• A S L A N • 1️⃣2️⃣

1.5K 97 43
                                        

Seawal pagi, Saffaraz Aslan sudah berdiri tegak di hadapan meja panjang dalam bilik perbincangan. Wajahnya serius, pandangan matanya menusuk ke arah ahli Hazard yang baru sahaja mengambil tempat masing-masing. Ruang itu sunyi seketika, hanya kedengaran bunyi kerusi yang diseret.

"Kenapa kau nak jumpa kami semua pagi-pagi ni?" Ansh yang duduk di barisan hadapan memecah kesunyian, suaranya penuh tanda tanya.

Saffaraz meluruskan bahunya sebelum membuka mulut, nada suaranya tegas. "Aku nak kita hentikan operasi di KLIA dan kes pembunuhan Tarmizi."

Kenyataan itu mengejutkan mereka semua. Mata setiap ahli Hazard membesar, rahang mereka jatuh, menandakan keterkejutan yang jelas.

"Biar betul, Lion? Takkan kita nak tutup kes macam tu je," suara Keane lantang, penuh rasa tidak puas hati. Dia menolak kerusinya ke belakang, bersandar sambil menggelengkan kepala.

"Kau rasa ini Saffaraz yang kita kenal ke? Atau dia dah berubah jadi orang lain semalam?" Brian berbisik kepada Lee Han.

Namun, gurauannya dibalas dengan siku keras Lee Han yang menghentak perutnya. Brian mengaduh perlahan, memegang perut sambil memandang Lee Han dengan pandangan tidak puas hati.

"Sabar. Aku belum habis cakap lagi." Nada Saffaraz naik sedikit, menghentikan kekecohan kecil itu.

Dia memandang satu persatu ahli Hazard. "Aku suruh berhenti, bukan tutup kes. Aku yakin kes ini ada kaitan dengan kumpulan Red Cobra."

Wajah mereka kelihatan keliru. Hud sahaja yang kekal tenang, bersandar sambil mengangguk perlahan. Dia sudah tahu rancangan Saffaraz.

"Jadi, kita semua akan teruskan siasatan kes Red Cobra. Inspektor Danial akan turut serta dalam kes ini seperti yang telah diberitahu," tambah Saffaraz.

Mereka mengangguk perlahan, tanda memahami.

Ansh mengangkat tangan sedikit, seolah-olah meminta izin untuk bercakap. "Macam mana kau tahu kes di KLIA dengan kes Tarmizi ada kaitan dengan Red Cobra?"

"Good question," balas Saffaraz sambil mengambil sebutir peluru dari atas meja. "Semalam aku jumpa dengan Danial. Dia beritahu aku peluru ini dibuat khas untuk Red Cobra," jelas Saffaraz, menunjukkan peluru itu kepada semua orang.

Keane bersuara lagi, kali ini dengan nada yang lebih terkawal. "Maksud kau, dadah Royal Blue yang kita jumpa dalam badan Ashrif tu kerja Red Cobra?"

"Bingo!" Saffaraz memetik jari, senyum nipis terukir di wajahnya.

Dia bergerak ke hadapan skrin, menekan butang untuk memainkan sebuah video. "Mereka yang buat dadah tu dan cuba hantar ke luar negara. Tapi aku rasa itu cuma umpan. Mereka dah buat lebih dari itu."

Semua mata tertumpu pada skrin. Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki yang memakai pelitup muka berjalan laju di lapangan terbang Thailand. Dia menaiki sebuah kenderaan, dan kamera berubah ke lokasi lain. Lelaki yang sama kelihatan menyerahkan sebuah beg kepada seorang lelaki Thailand, sebelum kenderaan itu memecut pergi.

"Mana kau dapat rakaman ni?" Lee Han bertanya, matanya masih melekat pada skrin walaupun video sudah tamat.

"Danial yang bagi. Dia ada mata-mata di Thailand," jawab Saffaraz. Sekilas, pandangan matanya berubah serius. Jelas dia juga tidak menyangka video itu akan membawa bukti sehebat ini.

"Sekarang, apa rancangan kau dengan Danial?" Brian menyoal, badannya condong ke hadapan, tidak sabar mahu mendengar jawapan Saffaraz.

"Aku nak kita cari markas Red Cobra dan buat serbuan. Kita kena hentikan kegiatan haram mereka." Nada suara Saffaraz penuh dengan azam.

A S L A N  (COMPLETE) UNEDITED VERSION Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang