"Kenapa aku tak tahu pasal ni?" Natasha terpinga-pinga. Wajahnya penuh tanda tanya. Sejak bila Elrah ada seorang abang?
Elrah menarik nafas panjang, berusaha menenangkan diri. "Ya, Tasha. Aku ada seorang abang. Dia satu-satunya adik-beradik yang aku ada. Tapi aku tak pernah cerita pada sesiapa." Suaranya perlahan, hampir berbisik, seolah-olah takut untuk menghidupkan kembali kenangan pahit itu.
Natasha memandang Elrah, dia tidak menyangka beban sebesar ini disimpan sahabatnya selama ini.
"Nama dia Elhan," sambung Elrah, menundukkan pandangan ke lantai. "Jarak umur kami empat tahun. Masa tu, aku ingat lagi, kami sekeluarga nak bercuti ke Langkawi. Dalam perjalanan ke jeti, aku dengan dia duduk di belakang sambil makan keropok yang mama baru beli dekat R&R," Elrah berhenti, matanya mula berkaca. Kalau boleh dia tidak mahu menangis.
"Tiba-tiba, mama aku menjerit kuat. Aku pandang ke depan dan nampak lori besar berpusing—hilang kawalan. Ia rempuh tiga buah kereta. Salah satu kereta tu... Kereta kami."
Natasha menutup mulut dengan tangan, cuba menahan tangisan. Dadanya terasa sempit mendengar cerita itu.
"Keadaan jadi kacau-bilau. Aku ingat lagi, abang aku..." Elrah memejam mata, seolah-olah cuba menghapus bayangan yang muncul di fikirannya. "Dia tercampak keluar dari kereta."
Natasha menekup mulutnya, cuba menahan supaya tangisannya tidak kedengaran.
"Seminggu di hospital... Aku, mama, dan ayah dibenarkan pulang, tapi abang aku... dia koma. Doktor cakap peluang dia tipis. Mereka sarankan kami cabut alat bantuan pernafasan."
Elrah diam sejenak, menarik nafas panjang. Dia menggengam tangannya sendiri, ingin mencari kekuatan.
Tiba-tiba tangan Natasha mengenggam erat tangan Elrah sambil tersenyum nipis. "El, kalau kau tak mampu cerita, tak apa. Aku tak paksa."
Elrah tersenyum kecil, walaupun matanya masih berkaca. "Tak apa. Lagipun, aku tahu kau nak dengar apa yang jadi selepas tu."
"Kami buat keputusan untuk cabut alat bantuan pernafasan. Abang aku... Dia pergi dengan tenang. Baru kami tahu sebelum ni, dia ada isi borang untuk derma organ. Mama dan ayah setuju untuk derma buah pinggang abang aku pada salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan," ada nada bangga dalam suara Elrah, walaupun luka itu jelas masih terasa.
"Masa abang aku meninggal, ada dalam tiga bulan juga aku kemurungan," luah Elrah perlahan. Wajahnya sedikit muram, namun suaranya tetap tenang. "Sejujurnya, aku memang rapat dengan dia. Dan mama aku... Sampai ke hari ni dia tak boleh tengok gambar-gambar arwah Elhan, sebab tiap kali mama nampak gambar abang, dia mesti menangis dan teringat kemalangan tu."
Natasha mendengar dengan penuh perhatian.
"Jadi, ayah aku simpan semua gambar keluarga kami dalam stor. Sampai sekarang, aku dan ayah tak pernah bangkitkan nama abang depan mama. Bukan sebab kami lupa, tapi kami tak mahu dia terus bersedih."
Elrah menarik nafas dalam, cuba mengawal perasaannya. Setiap kali ulang tahun kelahiran Elhan tiba, Puan Farida pasti akan hilang. Namun, Elrah dan ayahnya tahu mama pergi ke kubur Elhan. Di sana, Puan Farida akan membaca Yassin, membersihkan kubur, dan merenung kenangan bersama anak sulungnya.
Elrah memandang Natasha, senyuman kecil terukir di bibir. "Jadi, Tasha, walaupun aku tahu kau dah mula sedar, aku tetap nak pesan. Dalam dunia ni, Allah takkan uji hambanya melebihi kemampuan. Aku tahu kau kuat, dan aku nak kau terus bertabah. Aku juga nak kau cuba lupakan Danial."
Natasha diam, air mata hampir menitis, tetapi dia cepat-cepat mengesatnya.
"Melupakan seseorang tak bermaksud kita tak sayang, Tasha," sambung Elrah dengan lembut. "Tapi kita perlu beri ruang pada diri sendiri untuk terima orang baru. Kalau kita terus berpaut pada yang dah pergi, kita takkan pernah bergerak ke depan."
ANDA SEDANG MEMBACA
A S L A N (COMPLETE) UNEDITED VERSION
Боевик📢 akan ada sedikit perubahan jalan cerita dan proses edit semula akan mengambil masa yang agak lama jadi di minta agar para pembaca sabar menunggu. Elrah Rubeena | Insp. Saffaraz Aslan Saffaraz Aslan ialah seorang pegawai polis dalam unit Jabatan S...
