Mata Danial berulang kali melirik ke cermin sisi. Bayangan kereta hitam itu masih mengekorinya, seperti bayang-bayang.
Satu senyuman sinis tercalit di bibirnya. "Nak main-main dengan aku? Silap orang." matanya sempat meliar ke skrin radio, jarum digital terpacak tepat jam 8:30 malam. Malam masih muda. Kalau kereta itu mahu main kejar-kejar, Danial sedia melayan.
Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng, konon sabarnya masih bersisa. Namun kakinya tidak segan menekan pedal minyak. Toyota Corolla Cross miliknya meluru ke hadapan, meninggalkan bunyi deruman enjin yang menggigit ruang udara.
Cermin pandang belakang memantulkan sinaran lampu tinggi dari kereta hitam itu. Pengekor misteri itu tidak mahu kalah, dia turut memecut dan mengekori rapat di belakang. Degup jantung Danial mula seiring dengan meter kelajuan. Adrenalin melonjak, tetapi wajahnya tetap tenang, garisan bibirnya sedikit mencebik.
Jalan di hadapannya agak padat. Kereta bersusun bagaikan kotak-kotak kecil yang bergerak perlahan. Danial tersenyum sinis. "Nak ikut sangat kan, aku bagi kau pusing bandar KL malam ni."
Dia memandu dengan penuh keyakinan, mencelah antara kereta lain dengan licik dan berani. Sesekali bunyi hon memecah keheningan malam, namun Danial tak peduli. Matanya tajam, fokus pada laluan di hadapan.
Kereta hitam itu masih mengejar, tetapi Danial tahu bagaimana bermain di gelanggang sendiri. Gear ditukar dengan lincah, stereng diputarkan dengan gaya penuh yakin. Lima minit, enam minit, tujuh minit... Akhirnya, Danial senyum puas.
Di persimpangan sesak, dia melakukan gerakan terakhir iaitu mencelah di antara dua kenderaan. Pandangan di cermin pandang belakang menampakkan kereta hitam itu akhirnya terperangkap di lorong yang sesak. Danial menurunkan kelajuan, nafas lega dihembus perlahan.
Danial kembali memandu dengan tenang, sudah tiba masanya untuk dia pulang berehat.
Tangan lelaki itu mencengkam stereng hingga buku jarinya memutih. "Sial!" Bentakan itu bergema dalam ruang kereta yang sempit. Matanya menyorot tajam ke hadapan, namun Toyota Corolla Cross milik Danial sudah hilang dari pandangan. Nafasnya dihembus kasar, dada naik turun menahan marah.
"Kau memang licik, Danial... Tapi tunggu. Aku akan dapat kau juga." Suaranya bergetar, sarat dengan dendam. Rancangan yang diatur rapi hancur malam ini. Dia menekan pedal minyak dengan geram, memandu pulang ke markas.
Saffaraz menatap pantulan dirinya di cermin bilik, mata menilai seragam biru yang dipakai. Dia menarik hujung kemeja ke bawah, memastikan ia terletak rapi, lalu menyapu debu halus yang tak kelihatan dari bahunya.
Sebuah getaran pendek memecah kesunyian. Telefon bimbit di meja sisi katil bergetar sekali lagi, membuatkan jari-jarinya berhenti di celah tali pinggang. Skrin menyala.
Daniel:
- Aku nak jumpa waktu lunch nanti. Ada benda aku nak bincang.
Saffaraz membaca pantas, alisnya sedikit berkerut.
- Okay.
Balasan itu dihantar ringkas.
"Ada apa kau nak jumpa aku?" Saffaraz menarik kerusi bertentangan dengan Danial, senang mereka nak berbincang.
Danial menjentik jari, memanggil pelayan yang kebetulan melintas. "Kita pesan makan dulu," dia tersenyum kecil sebelum membuka cerita.
Danial bersandar, wajahnya sedikit tegang. "Semalam aku rasa aku diekori," suaranya mendatar.
"Kau syak siapa?" Tanya Saffaraz sambil mengerutkan dahi.
ANDA SEDANG MEMBACA
A S L A N (COMPLETE) UNEDITED VERSION
Aksi📢 akan ada sedikit perubahan jalan cerita dan proses edit semula akan mengambil masa yang agak lama jadi di minta agar para pembaca sabar menunggu. Elrah Rubeena | Insp. Saffaraz Aslan Saffaraz Aslan ialah seorang pegawai polis dalam unit Jabatan S...
