• A S L A N • 1️⃣5️⃣

1.4K 96 35
                                        

Hujan renyai membasahi tanah perkuburan, titisannya menyerap ke tanah merah yang baru digali. Udara dingin membawa bau tanah basah, namun ia tidak menggugat perjalanan pengebumian Muhammad Danial. Langkah-langkah penuh kesedihan mengiringi jasad itu ke tempat persemadiannya yang terakhir.

Elrah memegang batang payung dengan erat, sebelah tangannya memeluk bahu Natasha. Sejak dari hospital, Natasha tidak berhenti menangis. Bahunya terhenjut-henjut, air mata mengalir tanpa henti, jatuh membasahi selendang yang menutup kepalanya.

Elrah memandang ke depan, pandangannya jatuh pada seorang lelaki berwajah tenang namun penuh duka, Saffaraz Aslan. Lelaki itu berdiri tidak jauh dari pusara, pakaiannya yang sedikit kotor dengan tanah langsung tidak mencacatkan penampilannya. 

Namun dia pantas tersedar dan menggeleng. 'Ini bukan masanya, El.'

Dia kembali fokus pada Natasha, mengusap bahu sahabatnya dengan perlahan, cuba menyalurkan kekuatan.

Orang ramai mula meninggalkan kawasan perkuburan sebaik upacara selesai. Suara-suara perlahan ucapan takziah bergema di antara derap langkah yang menjauh.

"Ayah dan mama balik dulu. Kamu temankan Natasha ya?" Pesan Superintenden Aminuddin sebelum beredar. Elrah mengangguk, meskipun dalam hati sudah berniat untuk tetap menemani sahabatnya itu.

"Mak cik balik dulu ya, Sha. Jangan lupa datang kenduri malam esok." Ibu Danial memeluk Natasha erat, menyampaikan rasa kasih yang mendalam sebelum berlalu pergi bersama suaminya.

Natasha tetap di situ, memandang tanah merah di hadapannya dengan tatapan kosong. Hujan yang semakin melebat membasahi selendangnya, tidak dihiraukan.

"Cepat betul awak tinggalkan saya," katanya perlahan, hampir berbisik. "Sampai hati awak..."

Tubuhnya melorot ke tanah, lututnya kotor oleh lumpur yang bercampur tanah. Elrah segera menangkap tubuhnya sebelum jatuh sepenuhnya. Dia mendakap Natasha erat, kepala wanita itu disandarkan ke bahunya.

"Tasha..." ucap Elrah lembut, mengusap kepala Natasha yang terlindung di balik selendang.

Natasha tersedu-sedu dalam dakapan itu. "Mana janji awak nak jadikan saya suri hati awak? Kenapa awak tinggalkan saya macam ni, Danial?" Air matanya  mengalir tanpa henti.

Elrah tidak berkata apa-apa. Dia hanya membiarkan Natasha meluahkan segala yang terbuku di hati, memberi ruang untuk sahabatnya.

Di sebalik pohon besar tidak jauh dari situ, Saffaraz dan Hud memerhati dalam diam. Suasana hening, hanya ditemani rintik hujan yang jatuh pada dedaunan.

"Aku rasa sekarang bukan masa yang sesuai untuk serahkan amanah Danial," ujar Hud, suaranya hampir tenggelam dalam bunyi hujan. 

Hud mengeluh perlahan. Matanya tertumpu pada dua orang wanita yang sedang berpelukan di sisi pusara. 'Berat amanah yang kau tinggalkan untuk aku, Danial...' Bisiknya hampir tidak kedengaran

Saffaraz hanya mengangguk kecil, memahami kerisauan sahabatnya. Dia memandang Elrah dan Natasha dengan perasaan bercampur-baur. Siapa sangka, Danial bersahabat dengan anak Superintendent Aminuddin, dan tunangnya pula sahabat karib Elrah. Dunia mereka lebih berkait daripada yang dia sangka.

"Kalau macam tu, kita balik dulu. Esok malam kita serahkan surat tu," Saffaraz membuat keputusan. 

Kedua-duanya berundur, melangkah meninggalkan tanah perkuburan. Namun mereka tidak terus pergi. Sebaliknya menunggu di dalam kereta, memerhatikan dari jauh. Hanya apabila Natasha dan Elrah akhirnya meninggalkan tempat itu selepas hampir dua puluh minit, mereka menghidupkan enjin dan berlalu pergi, membawa bersama rahsia yang bakal diungkap.

A S L A N  (COMPLETE) UNEDITED VERSION Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang