Saffaraz duduk bersandar, matanya menatap dinding kosong. Bayangan mimpi semalam masih melekat di benaknya, dia membatalkan perkahwinan? Tapi kenapa? Dadanya terasa berat, jari-jemarinya meraup wajah, menarik nafas panjang. Petanda atau cuma permainan minda?
Dia menggeleng perlahan, cuba menepis rasa gusar yang mencengkam. Niatnya baik, ingin mendirikan rumah tangga dengan restu Tuhan. Dia yakin, selagi niatnya tulus, Allah pasti akan permudahkan jalannya.
Telefon bergetar di atas meja. Nama Elrah tertera di skrin.
-Jom keluar lunch?
-Sorry, Cik El. Tengah hari ni saya ada kerja.
Saffaraz menekan butang 'reply'.
Dia letakkan telefon semula, Saffaraz tidak mahu mereka terlalu kerap berjumpa sebelum majlis. Orang tua pesan, darah manis, jangan terlalu bebas.
Elrah menghempas telefon ke sofa, nafasnya dilepaskan kasar. Dadanya berombak, matanya merenung skrin yang sudah gelap. Dia menggigit bibir, rasa rindu semakin menyesakkan dada. Sudah lama mereka tidak berjumpa, dan setiap kali dia mengajak keluar, jawapan lelaki itu tetap sama. Sibuk, sibuk, sibuk!
"Kenapa campak telefon tu, El?" suara Puan Farida memecahkan lamunan Elrah sambil merapatkan jarak antara mereka.
"El ajak Saffaraz lunch, tapi dia tolak. Setiap kali El ajak keluar, dia selalu bagi alasan busy. Entah apa yang dia busy pun El tak tahu," Elrah melunjurkan kaki, wajahnya masam mencuka.
"Ya Allah, anak aku ni..." Puan Farida menghela nafas panjang, matanya memerhati wajah masam Elrah. Perlahan, dia melabuhkan punggung di sisi anaknya, menepuk bahu gadis itu lembut.
"Sabar, El. Tinggal dua minggu saja lagi majlis kamu berdua. Mungkin betul Saffaraz sibuk. Kamu tu, kalau nak jadi isteri pegawai polis kena faham, tugas mereka bukan macam kerja pejabat, cuti hujung minggu duduk rumah goyang kaki."
Dia tersenyum kecil, terkenang zaman awal perkahwinannya bersama Superintenden Aminuddin. Begitulah dulu, hujung minggu suaminya pun jarang ada di rumah. Bukan sekali dua dia makan malam seorang diri, kadang-kadang subuh baru dia tersedar yang suaminya sudah berada di sisi.
"Dulu ayah kamu, Sabtu Ahad pun kerja. Kalau nak jadi isteri pegawai polis, kena banyak bersabar. Masa dia bukan untuk kamu seorang, tapi untuk negara juga."
Elrah menjuih bibir. "Tapi, ma..."
"Tak ada tapi-tapi."
Nada suara mamanya sedikit tegas, membuatkan dia terdiam.
"Baru tunang dah banyak komplen. Kahwin nanti tak tahu la mama," tambah Puan Farida sambil menggelengkan kepala.
Elrah merengus perlahan, tangannya mula menggoyang lengan mamanya, manja. "Bukan komplen, cuma El tak puas hati dengan bakal menantu mama tu..."
Puan Farida tersenyum kecil, rambut Elrah digosok lembut. "Dah, jangan masam sangat. Mama baru siap masak spaghetti carbonara. Sedap juga makan waktu hujan macam ni."
Telinga Elrah terus menangkap perkataa spaghetti. Matanya membulat, bibir yang tadinya muncung terus berubah ceria.
"Ma! El nak makan juga!" Dia berlari memeluk bahu Puan Farida, wajahnya kembali berseri.
"Tahu makan saja kamu ni, tolong mama dekat dapur tak nak. Kamu tu dah nak jadi isteri orang, apa yang kamu nak bagi suami kamu makan nanti kalau kamu masak pun tak tahu," Puan Farida mula berhujah panjang.
Elrah tersengih, menggaru kepala. "Ala ma, sekarang kan dah ada Grab, Foodpanda. Semua hujung jari je."
Puan Farida mengolekkan bebola mata. "Bagus la kalau macam tu, suruh saja Saffaraz kahwin dengan Grab atau Foodpanda. Ada isteri pun tak tahu masak, mengemas pun ikut mood."
ANDA SEDANG MEMBACA
A S L A N (COMPLETE) UNEDITED VERSION
Acción📢 akan ada sedikit perubahan jalan cerita dan proses edit semula akan mengambil masa yang agak lama jadi di minta agar para pembaca sabar menunggu. Elrah Rubeena | Insp. Saffaraz Aslan Saffaraz Aslan ialah seorang pegawai polis dalam unit Jabatan S...
