"Mereka masih tak dapat jejak apa-apa." Aseef mencekak pinggang. Uniform tentera udara di tubuhnya masih tidak ditanggalkan. Wajahnya cuma bersahaja manakala Amelia pula yang tak senang duduk.
Aseef telah mengarahkan anggota tentera udara mereka untuk memantau setiap kawasan yang berada dalam Hagron L Casa. Termasuk kota selain Kota Diraja Hagron.
Namun memang tiada jejak yang dijumpai umpama anak-anak itu ghaib dari muka bumi ini ataupun dibawa ke luar kawasan empayar. Kalau memang begitu, Aseef sudah memaklumkan hal yang terjadi kepada Umair.
Sudah pasti lelaki itu turut membantu. Malah Sultan Riyadh sudah sedia menghulurkan bantuan andai mereka memerlukan. Disebabkan Aseef amat memerlukan bantuan, dia terima ajelah. Adelisa pun dia tak bagitahu. Hehe.
Adelisa cuma merapatkan bibir sejak dari tadi. Tiada bunyi yang keluar daripadanya. Wajahnya keletihan. Baru beberapa hari dia menjalankan rancangannya, dia sudah tidak berdaya. Dia sentiasa berdoa supaya dia diberikan kekuatan fizikal serta mental.
"Kau rasa puasa tahun ni, nak buat iftar besar-besaran macam ayahanda buat dulu tak?" Tiba-tiba Aseef menyoal. Dia tak boleh kalau orang senyap sekejap, rasa kekok tak bertempat. Ini angin pun tak bunyi, boleh mati kesunyian dia.
Adelisa mengangguk. Dia sudah merancang hal itu sebelum bergelar permaisuri. Memang dia mahu adakan majlis iftar sebagaimana ayahanda pernah lakukan dulu. Dulunya meriah kemain. Selepas kedua-dua pemerintah itu mangkat, hilang segala warna yang menceriakan istana ini.
Tetapi bulan puasa pada tahun ini akan datang selepas Delaney of The Night. Bagaimanapun hal itu lebih penting buatnya sekarang ini.
"Wahhhh, tak sabarnya nak puasa!" Aseef menepuk tangan. Hilang terus keperibadian tegasnya tadi.
"Syarat wajib puasa, berakal." bagitahu Amelia sambil melirikkan mata ke arah Aseef yang tersenyum lebar. Lenyap terus senyuman adik bongsunya itu berganti wajah masam mencuka.
"Suka macam tu? Suka?" Aseef menjulingkan mata ke atas sebelum melangkah pergi.
Tak lama kemudian, kedengaran Layla pula memarahi Aseef kerana mungkin lelaki itu pergi sergah dia. Tak nak duduk diam kejap. Orang ni tak boleh dikacau, dia pergi kacau orang lain.
"Aku penat, kak. Masuk dulu." Adelisa menepuk bahu Amelia sebelum dia juga melangkah keluar dari bilik itu.
Amelia sekadar memandang Adelisa yang semakin menjauh. Apalah yang kau sedang buat ni, adikku?
Adelisa jarang berkongsi masalah dengannya. Tapi itu bukan bermakna dia tidak ambil tahu langsung. Ada perkara yang Adelisa fikir mereka tak tahu sedangkan mereka tahu. Aseef sentiasa memaklumkan kepadanya semua tingkah laku aneh Adelisa sejak dulu lagi.
Dia masih kurang jelas tentang rahsia Adelisa yang disimpan rapi sehingga kini. Barangkali bukan satu atau dua, tetapi dia yakin rahsia itu amat besar. Rancangan yang gadis itu sedang laksanakan ini juga rahsia. Adelisa amat sukar dibaca!
Dia hormatkan keputusan Adelisa yang memilih untuk berahsia sehinggalah Adelisa sendiri yang membongkarkannya. Barulah dia akan membuka mulut kerana dia pasti dalam maklumat yang dia peroleh, sudah tentu ada cacat celanya di mana-mana.
Amelia meregangkan otot-ototnya yang terasa sengal sebelum bangun secara mendadak. Sekarang ni, dia lapar.
•••
Sunyi sepi bilik itu walaupun terdapat sekujur tubuh yang masih bernyawa di dalamnya. Kesejukan pendingin hawa tidak dapat meredakan api marak yang berada dalam hatinya.
Adelisa cuma mahu melelapkan mata tetapi entah mengapa fikirannya melayang kepada perkara lain. Tubuhnya dipaling ke kanan dan kiri tetapi dia dapat rasakan kepalanya semakin memberat.
Satu-satunya perkara yang dia tidak suka tentang diri sendiri adalah sifat cepat naik angin. Ia mungkin kelihatan normal. Tetapi bukan pada diri seorang Adelisa Noor.
