Bab 44

488 82 3
                                    

Noah memilih untuk menyelesaikan beberapa kertas kerja yang berselerakan di atas katilnya. Nak dibawa ke meja pun memerlukan kudrat. Malas tapi kena siap. Atas katil pun boleh.

Sedang dia asyik menyelak dari satu helaian ke helaian yang lain, ada cahaya tiba-tiba menyimbah di atas kertas tersebut. Keningnya terangkat sendiri. Cahaya oren itu seperti menari-nari. Bermakna sumber cahaya tersebut tidak tetap kedudukannya.

Hatinya berasa tidak enak. Sedaya upaya dia mengingatkan diri bahawa semua ini hanya perkara remeh namun dia tetap mahu mencari puncanya. Kertas-kertas itu dibiarkan di atas katil sebelum dia melangkah turun dan dekati jendela.

Pemandangan yang disajikan di hadapannya terus membuatkan mulutnya ternganga. Ada kebakaran yang sedang berlaku di Menara Hagron iaitu menara utama kerajaan Hagron L Casa yang menempatkan fail-fail penting empayar ini.

Tidak lagi berfikir panjang, terus dia berlari ke sana. Entah mengapa perjalanannya terasa singkat dan dia tidak terserempak dengan mana-mana orang. Jeritannya pun hanya berlagu sendiri. Mana mereka semua pergi?

Noah mendaki tangga dengan laju. Bau asap semakin menyesakkan dada. Tetapi dia masih memilih untuk menyelidik dan dia akan hapuskan api itu sendiri. Jika tidak, peristiwa tragis tempoh hari mungkin bakal berulang kembali.

Dan menggerunkan lagi kerana Istana Hagron L Casa merupakan istana yang serba mewah dan terbesar. Ia juga berdekatan dengan kawasan hutan yang membolehkan apinya merebak dengan mudah.

Langkah Noah terhenti apabila bunyi seruling kedengaran. Sangat merdu sehinggakan dia hampir terbuai dek muziknya yang mendamaikan.

Matanya menangkap sosok tubuh seorang perempuan. Barangkali perempuan yang sama.

Ya, Abelisa.

Wajahnya kelihatan jelas dan bibirnya tersenyum sinis. Mereka bertentangan mata buat seketika sebelum Abelisa menggerakkan tubuhnya. Api itu semakin besar dan ia seperti menari bersama Abelisa. Lama-kelamaan api itu menjadi hitam sehingga kehangatannya terasa sehingga ke rongga penafasan.

Noah terbatuk-batuk. Apabila dia hendak menggerakkan kakinya, ia seperti sudah terpasak di situ. Dia tidak dapat bergerak!

"Cari apa?"

"Arghh!!" Noah menjerit tatkala suara itu sangat dekat dengan telinganya. Ternyata apabila dia menoleh, Abelisa berada betul-betul di belakangnya.

Anehnya dia sudah dapat bergerak, tetapi kakinya tidak mampu menapak pergi. Tatkala Abelisa mendekat, dia mengundur setapak demi setapak. Langsung dia terlupa jaraknya dengan api itu semakin hampir.

"Aku akan bunuh kau." kata Abelisa tenang. Wajahnya sudah samar-samar pada pandangan Noah.

"Tapi aku perlu seksa kau dahulu." Dalam sekelip mata tubuh Noah ditolak ke dalam api itu.

"ALLAH!" Noah terjaga.

Peluh merenik di dahi, tangannya menggelentar hebat. Dipandang sekeliling bilik yang malap dan sepi ini. Tadi itu, mimpi?

Dalam tak sedar, dia menghela nafas lega.

Sebelum...

Cahaya oren itu kembali memancar di hadapannya. Sangat serupa dengan mimpinya tadi.

Noah mendengus kasar. Pisau rambo di dalam laci dicapai dan diselitkan ke pinggang. Kalau dirinya diancam, nescaya dia akan bunuh saja Abelisa.

Buat sekian kalinya, dia berlari pergi ke Menara Hagron. Sama. Tiada manusia dan perjalanannya terasa singkat.

