Sekumpulan lelaki bertubuh sasa memasuki sebuah kota di V Diore dengan senapang panjang di tangan masing-masing. Penduduk di situ tidak ada seorang pun yang berani bersuara. Bimbang jika nyawa mereka pula menjadi mangsa.
Lelaki yang paling hadapan dan bermisai tebal itu memasuki sebuah rumah kedai. Kedengaran jeritan histeria dan pergelutan sebelum mereka melangkah keluar.
"Dah ambil wang tu?" soal seorang lelaki berwajah bengis. Seorang lelaki berambut panjang yang diikat tocang tersengih lebar menggenggam segulung wang di tangannya.
Masing-masing yang melihat agenda tersebut pantas melarikan diri. Setiap tingkap ditutup. Mereka gerun melihat wajah penyamun-penyamun tersebut. Jarang tanah V Diore dijajah oleh orang luar.
"Mana Tengku Farruz? Raja korang tu akan selamatkan korang ke? Jangan bermimpi!" jerit salah seorang penyamun tersebut dan disambut oleh tawa yang lain.
Satu kedai ke satu kedai yang lain. Wang dalam simpanan mereka semakin bertambah.
"Huh, raja macam dia memang memudahkan kerja kita." Lelaki bermisai tebal tadi senang hati tatkala otaknya masih menganggap Tengku Farruz yang mentah itu takkan menjaga V Diore. Sebab itulah kota kerajaan itu menjadi sasarannya.
"Tuan! Tuan!" Tiba-tiba datang seorang lelaki muda, juga penyamun seperti mereka. Tetapi anak muda ini masih baru.
"Ada apa kau ni?"
"Tuan dah buat silap besar!"
"Apa?" Mereka yang mendengar terus keliru memandang pemuda yang termengah-mengah berlari itu. Silap apa yang tuan besar telah lakukan?
"Kota ini... kota ini..." Tak sempat ayatnya dihabiskan, sebatang anak panah hinggap di antara mereka.
Mereka terundur dengan sendiri sebelum mengangkat wajah pada insan yang berada di atas kuda putih tersebut. Melihat pemakaiannya yang serba putih, automatik lutut penyamun-penyamun itu menggigil ketakutan. Mereka melutut dengan tangan di dahi bagi mengangkat sembah.
"Apa yang kalian fikir kalian sedang lakukan?" soal Adelisa tegas.
Wajahnya tegang sekali. Penutup mata langsung tidak ditanggalkan. Biarlah mereka dapat mengesyaki dia celik sekalipun, dia tidak suka andai rakyatnya ditindas dengan cara ini. Lagipun kebanyakan orang sudah tahu walaupun dia buta, keupayaannya luar biasa.
"Am... ampunkan kami, tuanku. Kami tak tahu tuanku memegang kota ini." Tergagap lelaki bermisai tebal itu berkata. Dapat dia rasakan tubuhnya sejuk kerana ketakutan.
"Kalau saya tak pegang kota ini sekalipun, kalian rasa kalian berhak merampas wang daripada penduduk di sini?" Adelisa menyoal lagi. Pengawal yang berada di sisinya turut menggeleng. Kesal dengan sikap penyamun tersebut.
"Kami akan pulangkan wang ini semula. Ampunkan kami, tuanku. Kami mohon. Kami fikir Tengku Farruz yang..."
"Tengku Farruz tetap keluarga saya." cantas Adelisa tenang. Dia mahu mereka tahu, tidak ada yang akan terlepas seandainya mereka mencari masalah dengan ahli keluarganya. Tambahan pula rakyatnya!
"Pengawal, bawa mereka ke istana. Saya sendiri akan hukum mereka."
Mendengarkan itu, lelaki bermisai tebal itu terus berdiri tegak dan merayu-rayu minta dilepaskan. Dia lebih sanggup berlari ke hujung dunia sehelai sepinggang daripada berhadapan dengan Adelisa. Khabar angin yang dia dengar selama ini ternyata benar, Permaisuri Adelisa dapat menundukkan musuh hanya dengan kehadirannya.
"Tolong lepaskan kami. Kami janji takkan ulangi perkara ini lagi, tuanku. Kami janji." Tertunduk-tunduk dia meminta belas kasihan daripada Adelisa.
Pemuda tadi hanya berdiri kaku di sebelah. Walaupun dia penyamun juga tetapi Adelisa sendiri bertanyakan sama ada dia telah memukul dan menzalimi sesiapa. Ternyata dia tak pernah dan Adelisa senang saja percaya. Pada mulanya dia takut juga andai permaisuri itu fikir dia berbohong tetapi jawapannya diterima bulat-bulat. Memang benar, dia baru saja berada dalam kumpulan itu. Tak sampai seminggu lagi.
![](https://img.wattpad.com/cover/306890004-288-k671865.jpg)
YOU ARE READING
Secret
Historical Fiction[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...