Sayapnya melebar di udara membelah angin sejuk yang juga mendamaikan. Aswad baru saja ingin ke pulau yang menempatkan Adelisa. Hari ini dia akan membawa gadis itu pulang ke Bukit Nelor untuk berjumpa dengan rakyatnya.
Drummmm!
Aswad terpinga-pinga mendengar bunyi aneh itu. Kiri dan kanannya dipandang. Bawah juga tetapi hanya pantulan dirinya yang ada di atas air itu.
Apabila dia menoleh ke belakang, masa seakan terhenti tatkala dia melihat ada cahaya yang sangat hampir dengannya. Dalam sekelip mata, badannya tertolak ke dalam dalam laut dengan kelajuan dan putaran yang menyebabkan air bergelora kencang.
Bunyi letupan itu membuatkan Adelisa yang berada di pulau tersebut terjaga. Matanya terkedip-kedip memandang ke sekeliling kawasan.
"Bunyi apa tadi?" fikirnya sendiri.
Langit yang cerah dilihat. Dari jauh dia sudah nampak sebuah helikopter yang sangat besar dan 4 jet yang mengiringinya. Adelisa terus bangkit. Mustahil itu dari Hagron. Walaupun dia tidak ambil tahu pasal tentera udara sepenuhnya, tetapi dia sudah cukup arif tentang mereka.
Itu bukan kepunyaan Hagron. Ia kepunyaan Tuliemo.
Adelisa berpaling drastik untuk melarikan diri. Tetapi alangkah terkejutnya dia apabila ada 10 orang lelaki sedang mengacukan pistol ke arahnya. Sah, mereka ini orang Tuliemo!
"Apa kalian buat di sini?" Adelisa tidak mengangkat tangan. Menyerah adalah perkara terakhir yang bakal dia lakukan. Direnung setiap satu manusia di situ dengan amarah yang membuak.
Tiba-tiba kepalanya dihentak dengan sesuatu. Adelisa mengangkat pandangannya ke langit dan di situlah ada tangga yang diturunkan kepadanya dari helikopter yang besar tadi. Pasir berterbangan di merata-rata akibat putaran kipas daripada jet-jet di udara.
"Ikut kami! Kami takkan guna cara kasar selagi tuanku dengar cakap kami."
Adelisa berdecit. Pada masa yang sama dia tercari-cari kelibat Aswad. Di mana keberadaan kuda hitamnya itu sekarang ini? Waktu-waktu macam inilah dia nak hilang pun.
"Cari kuda tuanku?"
Adelisa terkedu. Dipandang seorang lelaki yang sudah menurunkan senjatanya di sisi untuk mendekatinya. Tidak sempat lelaki itu menyentuh bahunya lagi, dalam sekelip mata tubuh itu jatuh ke tanah apabila kepalanya disepak oleh Adelisa. Terpercik darahnya ke atas pasir putih itu.
Mereka yang di situ terkejut bukan main kepalang. Masing-masing mengundurkan diri setapak ke belakang.
"Jangan cuba dekati aku. Apa yang kalian dah lakukan pada Aswad?"
"His name is Aswad?" Apabila mendengar suara asing itu, Adelisa menoleh kembali. Matanya lantas membesar. Wajah separuh abad itu sudah pernah dia lihat sebelum ini. Inilah wajah yang perdayakannya untuk pulang dari sekolah rendah dahulu bersama. Ketika itu dia bodoh kerana ikut saja cakap semua orang.
"Well, my queen. I'm afraid to say, Aswad is dead."
Mata Adelisa terbuntang luas. Baru saja dia ingin melempiaskan amarahnya, tiba-tiba ada cecair pekat dan berbau alkohol disimbah ke arahnya. Dia tidak tahu itu apa, tetapi ia amat menyakitkan.
Dia cuba menahan tangisan dan jeritan, tetapi gagal. Sungguh, cecair itu berjaya menyeksanya! Tangannya terasa berat. Wajahnya seakan mengecut sehingga dia tidak rasa lagi nafasnya mampu ditarik.
"Same as your father. Interesting." Lelaki itu beriak tenang tatkala Adelisa pula sedaya upaya mencari oksigen.
Itulah cecair yang mereka hasilkan untuk menarik kuasa Adelisa malah Sultan Mirhad sebelum ini. Ia takkan berlaku serta-merta. Tetapi sedikit demi sedikit pasti kuasa itu akan pudar dan terus lesap.
"Apa yang kau dah buat?!" Adelisa mencengkam kolar baju lelaki tersebut. Pandangannya kabur dan tubuhnya seakan ditarik ke tanah. Perlahan-lahan tubuhnya dibiarkan jatuh tanpa disambut oleh sesiapa.
"Ambil dia." arah lelaki itu kepada 9 orang tentera di hadapan.
Mereka mengangguk akur.
