Bab 23

875 129 4
                                    

BUK!

Adelisa cuba bangun semula tetapi belakang badannya ditahan oleh dua orang pengawal. Pagi ini dia ditarik tanpa sebarang penjelasan. Dia cuba untuk melepaskan diri tetapi dia terlampau penat. Apabila badannya lemah, dia tidak mampu menggunakan kuasa yang ada. Ia akan memudaratkannya kembali.

"Akhirnya, Permaisuri Adelisa..."

Suara itu.

Adelisa mengangkat pandangannya. Wajah berjambang nipis itu direnung tajam. Amarahnya membuak-buak. Dapat dia rasakan darah dalam saluran badannya menggelegak tetapi disebabkan ia amat menyakitkan, dia sedaya upaya bersabar.

"Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku? Apa salah aku kepada kau?" Adelisa tidak langsung menunjukkan dirinya takut di hadapan lelaki yang terkenal dengan kezaliman tersebut. Hal itu membuatkan Raja Tuliemo tergugat.

"Kau masih berani. Sayangnya kau tak kecil macam dulu untuk lari daripada aku." Raja Mario bertinggung di hadapan Adelisa. Selendang hitam yang menutupi rambut gadis itu dipandang. Dia cuba menariknya tetapi Adelisa pantas mengelak.

"Aku tak suka benda yang ada di atas kepala kau."

"Aku pun tak suka benda yang ada di atas kepala kau." Adelisa memaksudkan mahkota yang berada di atas kepala Raja Mario.

Ia menunjukkan bahawa kerajaan ini di bawahnya. Orang-orang Tuliemo perlu mengikut arahan lelaki itu walaupun ia salah dari segi undang-undang.

Raja Mario menyentuh mahkotanya lalu bibirnya tersenyum sinis.

"Kau nak tahu salah kau, Adelisa? Salah kau... kau lahir sebagai pesaing aku!" Raja Mario mencengkam erat rahang Adelisa sehingga gadis itu tidak langsung dapat bergerak.

"Kau bunuh rakyat-rakyat aku!" Raja Mario naik angin. Masih dia ingat bagaimana orang-orangnya ketakutan menghadapnya setelah apa yang terjadi di Delaney of The Night. Semua yang hadir ke upacara itu hilang tanpa khabar berita. Barangkali maut ditelan bumi.

Adelisa tertawa. Dia tak tahu sama ada dia perlu ketawa atau tidak. Raja Mario membunuh ibubapanya di hadapan matanya sendiri. Dia cuma mengamuk sedikit, itupun nak marah?

"Kau tahu apa perbezaan kita?"

Raja Mario cuma berdiam. Memberi peluang kepada Adelisa untuk bercakap walaupun suara itu sudah serak.

"Aku dan rakyat-rakyat aku ditakuti. Kau di sini, di Tuliemo mahupun luar hanya kau yang ditakuti. Kau terlampau takut kalau ada orang lebih berkuasa. Manakala aku berbesar hati mahukan mereka untuk melebihi aku. Aku biarkan mereka jadi apa yang mereka mahu. Kau? Kau paksa mereka untuk mendalami sains buat kepentingan diri kau sendiri. Kau tak takut kehilangan rakyat-rakyat kau, Mario. Kau takut kehilangan kuasa kau."

Adelisa memandang tepat wajah Raja Mario. Jelas lelaki itu sudah berang. Bagus.

"Kau tak ada hak nak cakap apa-apa pasal aku." Raja Mario melepaskan Adelisa sebelum dia bangkit untuk berlalu pergi.

"Kau pandang rakyat kau macam harta benda. Yang buruk, kau buang. Yang elok, kau jaga. Layak ke kau bersaing dengan aku?"

Adelisa teringatkan rakyatnya yang dahulu menetap di Tuliemo. Mereka kurang dari segi pelajaran dan tergamak Raja Mario mengabaikan mereka dan keluarga mereka. Dibiarkan saja sehingga mati dan cuma dilempar ke dalam laut. Itu mengikut apa yang dia dengar daripada mereka.

"Kau jangan kurang ajar dengan aku!" Raja Mario merampas lembing yang dipegang oleh salah seorang pengawalnya lalu dia mendekati Adelisa.

"Aku harap sangat kau mati, Adelisa. Tapi sayangnya aku hanya akan beri kau bayangan maut. Aku tak nak rancangan aku hancur." Raja Mario mengangkat lembing itu tinggi sebelum dia menusuk daging di bahagian betis gadis itu.

Secret Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang