Enjin kereta Hud berdengung lembut, tetapi suasana di dalamnya tegang. Saffaraz bersandar di kerusi penumpang dengan wajah kelat, tangan bersilang di dada, memandang ke luar tingkap. Namun, mulutnya langsung tidak berhenti membebel.
"Kau dah tahu kan yang kita nak keluar makan dengan Hazard? Yang kau pergi setuju untuk Cik Elrah ikut kita dah kenapa?" Suaranya tajam, nyaring mengisi ruang kereta.
Hud, yang sedang memegang stereng, hanya tersengih. Matanya tertumpu ke jalan, mengelak dari merenung wajah Saffaraz yang jelas berang.
'Seram weh kalau nak pandang muka singa tu sekarang,' bisiknya dalam hati, tetapi wajahnya kekal tenang.
Sambil mengemudi, Hud menjawab dengan nada santai, "Kau pula menggelabah ni kenapa? Kau suka Cik Elrah tu ke?" Dia sengaja menembak, berharap dapat mengendurkan ketegangan.
Saffaraz terus menoleh, matanya tajam seperti pisau yang baru diasah. "Kau jangan mengarut boleh tak? Aku fikirkan cakap-cakap orang nanti. Kalau nampak seorang perempuan keluar dengan enam orang lelaki, tak manis tahu tak."
Hud mengeluh perlahan. "Kau nak peduli cakap orang kenapa? Ke kau yang tak suka Cik Elrah ikut kita?"
Saffaraz menghela nafas panjang. "Memang aku tak suka," luahnya, namun lebih kepada diri sendiri. "Cara dia tu macam... Sesuatu."
Hud ketawa kecil, sambil mengerling sekilas ke arah rakannya. "Sesuatu apa? Kau ni cuba lah bersangka baik. Dia kan anak Tuan Aminuddin. Kita kena layan dia elok-elok."
Saffaraz mendengus kecil. 'Hud dengan falsafah optimistiknya itu,' dia menahan diri daripada membalas. Malas nak panjangkan cerita.
Dia tahu, walau apa pun hujahnya, ia tidak akan mengubah hakikat bahawa wanita itu sedang mengekori mereka ketika ini.
Mata Saffaraz melirik ke cermin sisi, melihat kereta Elrah yang kekal setia mengekori. Wanita itu jelas tidak terkesan dengan kebekuannya tadi.
Brian orang pertama yang menangkap kelibat Saffaraz dan Hud di pintu masuk restoran, tetapi perhatian utamanya langsung beralih kepada seorang wanita yang sedang berjalan beriringan bersama mereka berdua.
"Uish, Capt dengan Hud bawa siapa tu?" Bisiknya, matanya membulat seperti baru nampak artis terkenal.
Yang lain serentak mengangkat kepala, memang betul busybody.
Ansh, yang sedang membetulkan posisi pinggan di hadapannya, menoleh ke arah yang dimaksudkan. "Takkan... girlfriend Hud kut?" Tebaknya, melihat wanita itu berjalan rapat di sisi Hud.
Belum sempat mereka membahas lebih lanjut, ketiga-tiga mereka sudah berdiri di sisi meja.
"Sorry, lambat," Hud memulakan perbualan sambil menarik kerusi.
Elrah, yang sedar dirinya kini menjadi perhatian utama, segera menghadiahkan senyuman. "Hi, guys! Nama I Elrah. Sorry kalau kehadiran I menganggu lunch you all," suaranya ceria, seperti sudah lama mengenali mereka.
Hud mencelah. "Cik Elrah ni anak Superintendent Aminuddin."
"Ohhh, anak Tuan Aminuddin rupanya," sahut Brian. "Hi, Cik Elrah. Saya Brian."
"Hi, Brian. Panggil El je, tak payah formal sangat," balas Elrah sambil tersenyum lagi, namun kali ini lebih mesra.
Elrah memerhati penampilan Brian, boleh tahan. Kulit putih, gaya rambut juga mengikut fesyen terkini.
Namun, Brian pantas menggeleng. "Eh, tak boleh, tak boleh. Lagipun, Cik El anak Tuan Aminuddin."
"Yang ni Ansh," Brian menunjuk lelaki di sebelahnya. "Depan Ansh tu Keane, sebelah Keane pulak, Lee," dia memperkenalkan mereka semua tanpa sempat mereka membuka mulut.
ANDA SEDANG MEMBACA
A S L A N (COMPLETE) UNEDITED VERSION
Aksi📢 akan ada sedikit perubahan jalan cerita dan proses edit semula akan mengambil masa yang agak lama jadi di minta agar para pembaca sabar menunggu. Elrah Rubeena | Insp. Saffaraz Aslan Saffaraz Aslan ialah seorang pegawai polis dalam unit Jabatan S...
