Seorang wanita berkaca mata hitam melangkah masuk ke dalam IPD, dress pendeknya berayun mengikuti gerak langkah. Kasut tumit tingginya yang mengeluarkan bunyi setiap kali dia melangkah menarik perhatian pegawai yang bertugas di kaunter.
"Hi, ermm... boleh I tahu mana bilik Superintendent Aminuddin?" Dia bersuara, lembut tetapi penuh keyakinan, dengan senyuman kecil di bibir.
Pegawai itu mengangkat wajah, dahinya berkerut. "Boleh saya tahu, cik ni siapa?" Nada suaranya tegas, matanya tajam meneliti penampilan wanita bak model ini.
Elrah mengangkat kaca matanya ke atas kepala, mendedahkan sepenuh wajahnya. "Oh, I anak dia, Elrah Rubeena," katanya santai.
Pegawai itu terkedu sejenak sebelum nada suaranya berubah. "Oh, baiklah. Sekejap ya." Dia mencapai gagang telefon dan membuat panggilan, intonasinya kini lebih ramah.
Sementara pegawai itu bercakap, mata Elrah meliar, seolah mencari sesuatu atau lebih tepat mencari seseorang. Dahinya berkerut kecil, dia menghela nafas perlahan tanda kecewa, namun matanya masih memerhati setiap sudut.
'Mana dia ni?' Hatinya menggumam. Dia menjenguk ke kiri dan ke kanan, lehernya dipanjangkan.
"Cik." Suara pegawai kaunter itu membuatkan Elrah berpaling semula, dia berdehem kecil sebelum menghadiahkan senyuman, cuba menutupi perbuatannya sebentar tadi.
"Cik, boleh pergi ke bilik Superintenden Aminuddin. Cik terus jalan ke hadapan, dan biliknya berada di sebelah kanan, pintu kedua," arah pegawai itu sambil menuding jari.
"Baik, terima kasih," Elrah mengatur langkah, meneruskan perjalanan selepas pegawai itu mengangguk.
Kakinya melangkah ke arah bilik ayahnya, tetapi, seperti biasa Elrah dengan sikap selambanya, dia tidak terus masuk. Sebaliknya, dia sempat memeriksa pintu-pintu lain terlebih dahulu.
Tiba-tiba, dia mengetuk kepalanya sendiri. "El... Kau mana tahu nama dia," dia memarahi dirinya, nada suara sedikit geram.
Keluhan kecil terlepas dari bibirnya sebelum dia akhirnya melangkah ke bilik ayahnya.
Pintu diketuk sebelum dia masuk. Sejak kecil, dia diajar untuk mengetuk terlebih dahulu jika ingin memasuki bilik seseorang. Ketegasan ayahnya sebagai seorang pegawai polis menjadikannya patuh kepada setiap arahan yang pernah diajarkan.
"Masuk," suara tegas itu kedengaran dari dalam.
Sebaik sahaja mendapat kebenaran, dia menolak daun pintu perlahan dan melangkah masuk. Sebuah senyuman manis terukir di wajahnya, khusus untuk ayah kesayangannya.
Oleh kerana ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke pejabat Superintenden Aminuddin, matanya segera meneroka ruang bilik. Dekorasinya sederhana, tiada apa istimewa, sehinggalah pandangannya tertancap pada sesuatu.
Di dinding belakang meja kerja ayahnya tergantung sebuah potret keluarga. Gambar itu dirakam semasa majlis konvokesyennya beberapa tahun lalu. Dia, ayah, dan mama sedang tersenyum. Hatinya tiba-tiba terasa sayu dan terharu.
"Tutup mulut kamu, tak elok anak dara mulut ternganga," teguran ayahnya mengejutkan dia daripada lamunan. Dengan serta-merta, Elrah mengatup bibirnya rapat.
"I'm surprised to see you here. Jangan ada selok-belok. Tell me, what's your intention?" Superintenden Aminuddin memandang tepat ke wajah anaknya, membuatkan Elrah tertawa kecil.
Macam tahu-tahu saja ayah dengan perangainya. Tapi takkanlah dia nak mengaku yang dia ke sini semata-mata nak mengintip pegawai polis yang menyelamatkannya tempoh hari. Malangnya, niat itu tidak tercapai kerana lelaki itu langsung tidak kelihatan.
ANDA SEDANG MEMBACA
A S L A N (COMPLETE) UNEDITED VERSION
Acción📢 akan ada sedikit perubahan jalan cerita dan proses edit semula akan mengambil masa yang agak lama jadi di minta agar para pembaca sabar menunggu. Elrah Rubeena | Insp. Saffaraz Aslan Saffaraz Aslan ialah seorang pegawai polis dalam unit Jabatan S...
