tengku Mona kepada Adelisa. Semasa mereka masih kecil, boleh saja bermain sekali. Sampai tercabut rambut Si Adelisa akibat dibuli oleh adiknya itu. Dah besar, seorang terlebih matang. Seorang lagi masih ingin dimanjakan.
Tapi dia tak nafikan, sikap Adelisa yang berubah ketika gadis itu meningkat remaja agak merisaukannya. Adelisa nampak lain. Sangat berbeza perilakunya setelah menamatkan pengajian. Sepertinya, ada perkara yang terjadi semasa tempoh itu dan disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai.
Hal itu membuatkan dia tergugat. Dia dapat rasakan Adelisa bukan seperti pemimpin yang lain.
"Kau pun risaukan dia ke?" Tiba-tiba Umair datang menegur. Kali ini dengan kaca mata hitam yang tersemat di atas kepala, membuatkan sebahagian rambutnya kelihatan tersisir elok ke belakang.
"Kau yang risau, nak tanya aku pulak." Tengku Farruz menyengseng lengan kemejanya ke paras bawah siku apabila cuaca di situ semakin terik. Memang sekarang musim panas. Mungkin disebabkan tanah yang lapang tanpa sebatang pokok ini membuatkan bahang matahari terasa amat menyengat.
"Aku risau, tak ada sesiapa pelik. Kau yang risau tu orang pelik. Sejak bila kau rapat dengan dia? Bukan kau tak suka ke Permaisuri Adelisa sebab dah naik takhta?" Umair menjongketkan kening seakan mencabar. Langsung dia tidak hairan dengan wajah tersentap Tengku Farruz.
Tengku Farruz hanya mengunci mulut. Dipandang Umair yang masih menantikan jawapan daripadanya.
Tengku Farruz terlepas tawa, entah mengapa dia rasa lucu mendengar soalan itu dengan reaksi Umair sebegitu. Lidahnya menolak dinding pipi sebelum dia mendekati Umair.
"Dia tetap keluarga aku." katanya lembut sebelum meninggalkan Umair sendirian.
Umair mengangguk. Kaca mata diturunkan lalu dia tersenyum.
![](https://img.wattpad.com/cover/306890004-288-k671865.jpg)
YOU ARE READING
Secret
Historical Fiction[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...