Sama. Abelisa datang dan memandangnya.

Sama. Api itu menari bersama gadis itu.

Sama. Abelisa tiba-tiba ada di belakangnya.

"Ini bukan mimpi, kau tahu?"

"Hah?"

Dan sama, dirinya ditolak ke dalam api dan dia terjaga.

Kejadian itu berulang berkali-kali sehingga Noah rasa mentalnya tidak lagi tenang. Dia cuba mencari orang lain tetapi perjalanan itu seakan sudah diplot dan dikunci.

Dia akan ditolak ke dalam api tersebut berkali-kali. Dia akan rasa terbakar berkali-kali. Dia akan terseksa berkali-kali.

"Cukup!" Noah terjaga untuk kali yang entah ke berapa. Matanya sudah merah dan berair. Sungguh, dia penat.

Pisau dicapai dan dihalakan ke arah jantung. Cukup! Cukup! Cukup!

"Dah cukup terseksa?"

Noah tersentak. Abelisa yang berada di sofa itu dipandang gerun. Gadis ini, apa lagi yang dia mampu lakukan?

"Aku tanya ni, dah cukup terseksa?"

Bersungguh-sungguh Noah mengangguk. Debarannya masih menggila. Dia tidak sangka Abelisa boleh mengganggunya seperti ini. Gila, gadis ini memang gila!

Abelisa senyum saja melihat anggukan itu.

"Kalau ikutkan ini baru sikit." Abelisa bangun dan mendekati Noah yang nampak tidak terurus.

"Aku akan hilangkan kewarasan kau buat sementara waktu." ujarnya tanpa rasa bersalah.

"Ke... kenapa?" Suaranya perlahan. Nafasnya yang tidak teratur masih cuba untuk kembali normal.

"Ayah kau hampir tarik kewarasan bonda aku sebab kehilangan aku. Salah ke aku nak tarik kewarasan kau hanya untuk balas dendam kepada dia?"

"Tapi, Abelisa..." Noah melangkah ke arah Abelisa. Namun Abelisa terlebih dahulu menolak lelaki itu.

Sedar-sedar sahaja, suasana di sekeliling mereka berubah. Angin berderu-deru menampar tubuh mereka. Mata Noah terus terbuntang luas.

"Jangan berani dekat dengan aku!" Abelisa merenung wajah lelaki itu dengan tajam.

Noah sedar dia berada dalam bahaya. Tubuhnya yang tertahan oleh satu kuasa asing itu akan terhempas ke atas air jika Abelisa menginginkannya.

Entah bagaimana, mereka berada di tebing laut yang sangat tinggi.

"Jangan... jangan lepaskan aku!"

"Well, you're no one to me."

Noah dilepaskan.

"Uhuk! Uhukk!" Dia terjaga, tetapi kali ini dia sudah berada di tebing. Air laut tidak henti-henti keluar daripada mulut dan rongga pernafasannya. Batuk yang dilepaskan amat memeritkan tekak.

"Abelisa, jangan buat aku macam ni." Dia cuba merayu namun hasilnya sia-sia.

Dia ditolak dan kejadian itu sama seperti tadi. Ia berulang berpuluh kali. Kaki Noah sudahpun lembik. Suaranya tidak lagi mampu keluar. Dia cuma menangis dalam diam.

Berulang.

Ulang.

Kali.

Sehingga satu tangan menariknya dan ketika itu udara segar masuk ke dalam paru-parunya. Matanya terbuka luas dan jeritannya pecah ke seluruh sayap kanan Istana Hagron.

Badannya menggigil. Sultan Riyadh yang baru saja tiba kerana mendengar jeritan tadi cuba menenangkannya, diikuti beberapa ahli keluarga yang lain.

Dan yang terakhir, sudah tentunya Abelisa. Bibirnya tersenyum manis tatkala yang lain sedang gelisah.

Apabila Sultan Riyadh menoleh ke arahnya, lagilah melebar senyumannya itu.

SECRETWhere stories live. Discover now