Bab 10

1.2K 147 8
                                    

Suasana di dalam istana itu sepi tatkala waktu tengah malam sudah menjelma. Barangkali semua penghuninya sudah berlayar ke lautan mimpi. Tetapi hanya Adelisa yang masih berjaga.

Langit gelap dipandang dengan mata redup. Dia berfikir sama ada dia perlu melaksanakan rancangannya ataupun tidak. Hal ini tidak pernah diberitahu kepada sesiapa. Ia kekal menjadi rahsia hanya untuk dirinya.

5 bulan lagi akan berlangsungnya Delaney of The Night. Kalau dia terlambat, nescaya banyak rakyat yang bakal terkorban dan mengotorkan tangan serta jiwa.

Apabila seseorang itu menarik nyawa orang lain, pasti jiwanya akan mati dan seterusnya dia akan melakukan hal yang sama tanpa rasa bersalah.

Kerana itu, alunan selawat arwah Bonda Lita sentiasa melembutkan hati yang keras. Wanita itu tahu, hanya itu kudrat yang dia ada untuk menyelamatkan penduduk kota. Selebihnya, dia berserah kepada Allah dan orang itu sendiri. Jika berkemahuan, pasti ada jalannya.

Sesungguhnya hanya Allah yang memegang hati manusia dan mampu membolak-balikkannya.

Adelisa menghela nafas berat. Dia kembali ke dalam kamar sebelum melangkah ke arah walk-in closet. Jaket kulit labuh berhud dicapai lalu disarungkan pada tubuhnya. Laci yang agak tersorok ditarik lalu bermacam-macam jenis alatan tajam terhidang di hadapan mata. Sebilah pisau dicapai dan diselitkan ke dalam sarung khas yang terdapat pada tali pinggangnya.

Wajahnya diperhatikan sejenak melalui pantulan cermin. Rambutnya diikat kemas sebelum dia menyarung inner neck berwarna hitam. Sehelai kain diikat di belakang kepala demi melindungi separuh wajahnya.

Selepas beberapa minit, Adelisa menghilang dalam kepekatan malam tanpa disedari oleh sesiapa.

•••

Pagi itu, seluruh kerajaan Hagron dikejutkan dengan kehilangan remaja dan kanak-kanak. Semua penduduk mula bekerjasama demi mencari keluarga mereka tetapi hampa, tidak ada satu pun jejak yang ditinggalkan.

Berita tersebut turut sampai ke telinga Sultan Riyadh. Lelaki itu cuma beriak tenang. Wajah Tengku Farruz dipandang sebelum dia mengangguk.

Tengku Farruz mengangkat sembah lalu melangkah keluar, dia tidak tahu apa akibatnya tetapi nalurinya kuat mengatakan hal yang terjadi ini berpunca daripada Adelisa.

Ah, perempuan tu memang suka buat masalah!

Sultan Riyadh merehatkan kepalanya. Lama-kelamaan senyuman di bibirnya kian menyerlah. Matanya masih terpejam erat sebelum dia menarik nafas dalam. Adelisa sudah mulakan langkah seterusnya. Dia tidak tahu apa rancangan gadis itu. Tetapi dia percayakan Adelisa.

Dia pasti, rancangan Adelisa turut membawa manfaat kepadanya.

•••

Adelisa menerima khabar tentang kehilangan tersebut beberapa jam yang lepas. Dia mengarahkan tentera istana untuk mencari mereka terlebih dahulu sebelum dia sendiri turun ke kota untuk membantu.

Layla yang sedang mencatitkan sesuatu pada kertas itu dipandang tanpa suara. Layla ini sebenarnya mak saudara kepada mereka tiga beradik iaitu adik kepada Sultan Mirhad. Tetapi wanita itu sangat menghormati mereka malah tidak pernah membangkitkan soal keluarga. Layla cuma mahu menjaga mereka demi menghilangkan rasa rindunya dan berbakti pada arwah sang abang.

Sultan Mirhad merupakan putera mahkota Icemere, iaitu kerajaan di utara. Bagaimana dia bertemu Permaisuri Mutiah dan diangkat menjadi sultan? Itu, mereka pun tak tahu. Setelah kejatuhan Icemere, Sultan Mirhad dan Layla hidup di merata tempat sehinggalah takdir menemukan mereka dengan Al-Fakhira. Cerita selepas itu, sekali lagi... tak tahu. Mereka tidak pernah terfikir untuk bertanya.  

"Tuanku nak berangkat bila?" soal Layla apabila terpandang Adelisa yang seakan termenung.

Gadis itu cuma menghadiahkan senyuman nipis. Bahu diangkat.

"Tak ada khabar lagi setakat ni. Lepas saya terima apa-apa, saya maklumkan ya?" Layla meletakkan fail yang dipegangnya itu ke atas meja sebelum meninggalkan Adelisa.

Walkie talkie diangkat.