ADELISA terjaga apabila dia rasa tubuhnya sakit setelah dicampakkan ke atas sesuatu yang keras. Bunyi besi berdeting membuatkan telinganya berdesing. Segala kudrat digunakan untuk mencelikkan pandangan.
"Dah bangun?"
Adelisa memandang pengawal di luar sel itu sebelum matanya meliar ke sekeliling. Entah mengapa, bibirnya tersungging senyuman sinis. Di sini lagi?
"Kau senyum kenapa?!" Marah pengawal tersebut. Di sebelah lelaki itu ada seorang lagi pengawal yang hanya berdiam diri dengan rantai di tangan. Rantai itu bersambung dengan leher 3 ekor serigala yang nampak kebuluran.
"Rasa seronok tengok tempat yang pernah kurung aku sebelum ni. Kau tak seronok aku dah datang balik?" Dipandang pengawal yang agak tua itu. Kalau berusia, sah-sahlah lelaki itu tahu dia pernah dipenjarakan di sini ketika dahulu.
"Apa... apa maksud kau?" Tergagap dia melihat wajah yang langsung tidak mempamerkan ketakutan milik Adelisa. Biarpun terdapat luka yang agak dalam pada bahagian dahinya, Adelisa tidak menunjukkan sebarang rasa ngilu.
Dulu juga seperti itu. Pada mulanya Adelisa meracau ingin dirinya dilepaskan. Tetapi selepas mereka bunuh kedua-dua ibubapanya, dia dilihat lebih tenang dan tidak melawan. Gadis itu banyak berdiam.
"Tak ada apa-apa."
"Kau jangan main-mainkan aku!" Pengawal itu menendang besi tersebut membuatkan nyalakan serigala itu semakin menggila.
"Kau nak lepaskan serigala tu dekat aku, kan?" Adelisa tertarik kepada tiga ekor serigala yang sering merenungnya.
Dua orang pengawal di situ tersentak. Memang itu arahan yang mereka terima. Tetapi tak sangka Adelisa boleh tanya pula dengan riak tiada apa-apa. Tidak takutkah gadis itu?
"Lepaskan mereka dan pergi dari sini."
Tawa pengawal tua itu terhambur keluar.
"Kau ingat kami nak sangat tengok kau dibaham mereka? Lepaskan serigala ini!" arahnya tegas. Pengawal yang seorang lagi cuma melonggarkan pegangannya. Tidak sempat dia lepaskan semuanya lagi, serigala itu terus berlari ke arah Adelisa.
"Dah, biarkan! Dia nak mati pun matilah." Mereka berdua melangkah pergi tanpa ada rasa bersalah.
Adelisa malas untuk melarikan diri. Tipulah kalau dia tidak takut dirinya dibaham. Tetapi dia juga tak rasa Raja Mario ingin dia mati hanya kerana dibaham oleh serigala.
Lihatlah, sekarang ini boleh pula mereka bertiga duduk di hadapannya setelah berlari macam nak rebut makanan tadi. Serigala-serigala itu memandang ke arah satu sama lain seperti sedang bersembang.
Kalaulah Adelisa tahu apa yang mereka bincangkan, pasti dia menyampuk.
Namun, anehnya. Selepas sahaja 'perbincangan' itu selesai, mereka mendekati Adelisa lalu merehatkan diri di atas pehanya. Hampir terkeluar jantung Adelisa. Namun perlahan-lahan tangannya mendarat di salah seekor serigala tersebut.
"Ini Levi, Luke dan Leo kan?" Adelisa tersenyum nipis. Memang dia pernah bertemu dengan serigala-serigala kepunyaan Raja Mario dahulu. Dia juga yang memberi nama-nama itu. Dan dia tidak sangka mereka mengingatinya.
Nampaknya mereka bertiga bukan menyalak kerana tidak sabar hendak mencarik dagingnya. Tetapi cuma tidak sabar ingin bertemu dengannya. Levi berwarna putih, Luke berwarna hitam berjalur putih dan Leo berwarna kelabu asap.
Raja Mario pasti tidak tahu mereka bertiga ini sudah jadi rakan karib Adelisa. Kalau tidak, pasti ketiga-tiga mereka akan dibunuh.
"Leo," Adelisa menyeru seekor serigala yang masih tidak melelapkan mata seperti yang lain. Serigala kelabu itu mengangkat wajahnya. Wajah garang tadi sudah tiada.
"Awak tahu cara nak keluar dari sini?"
Serigala itu cuma memandang Adelisa lama. Kepalanya menunduk sedikit sebelum dia mendekat dan memeluk leher Adelisa. Adelisa hampir terdorong ke belakang. Tapi dia tidak dapat menolak Leo kembali. Hatinya dihurung rasa sebak.
Tidak, itu jawapannya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Secret
Ficção Histórica[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...