Adelisa cuba mencari sumber air untuk dia berwudhuk. Tetapi dia tidak nampak walaupun sebarang titisan air.
Akhirnya dia memilih untuk bertayamum. Debu di dinding ditepuk-tepuk. Pakaiannya sudah cukup tebal. Mujur mereka tidak mencabut selendangnya.
Adelisa mendirikan solat berseorangan. Leo, Levi dan Luke sudah mereka ambil kembali.
Dalam sujudnya, air matanya mengalir lesu. Dia penat, dia lapar dan dia ketakutan. Dia tidak mampu menunjukkan semua itu. Rasa ini hanya dizahirkan kepada Sang Pencipta. Hanya Dia yang mengetahui betapa hancurnya seorang Adelisa Noor.
Ya Allah, sembuhkan aku. Bantulah aku dalam pertahankan kerajaan dan agamaku. Aku terlampau lemah untuk kekejaman dunia ini. Aku hancur sehancur-hancurnya. Aku sentiasa mahukan kesucian sehingga aku melakukan kekotoran. Ya Allah, ampunkan aku. Mereka menyakiti bonda dan ayahandaku. Aku di sana dan teriakanku tidak didengari oleh sesiapa. Dia, aku tidak pernah percayakan dia. Aku tahu dia dalang di sebalik semua ini. Tetapi aku tak mampu untuk menghukumnya. Bantulah kami, tuhanku. Bantulah kami dalam menentang pengkhianatan dalam agama ini.
Empangan air matanya pecah. 'Dia'. Satu-satunya manusia yang menyebabkan kekacauan tetapi dipandang tinggi. Adelisa tahu segalanya. Dia mampu melihat semua itu di sebalik mata. Tetapi pandangannya kabur. Hal itu menyebabkan dia ragu-ragu dengan tindakannya. Andailah, ada orang lain yang mempunyai kuasa sepertinya. Sudah pasti orang itu bakal menghancurkan 'dia'.
Sesudah salam dia menadah tangan. Ada simbahan cahaya masuk melalui lubang kecil di situ lalu menyuluh ke arah tangan Adelisa. Allah sedang menemaninya. Adelisa sentiasa merasakan hal itu di saat dia tidak ada sesiapa.
Tanpa disedari oleh gadis itu, ada seseorang sedang melihatnya dari tadi. Dari ketika Adelisa tidur, Adelisa terjaga, Adelisa mendirikan ibadah solat dan tersenyum dalam tangisan seakan dia berbicara dengan seseorang.
"Apa yang dah jadi, Adelisa?" Ryan membisik perlahan, Hanya untuk didengari oleh dirinya saja.
Alangkah terkejutnya dia setelah menerima khabar bahawa Adelisa ditahan di penjara bawah tanah mereka. Selaku pengawal Istana Tuliemo, dia bersungguh-sungguh untuk mengambil alih tugas memantau Adelisa.
Ryan dan Adelisa merupakan rakan di sekolah menengah. Walaupun mereka tidak rapat mana, dia masih dapat mengecam wajah Adelisa. Wajah tenang dan ada kalanya terlihat manis ketika senyum. Wajah itu tetap sama cuba ketika ini ia seperti menunjukkan bahawa hatinya sedang rapuh.
Ryan melangkah perlahan-lahan ke hadapan sel yang menempatkan Adelisa. Dia menjatuhkan lututnya di situ. Dia dan Adelisa hanya dipisahkan oleh gerigi besi ini. Tetapi dia berharap doa mereka bersatu dan diperkenankan.
Tangannya menggenggam antara satu sama lain lalu wajahnya tertunduk sedikit. Dadanya yang bersentuhan dengan tangannya itu jelas terasa debar.
Mereka berlainan agama, namun kedua-duanya sedang berdoa pada Yang Maha Esa.
Tuhan, aku tidak tahu Kau di mana. Tapi aku yakin Kau ada. Aku mohon, bantulah Adelisa dalam menghadapi kesulitan. Permudahkan segalanya. Aku mengenalinya sebagai seorang insan yang sangat baik. Dia sentiasa menghulurkan bantuan kepada semua orang tanpa mengira agama. Tuhan, Adelisa begitu menyayangi Engkau. Aku saksinya. Maka kasihanilah dia. Angkatlah doanya.
"Bismillahirahmanirrahim..."
Ryan tersentak mendengar suara itu seakan melagukan sesuatu kalimah. Tangannya jatuh ke bawah apabila suara lunak Adelisa menghentam gegendang telinganya. Badan gadis itu terbongkok-bongkok. Kedudukannya juga sudah berubah.
Sebelah kaki Adelisa dirapatkan ke dada. Sebelah kaki lagi dilipatkan ke bawah punggung. Dengan lantang dia mengalunkan ayat-ayat al-Quran. Kesah apa dia kalau dijahit mulut sekalipun. Ini hal dia dengan Tuhannya saja. Tidak mahu dengar, jangan duduk di sini.

ANDA SEDANG MEMBACA
Secret
Ficción histórica[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...