BISIK

129 15 1
                                    

Cuaca yang mendamaikan tadinya di isi dengan babak-babak pertarungan dari pihak Wadi dan Idris. Angin yang bertiup lembut tidak dapat menenangkan apa yang dirasakan oleh mereka ketika ini. Sesekali raungan Fauzi memecah sunyi. Mimi dan ibunya sedaya upaya menghalang Fauzi dari merapati pintu. Begitu juga dengan Awira. Masing-masing berjaga-jaga. Masnah memaut kuat belakang tubuh Fauzi manakala Mimi memeluk kejap kaki abangnya. Tali yang mengikat sudah putus ketika mereka bergelut untuk menumbangkan Fauzi tadi. Awira masih berjaga dihadapan pintu menunggu segala kemungkinan yang akan datang. Tidak tahu apa yang terjadi diluar hanya suara yang kedengaran sesekali menerobos ke dalam. Awira teruskan berzikir dan mengulang bacaan Ayatul Kursi.

Fauzi menarik-narik rambutnya,keningnya bertaut rapat dengan wajah yang merona merah. Terasa ingin pecah kepalanya saat ini. Segala yang dilakukan dahulu bermain-main di mata,segala mentera yang dihafal terngiang-ngiang dengan suara yang garau ditelinganya. 

"Ahh!! Diam!" telinganya ditekup kuat namun suara garau tetap berdengung kuat. 

"Makkk!! sakit mak! Ya Allah..!" Fauzi meraung kuat sambil menekan kepalanya.

kau milik aku fauzi..selamanya kau milik aku. kita sudah berjanji kau dan aku sehidup semati,mati aku mati kau! mati kau mati aku! hahahahah....yihhhh!!!

