Dengan sekali lafaz, Natasha Erlina dan Hud Qarish selamat diijabkabulkan.
"Selamat pengantin baru, Natasha," ucap Elrah perlahan sambil tersenyum gembira. Namun, genggaman tangan Natasha masih erat di tangannya, enggan dilepaskan meskipun Hud sudah berdiri untuk sesi menyarungkan cincin.
"Lepaskanlah tangan kau ni. Hud dah nak sarungkan cincin tu," bisik Elrah dengan nada hampir berbisik.
"Tangan aku menggigil, El. Kau sajalah yang sarungkan cincin tu untuk aku," balas Natasha, cemas.
Belum sempat Elrah menjawab, Hud sudah melabuhkan punggung di sisi Natasha, bersama Saffaraz berdiri tidak jauh di belakang Hud.
Mata Elrah sempat melirik ke arah Saffaraz. 'Handsomenya bakal imam aku ni. Baju pun sedondon,' hatinya berbicara sendiri.
"Assalamualaikum," Hud memberi salam, membuatkan Natasha tersipu malu. Tapi, tangannya tetap tidak mahu melepaskan genggaman Elrah. Malah, ketika dia hendak berdiri pun, Natasha masih enggan melepaskannya.
"Natasha Erlina, lebih baik kau lepaskan tangan aku sebelum orang ingat aku ni bakal madu kau," bisik Elrah, separuh mengugut.
Hud memandang mereka dengan kening terangkat, menunggu giliran untuk menyarungkan cincin. Tiada pilihan lain, Elrah menarik perlahan tangan Natasha dan menggenggam pergelangan tangannya. Dengan senyum, dia menyerahkan tangan Natasha kepada Hud.
"Nah, sarungkan cincin dekat isteri you," katanya sebelum berlalu ke tepi pelamin.
Hud mengambil tangan Natasha, merasakan dingin tapak tangannya. Dia menyarungkan cincin di jari manis Natasha, penuh lembut.
Ketika itu, perasaan sebak menyelubungi Natasha. Air mata cuba ditahan, tetapi hatinya bergolak dengan kenangan. Siapa sangka, dia yang bertunang dengan Danial akhirnya berkahwin dengan orang lain.
'Saya dan Hud dah tunaikan permintaan terakhir awak, semoga awak tenang di sana, Danial,' bisik hati kecilnya.
Natasha mencapai cincin yang berada di dalam kotak baldu. Dengan tangan yang sedikit terketar, dia menyarungkan cincin ke jari Hud. Kemudian, dia mencium tangan suaminya dengan penuh syahdu. Saat tangan Hud menyentuh kepalanya, Natasha memejamkan mata, dan ketika dia mengangkat kepala, Hud melabuhkan bibir di dahinya.
Walaupun perkahwinan ini atas permintaan Danial, Hud merasakan perasaan yang mula bercambah dalam hatinya. Ikatan ini kini menjadi sesuatu yang lebih daripada sekadar amanah.
Dari jauh, Elrah memandang pasangan mempelai ini dengan mata berkaca. Dia terharu melihat sahabat baiknya dalam busana rekaannya, melangkah ke fasa baru kehidupan sebagai seorang isteri.
'Semoga mereka kekal hingga ke jannah, aamiin,' doanya dalam hati, tulus.
"Tasha, kau ada nampak pujaan hati aku tak? Dari tadi aku cari dia, tapi tak jumpa." Elrah mengeluh, letih mencari Saffaraz di sekeliling dewan.
Natasha mencebik. 'Pujaan hati konon, dapat pun belum.'
"Tadi aku nampak dia pergi ke belakang dewan. Tak tahu buat apa," jawab Natasha. Dia juga pelik, kerana ahli Hazard yang lain sedang menjamu selera di meja utama, tetapi Saffaraz tiada bersama mereka.
"Kalau macam tu, aku pergi cari dia sekejap," Elrah terus melangkah ke belakang dewan.
Setibanya di belakang, matanya segera menangkap figura Saffaraz yang bersembunyi di balik dinding, matanya tajam memerhati sesuatu. Elrah mendekati lelaki itu perlahan-lahan.
'Jumpa pun!' gumamnya, lalu menyentuh bahu Saffaraz dari tepi.
Saffaraz tersentak kecil, tetapi cepat mengawal reaksi agar tidak menghasilkan sebarang bunyi.
ANDA SEDANG MEMBACA
A S L A N (COMPLETE) UNEDITED VERSION
Aksi📢 akan ada sedikit perubahan jalan cerita dan proses edit semula akan mengambil masa yang agak lama jadi di minta agar para pembaca sabar menunggu. Elrah Rubeena | Insp. Saffaraz Aslan Saffaraz Aslan ialah seorang pegawai polis dalam unit Jabatan S...