Buktinya, sekarang ini urat tangannya sudah bertukar warna. Langit Hagron pula membenarkan kilat menyambar tanahnya. Adelisa cuba bersabar tetapi dia tidak boleh. Apabila urat hitam itu memunculkan diri tanpa kerelaan hatinya, nescaya sukar untuk dia mengawal diri sendiri.
Mengenangkan orang-orang yang tinggal dalam Kota Diraja Hagron sekarang ini hanyalah orang yang sudah ada dalam senarai Delaney of The Night betul-betul membakar jiwanya.
Kalau mereka menghilang begitu saja, kuasanya akan ditarik. Malah tanah ini juga akan dihapuskan serta-merta andai Hagron tidak menghantar sekurang-kurangnya 5000 wakil rakyat untuk ke upacara tersebut.
"Tak guna!"
ZASSS!
Kilat menyambar sebuah pokok di luar sehingga ada api yang terhasil. Adelisa tidak sedar bahawa iris biru cairnya sudah bertukar gelap dan akhirnya mendominasikan seluruh warna mata. Pandangannya gelap keseluruhannya. Tangannya mula mencengkam cadar dengan kuat. Giginya diketap rapat.
"Adelisa Noor!"
Mendengar namanya dipanggil, Adelisa bagaikan tersedar. Tetapi tubuhnya terasa letih. Entah apa yang berlaku, dia terus rebah dan sempat disambut oleh Amelia.
"Ya Allah, Adelisa. Kenapa jadi macam ni?" Amelia hilang punca.
Sedang enak dia menjamah selera, cuaca yang bertukar drastik menyentakkannya. Pantas kepalanya memikirkan Adelisa.
Amelia terus memeluk adiknya itu. Beberapa ketika kemudian Aseef muncul dengan pakaian t-shirt putih berlengan pendek dan kain pelikat. Nafasnya termengah-mengah, jelas dia baru saja berlari untuk ke sini.
Macam mana dia pecut dengan pakaian seperti itu? Mesti teruk naw rupanya!
"Kak Adel okey?" soal Aseef jelas kerisauan.
Amelia hanya mengangguk. Rambut Adelisa yang menutupi wajah ditarik lembut ke belakang. Wajah Adelisa pucat. Sangat menunjukkan dia sedang berada dalam keletihan.
Amelia meletakkan kepala adiknya di atas bantal. Dia yakin Adelisa sedang melawan sesuatu. Gadis itu dapat membunuh manusia di sekelilingnya andai jiwa dalamannya mula memberontak.
Dia tidak tahu atas alasan apa setiap kali Adelisa naik berang. Tapi Adelisa akan jadi seperti tu kalau dia terlampau marah. Itu dia pasti!
"Kak Adel macam ayahanda." kata Aseef tiba-tiba dan dipersetujui Amelia.
"Tapi Adelisa tak dapat kawal."
Almarhum Sultan Mirhad juga dikurniakan kelebihan seperti Adelisa. Dia dapat menarik kuasa alam hanya dengan fikirannya. Tetapi ayahanda mereka dapat mengawalnya dengan baik dan hanya digunakan pada masa yang sesuai. Dan Adelisa tidak.
"Sebab dia juga dapat kelebihan bonda." ujar Aseef lagi. Kali ini agak perlahan.
Mereka juga pasti, selain itu ada lagi rahsia Adelisa yang disimpan rapi. Sesungguhnya hal yang satu ini bukan lagi rahsia antara mereka bertiga. Malah ada lagi dan lagi. Adelisa terlampau misteri, tak ada yang mereka mampu tebak.
Kelebihan Almarhumah Permaisuri Mutiah ialah dia mampu melihat kezaliman yang dilakukan oleh seseorang andai dia melihat ke arah mata seseorang itu.
Adelisa berlakon buta supaya dia tidak melihat semua itu dan akhirnya melakukan kerosakan yang dasyat akibat rasa marah yang membuak-buak.
Kedua-dua kuasa aneh itu ada pada Adelisa yang membuatkan dia boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Sesungguhnya, Adelisa yang tidak berada dalam kawalan akan menjadi bahaya yang tidak ada sesiapa mahu hadapi.
Kehilangan anak-anak di Kota Diraja Hagron juga barangkali oleh rancangan yang Adelisa sedang laksanakan. Mereka tidak tahu bagaimana gadis itu lakukan tetapi pasti tidak lama lagi mereka akan memperoleh jawapan yang mereka mahu.
"Kenapa kau pakai macam tu?" soal Amelia kepada adiknya yang tercegat di tengah bilik. Masih penat agaknya bermarathon tadi.
"Nak solatlah takkan nak panjat bumbung pulak?"

ANDA SEDANG MEMBACA
Secret
Fiksi Sejarah[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...