"A2E0 dari istana, ada apa-apa khabar berita tentang kehilangan penduduk kota semalam?"

Beberapa detik berlalu sebelum ada satu suara garau menjawab.

"A4E1 dari kota, tak ada. Tetapi rakyat sudah mula protes untuk berjumpa dengan tuanku permaisuri."

Layla mengangguk. Baru saja dia mahu menoleh untuk mendapatkan Adelisa, ternyata gadis itu sudah lama berada di belakangnya. Mungkin Adelisa sudah mendengar setiap butir bicara daripada rakan setugasnya tadi.

Namun wajah itu langsung tidak mempamerkan riak senang. Matanya mencerlung memandang Layla. Wanita itu tahu Adelisa tidak memarahinya tetapi gadis itu sedang memikirkan sesuatu.

"Kita turun sekarang." arah Adelisa dan diterima baik oleh Layla.

30 minit kemudian, mereka sudah tiba di Kota Diraja Hagron. Berpulun-pulun manusia berlari ke arahnya. Ada yang hingga jatuh ke tanah. Pantas Adelisa menyuruh pengawalnya yang berdekatan untuk membantu.

"Tuanku permaisuri, tolong bantu kami. Anak-anak kami, tuanku. Kami tak tahu kemana mereka pergi. Dalam sekelip mata mereka hilang." Tok Salloman merapatkan kedua-dua belah telapak tangannya. Dia merayu-rayu dengan juraian air mata yang tidak putus-putus.

Amelia dan Adelisa berpandangan sesama mereka. Aseef pula sudah turun daripada kuda putihnya untuk menenangkan Tok Salloman yang sedang berduka.

"Kami sudah sedaya upaya mencari, tuanku. Tetapi tidak berhasil. Bantu kami. Kami tak akan dapat tidur lena tanpa mereka." Guru Hadid bersuara dan mendapat anggukan daripada mereka semua.

Ternyata itulah akibat kehilangan ahli keluarga secara tiba-tiba. Entah hidup, entah tidak. Pasti majoriti warga tua ini merasa kehilangan yang keresahan yang amat dasyat.

"Kami sanggup beri apa saja asalkan tuanku perkenankan hasrat kami. Kami mohon, tuanku. Gunakan apa saja kaedah untuk mencari mereka. Kami risau. Malah ada yang masih kecil." Kadim melutut dan memandang Adelisa dengan penuh harapan. Elias yang melihat terus mengusap bahu Kadim untuk menyalurkan sedikit kesabaran buat rakannya itu.

Adelisa hilang kata. Mulutnya terbuka sedikit tetapi melihat betapa rapuhnya insan-insan di hadapan, sedaya upaya dia menahan suaranya agar tidak pecah.

"Saya... tak dapat janji. Tapi dengan izin Allah, saya akan bantu sehabis baik untuk mencari anak-anak kalian. Saya mohon kalian bersabar dan sentiasa berdoa. Saya dan orang-orang istana akan mencari bantuan untuk sama-sama membawa pulang mereka semua." ujar Adelisa tenang tetapi sudah jelas ketegasan dalam bicaranya.

Mereka di situ terdiam. Mereka dapat lihat persamaan Permaisuri Adelisa dan Permaisuri Mutiah. Kedua-duanya sangat tenang tetapi tegas. Tanpa senyuman, nescaya itulah wajah yang paling digeruni. Auranya sama sekali. Mereka tidak menakutkan rakyat tetapi berjaya meraih kehormatan hanya dengan butir bicara.

"Tuanku..." panggil Elias. Semua yang ada di situ menoleh ke arah jejaka tersebut termasuk Aseef yang telah berjaya memujuk Tok Salloman dengan lawak jenakanya yang barangkali sesuai untuk orang tua.

Sebab Tok Salloman kelihatan semakin baik selepas itu.

"Bila agak-agaknya kami dapat jumpa mereka?"

Di telinga orang lain, mereka menyangka itu hanya soalan yang menyatakan bahawa anak-anak mereka akan kembali. Tetapi di telinga Adelisa, Elias sedang menyoal tentang hari mereka akan dibawa bertemu anak-anak mereka.

Dalam erti kata lain, Elias tahu anak-anak itu disembunyikan di suatu tempat. Dan Elias tahu Adelisa dalang di sebaliknya.

Tetapi Elias tetap tenang kerana dia masih ingat pesanan Bonda Lita tempoh hari.

"Apa sahaja yang Puteri Adelisa lakukan kelak, percayakan rancangannya."

Dan dia percayakan Adelisa sebagaimana Bonda Lita mempercayai gadis itu.

"Tak lama lagi. Kamu hanya perlu bersabar." balas Adelisa kembali lalu dia dan Elias berbalas pandangan. Tidak lama, sebelum Adelisa sendiri mengalihkan tumpuan pada perkara lain.

Elias mengangguk. Dia sudah agak, Permaisuri Adelisa tidak buta.

Secret Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang