Saffaraz dan Hud meneliti nota yang Elrah terima tengah hari tadi.
"T? Siapa T?" dahi Hud berkerut, otaknya ligat menyusun nama-nama lelaki yang bermula dengan huruf itu.
"Entah-entah T ni saja nak kelirukan kita. Kau tengok ayat dia, 'snake venom.' Ini mesti ada kaitan dengan Red Cobra."
Saffaraz mengetuk hujung jari di meja. "Tim?" Dia meneka, sebelum mengalihkan pandangan ke arah Elrah dan Natasha. "El, nampak muka dia?"
Elrah menggeleng perlahan. "I tak perasan. Masa Tasha toleh nak tengok, dia tiba-tiba dah hilang. Tapi I yakin dia lelaki, sebab masa dia langgar I, badan dia keras."
Natasha mengangguk, menyokong hujah rakannya.
Hud mengetap bibir. "Tak mustahil Tim. Cik El kena lebih berhati-hati. Lagipun, minggu depan Cik El akan adakan peragaan, kan?"
Elrah menarik nafas dalam, matanya bertemu dengan Saffaraz yang dari tadi diam, seperti sedang berfikir.
Hud menyandarkan badan ke sofa. "Aku rasa kita kena minta tolong Hazard untuk kawal keadaan dekat sana nanti. Dan mulai sekarang, isteri kau tak boleh keluar sendiri. Mesti ada teman."
Saffaraz menghela nafas berat, dia menunduk sambil jari-jarinya meraup rambut. Keselamatan Elrah adalah keutamaannya. "Nanti aku bincang dengan Hazard."
Dia akan lakukan apa saja untuk melindungi isterinya.
"You." Suara lembut Elrah memanggil, membuatkan Saffaraz mengangkat kepala.
"Jom balik. Dah lewat malam ni."
Selepas makan tengah hari tadi, dia dan Natasha terus pulang ke rumah Natasha, menunggu sehingga Saffaraz dan Hud selesai kerja. Dia sendiri yang menghubungi suaminya, meminta lelaki itu datang. Sekarang, jam sudah melewati angka sepuluh.
Saffaraz melihat jam tangannya. "Tak perasan pula dah pukul sepuluh. Aku balik dulu, Hud. Kereta aku tinggal dekat rumah kau, esok aku ambil."
Hud menepuk bahu Saffaraz. "Tak payah susah-susah. Esok aku bawa kereta kau pergi kerja, balik nanti kau hantar aku ke rumah."
Saffaraz mengeluarkan kunci dan menyerahkannya kepada Hud. "Thanks, bro."
"Tak ada hal la." Bahu Saffaraz ditepuk.
Dengan itu, Saffaraz dan Elrah meminta diri untuk pulang.
Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, Saffaraz perasan sesuatu...
Elrah diam. Terlalu diam.
Selalunya, isterinya itu pantang kalau mereka berdua-duaan. Ada saja akal nak mengusik, kadang-kadang buat perangai manja, kadang-kadang sengaja cari pasal. Tapi malam ini lain. Mereka seperti orang asing.
Sepatah dia bertanya, sepatah Elrah menjawab.
Saffaraz mengetap bibir, matanya sesekali mencuri pandang ke arah wanita di sisinya. Namun, Elrah hanya menatap kosong ke luar tingkap, wajahnya suram dalam cahaya lampu jalan yang berselang-seli.
Keadaan itu berterusan sehingga mereka tiba di rumah. Tanpa sepatah kata, Elrah terus keluar dari kereta. Saffaraz menutup pintu dan cepat-cepat mengunci kereta sebelum menyaingi langkah isterinya.
Belum sempat Saffaraz menegur, tubuh Elrah sudah menghilang ke dalam bilik air.
Saffaraz mengela nafas sebelum duduk di birai katil dan menunggu sehingga Elrah keluar. Namun, apabila wanita itu keluar, dia pula yang berpaling ke belakang sewaktu menyedari isterinya hanya berkemban.
ANDA SEDANG MEMBACA
A S L A N (COMPLETE) UNEDITED VERSION
Aksi📢 akan ada sedikit perubahan jalan cerita dan proses edit semula akan mengambil masa yang agak lama jadi di minta agar para pembaca sabar menunggu. Elrah Rubeena | Insp. Saffaraz Aslan Saffaraz Aslan ialah seorang pegawai polis dalam unit Jabatan S...
