Kokokan ayam menyentak sunyi sepertiga malam dan saling bersahutan menandakan waktu subuh bakal menjelma tidak lama lagi. Si tua yang tertiarap di tanah telah dilentangkan dan diqiamkan tubuhnya menghadap arah Qiblat. Si tua hanya mampu menderam marah dengan mata terbeliak merah menyala berkilat disimbah cahaya bulan yang terang benderang.
Idris mengangguk kepalanya kepada Syauqi. Pemuda itu mengangguk faham dan lantas bangun menuju ke atas rumah. Tubuh Fauzi yang lemah didukung dibelakangnya dan berhati-hati dibaringkan ke tanah di sisi Si tua. Terbeliak mata Si tua melihat Fauzi,dia mula menderam kuat dan cuba merapatkan bahunya ke bahu Fauzi.Air liurnya meleleh-leleh dengan wajah yang kelaparan. Baru sahaja bahunya mencecah bahu Fauzi dia tersentak bila tubuhnya ditarik semula oleh Syauqi supaya menjauhi Fauzi.
"Arghhh!!" jeritannya memecah sunyi. Terketar-ketar tubuhnya menahan marah. Lapar dan dahaga pada darah dan daging Fauzi menyucuk kuat. Bau manis darah pemuda itu seakan-akan dapat dihidu olehnya hinggakan tercungap-cungap dia menahan nafasnya.Terbayang -bayang di mata sedang menyantap daging pemuda itu. Kelaparannya sudah tidak dapat dibendung lagi,dia mengesot semula kali ini dengan lebih pantas. Dia perlu makan untuk melawan Idris dan Syauqi.
Syauqi tergelak kecil melihat usaha yang dilakukan oleh si tua di hadapannya. Kaki si tua itu ditahannya supaya tidak bergerak. Beberapa ayat Surah Al Baqarah dibaca lantang dan ditepuk pada tapak kaki si tua.
"Aaaa!!" mejerit kesakitan si tua akibat tepukan itu.
"Lepaskan aku lah!" Kakinya dihentak ke tanah. Dia cuba berguling untuk menghindari Syauqi namun tak berjaya sedikit pun. Malah tubuhnya terasa berat benar untuk digerakkan.
Apa yang dah jadi dengan aku ni? Kenapa badan aku keras sangat ni? Si tua berbisik sendirian. Dia kehairanan,kemana perginya semua ilmu yang dituntut olehnya selama ini? Kenapa tiada satu pun yang berguna ketika ini? Matanya jatuh pada asap yang kian menipis dibawah pokok cempedak,dirinya tersentak. Apa dia sudah menemui orang pandai yang mematahkan segala ilmunya?
Aahh! Tak mungkin! Aku dah pergi merata-rata dah macam-macam aku belajar takkan semudah itu aku di kalahkan! bentaknya di dalam hati. Segala jampi serapah yang paling ampuh diratibnya semula dan dia mula merasakan sesuatu meresap ke dalam tubuhnya. Rasa ringan dan semakin bertenaga namun masih tidak berjaya melepaskan diri dari ikatan misteri ditubuhnya itu. Syauqi yang berada dihujung kaki cuba ditendang dengan segala kudrat yang ada namun tak terangkat kakinya,bahkan Syauqi sedikit pun tidak terganggu dengan keadaan dirinya.Matanya meliar ke serata arah dan jatuh pada Fauzi yang masih tidak sedarkan diri. Perlahan-lahan dia menyeru menteranya dan dihembuskan pada muka Fauzi.
"Hiyah!" Syauqi menggolekkan tubuh keluar dari bulatan dengan pantas. Dia tahu apa yang dilakukan oleh si tua itu cuma dia lebih fokuskan pada apa yang disuruh oleh Idris ketika ini. Fauzi bangun dan berdiri dalam keadaan tidak sedar diri dan menarik tubuh si tua supaya bangun berdiri sama. Si tua ketawa sinis melihat ke arah Syauqi dan Idris yang duduk bersila di luar bulatan. Kakinya ingin melangkah keluar namun hatinya ragu-ragu tiba-tiba,tubuh Fauzi di dorongnya supaya melepasi garis bulatan namun tubuh pemuda itu terlentang ke tengah bulatan semula dan tidak bangun-bangun lagi sudahnya.
Syauqi dan Idris saling berpandangan,Idris kemudian menganggukkan kepala pada satu arah. Syauqi yang faham arahan ayahndanya itu segera bangun dan menuju ke arah yang ditunjukkan. Dia berdiri tegak di situ memerhati keadaan dan mula membaca Surah empat Qul. Selesai membaca dia mula melaungkan azan.
Idris menggamit tangan pada Awira dan menunjuk pada satu arah di sebelah kirinya. Awira mengangguk faham dan turut melakukan perkara yang sama dengan Syauqi. Selesai Syauqi melaungkan azan dia kemudian masuk ke dalam bulatan semula dan menghampiri si tua lalu menepuk belakang si tua dengan pantas.
"Argghhh!" menggelupur si tua bagai terkena siraman air panas. Awira berlari dengan pantas masuk ke dalam bulatan dan menepuk dada si tua lalu melompat keluar dari bulatan semula. Idris bangun tanpa mengalihkan tumit kakinya yang sedari tadi ditekan kuat ke tanah.
"Ikat dia,Syauqi. Awira tolong tahan Fauzi." arahnya pada kedua anak muridnya itu. Mereka berdua menurut tanpa banyak kata. Ini adalah rawatan terakhir bagi melumpuhkan dan mematikan ilmu sihir seseorang. Sebelum azan subuh semuanya mesti dilepaskan dan di matikan ilmunya. Namun cara ini ada risikonya tersendiri, samaada si pengamal mati atau hidup bergantung pada ketahanan tubuh si pengamal. Semakin banyak ilmu yang dilumpuhkan semakin terserlah kelemahan si pengamal dan semakin tenat tubuhnya. Manakala bagi yang terkena janji sihir ianya akan menjadi kosong semula dan bebas dari si pengamal.
"Puan boleh bawakan saya sebesen air?" Pintanya pada Masnah.
"Iya,ya. Sekejap ya." Masnah segera turun ke tanah dan mencapai baldi di tepi tangga lalu segera di isi air dari paip yang ada. Berhati-hati dia membawa baldi berisi air ke hadapan Idris.
" Tetaplah di sini.Nanti saya nak minta tolong tarik Fauzi." kata Idris. Masnah mengangguk faham.
"Bismillahirrahmaanirrahimm..!" rawatan dimulakan dengan petikan beberapa ayat dari Surah Al Baqarah dan dilanjutkan dengan beberapa ayat yang lain. Tapak tangan dihalakan pada tubuh si tua.Si tua yang sedang menahan sakit merasa sedikit kelainan pada tubuhnya. Hujung kakinya mula berdenyut kuat dan menyucuk tajam,rasa sakit itu semakin menyentak dan mulai menjalar naik ke buku lali dan ke betisnya. Tubuhnya mengeliat menahan sakit,tubuhnya berpeluh hebat dengan wajah berkerut.
"Yihhhh!!" tempiknya sambil menampar tanah.

ANDA SEDANG MEMBACA
"BISIK"
ParanormalBila minda bukan di isi rasa takut pada Tuhan maka diri akan terpimpin mengikut jejaknya nafsu dan di iringi bisikan syaitan. Bahaya itu adalah dirimu sendiri.