Sakit...Itu yang tubuh badannya rasa pada ketika itu. Kepalanya berdenyut kuat seolah mahu meletup. Kelopak matanya langsung tidak boleh dibuka ibarat telah digam ketat. Kini, tubuhnya terasa melayang di angkat seseorang.
"Campak je dia dalam laut tu." Sayup-sayup dia mendengar perbualan dua orang lelaki.
"Ta-tapi tak apa ke? Macam mana kalau orang jumpa dia nanti?" Gadis di dalam dukungannya dipandang dengan takut-takut. Gadis itu masih bernyawa. Dia tak sanggup melempar gadis itu ke dalam laut. Ini kali pertama dia melakukan perkara kejam seperti itu.
"Mustahil. Kalau orang jumpa pun, mungkin waktu tu dia dah tak bernyawa. Tak pun tinggal sisa-sisa je sebab dah kena makan ikan." Usai itu, suara melepaskan tawa besar.
"Kenapa bos tak bunuh je dia sekarang? Tak ada lah aku serba salah nak buang dia dalam laut." Dia pandang lelaki yang sedang duduk di atas bonet hadapan kereta itu. Santai sambil menghisap rokok sedangkan dia macam nak mampus melawan rasa serba salah.
"Aku malas nak kotorkan tangan aku. Kotorkan baju aku. Baju aku ni baru beli je semalam. Mahal! Memang tak lah aku nak kotorkan baju mahal aku ni. Kau ni pun, buat saja lah kerja tu!"
"Yelah-yelah." Lelaki itu melangkah beberapa tapak ke hadapan, mendekati tebing laut. Liurnya ditelan kesat tatkala lautan yang membiru terhias apabila dia memandang ke bawah.
Satu keluhan berat terlepas dari bibirnya. Kepala digeleng beberapa kali. Nyah kau rasa serba salah!
"Maaf."
Hanya sepatah perkataan itu sahaja yang Bunga sempat dengar sebelum tubuhnya terasa melayang-layang di udara. Dia sedar tetapi hakikatnya dia tidak sedar. Jiwanya hidup namun tubuh badannya mati! Matanya langsung tidak boleh dibuka namun dia tahu apa sedang terjadi kepadanya tatkala itu. Dia sedang dicampak dari satu tempat yang tinggi!
Bushh!!!
Tubuhnya menghentak permukaan air dan kian tenggelam ke dasar. Dadanya kian sesak. Hidung dan mulutnya terasa dimasuki banyak air laut. Perit.
Sesiapa...
Sesiapa pun, tolonglah dia...
Dadanya sudah terasa hendak pecah dek kerana dimasuki banyak air. Setiap rongga yang terbuka pada tubuhnya seolah terbuka luas menjemput masuk kehadiran air laut dengan senang hati. Tolong... Bunga menangis terseksa. Kenapa dia diseksa seperti ini... Apa salahnya?
Dalam pada jiwanya merintih sayu, tubuhnya seolah ditarik kuat oleh seseorang. Dia mahu membuka mata tetapi apakan daya, dia tidak mampu. Tubuh serasa bergerak ke permukaan air bersama tubuh yang menyelamatkannya itu.
Beberapa ketika kemudian, belakang badannya menyentuh sebuah permukaan keras. Terima kasih... Sesiapa pun yang sudah menyelamatkannya, dia sangat berterima kasih kepada orang itu.
YOU ARE READING
Bunga, A Lady In Waiting [COMPLETE]
RomancePerkenalan bersama anak raja, hanya sekadar batas perkerjaan. Tidak dibenarkan mempunyai sebarang perasaan. Sayang, cinta dan kasih. Semua ini adalah halangan. Halngan bagi seorang pemangku diraja untuk meluaskan empayar. Sakit? Sudah semetinya. Tap...