Tempikan demi tempikan memekak ditelinganya hingga akhirnya tubuhnya melotot rebah ke lantai dengan telinga dan hidung yang mengalirkan darah. Masnah dan Mimi yang berpaut kuat pada tubuh Fauzi ikut rebah bersama. Terpinga-pinga seketika keduanya. Masnah segera memangku kepala Fauzi dan mengelap darah yang mengalir dari hidung anaknya. Air matanya tumpah lagi entah buat kali ke berapa untuk anak yang bernama Fauzi ini. Dugaan demi dugaan dihadapinya namun hatinya sedikit pun tidak mengalah. Andai ini cara yang Allah takdirkan maka dia redha seikhlas hatinya.

~~~~~~!!!!!!~~~~~

Wadi mencari nafas ditengah pertarungan,Idris memang seorang yang hebat. Langkahnya kemas dan pukulannya mantap dan keras. Hampir saja lehernya ditebas oleh Idris sebentar tadi namun berjaya dielak dengan pantas. Terbeliak matanya melihat Idris yang sedikit pun tidak mengah seperti dirinya. Matanya melirik pada Dalmim dan Syauqi. Pertarungan masih lagi rancak walaupun keadaan Dalmim sudah luka teruk akibat serangan Syauqi. Sedikit rasa kekalahan menerpa namun cepat-cepat menepis dan terus memasang langkah. Idris seperti tadi,berdiri dengan kekudanya dan bibir yang tak putus-putus membaca zikir. 

"Aku cuma mengambil hak aku,berikan atau aku terpaksa hapuskan semuanya." kata Wadi.

Idris tersenyum sinis. Kekudanya ditutup lalu berdiri tegak dengan tenang.

"Dirimu sendiri pun milik Allah saudara,jadi apa hak saudara mengatakan yang Fauzi itu milik saudara?" soal Idris kembali. Wadi tersentak sedikit. Nada bicaranya tenang namun menusuk tepat.

"Apa yang kau tercegat lagi tu?! hapuskan cepat! aku lapar!!" entah dari mana tiba-tiba muncul seorang tua bongkok tiga menghayun tongkat ke belakang Wadi. Dan bagaikan renjatan eletrik Wadi tiba-tiba menyerang pantas tanpa henti. Idris berusaha mengelak sehabis baik. Baginya Wadi kini bukanlah Wadi lagi,matanya menghitam dengan gigi yang berketap rapat. Dengusan nafasnya juga kedengaran garau. Ianya sudah dirasuki oleh sesuatu. Idris tetap bertenang,sesekali pandangan matanya mencuri pandang ke arah lelaki tua yang baru muncul sebentar tadi. Entah bila ianya menempuh masuk hinggakan tidak terlihat pada matanya. Mungkin ini lawan yang sebenarnya yang ditunggu olehnya dari pagi tadi. Pukulan demi pukulan yang diberikan oleh Wadi ditepis kemas dan dibalas kejap. Wadi terhumban ke tanah bilamana tapak kaki Idris singgah di perutnya.

"Lahaulawala quwwata illa billahil a'liyil a'zim!" tumit kakinya dihentak kuat ke tanah. Wadi yang baru saja memusing tubuh melekat ditanah tidak berupaya untuk bangun. Mulutnya berbuih-buih dan menderam kasar.Mata hitamnya bersinar disapu cahaya bulan. 

"Lepaskan!" jerkah si tua bongkok tiga dari belakang. Idris memusingkan tubuh tanpa mengangkat tumit kakinya,tangannya disilang kebelakang sambil mengira tasbih.

"Kenapa saudara berhajat pada Fauzi? Apa yang sudah saudara janjikan pada Wadi?" soal Idris. Matanya memerhati segenap tubuh si bongkok ini,jari kaki kanan hanya tinggal dua jari sahaja manakala kaki kiri sudah hilang semua jari kakinya. Tangannya pula terketar-ketar memegang tongkat. Wajah yang berselubung kain hitam tunduk ke tanah tidak mahu bertentang mata dengan mata Idris.

"Itu urusan aku dan budak tu! Kau jangan masuk campur! Bagi aku budak tu kalau tak aku siksa dia sampai mati!" kasar suaranya menjawab soalan Idris. 

"Apabila ibunya meminta tolong padaku maka ianya urusanku,saudara. Kalau saudara berhajat begitu mari kita teruskan dengan apa yang saudara ada." kekudanya dipasangkan semula. Kedua tumit kaki ditekan kuat ke tanah,Wadi mengelupur hebat dan mengeluarkan suara seperti lembu disembelih. Tercungap-cungap mencari nafas dan akhirnya terkulai lembik ditanah. Matanya yang terbuntang disapu oleh Idris dengan tapak tangan dan kedudukannya diqiamkan. Kedua kaki dirapatkan dan kedua tangan di atas dada.

"Maa ji'tum bihissihra, innallaaha sayubtiluh,innallaaha laa yuslihu a'malal mufsidiin. Wayuhiqqullahul haqqa bikalimaatihii walau karihal mujrimunn!."

Selesai membacakan ayat tersebut tubuh Wadi mula menggeletar kuat. Idris melalukan tapak tangannya diatas dada Wadi lalu menarik satu persatu "ikatan" yang berada diatas tubuhnya. Si tua bongkok tiga memukul tanah dengan tongkat menjerit kuat melarang Idris dari menyempurnakan urusannya.

"Alhamdulillah..semoga saudara sembuh dan kembali bertaubat." kata Idris selepas ikatan terakhir dileraikan. Marah sakan si tua hingga menggeletar rahangnya. Kain yang menyelindungi wajah tadi hilang entah ke mana lalu menampakkan wajah sebenarnya. Wadi mengesot sedikit ke belakang menghindari si tua yang kian mendekati Idris dan dirinya.

"Tak apa,dia takkan dapat apa-apakan saudara lagi dah. Mengucaplah semula saudara,ingat Allah semula." bahu Wadi ditepuk lembut. Wadi terangguk-angguk dengan mata tidak berkalih dari melihat si tua bongkok tiga. Perasaan takutnya semakin mencengkam diri akhirnya Wadi memejam mata dan cuba menyebut Allah. Terasa keras lidahnya seketika,kelu dan seolah-olah terasa asing perkataan itu pada bibirnya. Dengan bersusah payah akhirnya terpacul jua kalimat Allah dari mulutnya. Wadi menangis teresak-esak,terasa ringan bahunya bagaikan terlepas dari segala janji-janjinya dengan si tua di hadapannya itu.

"Oooh,jadi begini kau akhirnya ya,Wadi! Aku kutip kau dari mak kau yang nak bunuh kau tu,aku bela kau sampai kau jadi bomoh hebat,aku bawa kau ke sana ke sini akhirnya kau belot aku?! Yihh!!! Wadii!!!! Tak guna kau,Wadi..kalau aku tahu kau nak belot aku macam ni dari dulu lagi aku dah makan kau,Wadi! Senangnya kau buang aku lepas semua yang aku ajarkan dekat kau? Kau takkan terlepas dari aku Wadi! Sampai bila-bila pun aku akan cari kau! Kau tahu aku bagaimana Wadi! Yihhh!!" tempikannya bersama hempasan tongkat ke tanah yang beberapa inci sahaja lagi dari kaki Idris.

Wadi memejam mata menutup telinga.Bisikan demi bisikan mulai muncul dalam kepalanya,sumpah demi sumpahan dihamburkan melalui bisikan yang semakin kuat dan bertukar kepada jeritan. Wadi memegang kepalanya,sakit bukan kepalang kepalanya saat ini. 

"Lawan Wadi! lawan dengan zikir suara-suara tu! lawan Wadi!" kata Idris. Wadi berguling -guling ditanah sambil memegang kepala. Air liurnya berjejeran meleleh.

"Ya Allah..Allah..Allah...Allah.!" laung Wadi cuba mengalahkan suara-suara jeritan di dalam kepalanya. Dan akhirnya nasibnya sama seperti Fauzi,terlentang dengan hidung dan telinga berdarah. Si tua ketawa puas hati dan mara cuba menghampiri.

"Urusan kita belum selesai lagi,saudara." Idris juga mara ke hadapan. Melindungi tubuh Wadi agar dirapati oleh si tua itu. 

"Yihhhh!!" tempikan kuat berserta tujahan ke dada Idris namun berjaya dielak dan dibalas dengan hentakan ditengah batang tongkat yang mengakibatkan tongkat patah dua.

"Tak guna kau!!!! Yihh!!!" si tua membaling tongkat ke tanah dan menerkam ke arah Idris. Pertarungan sebenar sudah bermula. Idris sudah menyediakan sesuatu untuk lawannya yang ini. Cuma tunggu masanya sahaja.


"BISIK"Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang